Pihak berkuasa wajar membanteras segera kes penipuan siber melibatkan scammer yang menggunakan identiti golongan VIP atau orang kenamaan, menteri, pegawai tinggi kerajaan serta pemimpin politik ini sepatutnya ditangani awal dan jangan dibiarkan melarat. Setakat ini, sudah hampir dua minggu kes ini berlanjutan setelah dilaporkan oleh mangsa dan pengadu.
Namun sehingga ke hari ini ia seolah-olah tidak disiasat terperinci atau tidak berjaya dihentikan kerana scammer yang sama masih bebas menggunakan telefon sama untuk melakukan penipuan.
Sampai bilakah kes melibatkan scammer ini mahu dibiarkan? Jika semua nombor kenalan dalam telefon individu yang dijadikan mangsa itu digunakan untuk memohon bantuan wang menggunakan gambar dan nama mangsa, bukankah dengan mudah pihak berkuasa boleh menyemak siapa pemilik nombor tersebut dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM)?
Bahkan pihak Teknologi Maklumat (IT) PDRM tentu mempunyai keupayaan untuk mengenal pasti siapa pemilik nombor tersebut dan mengesan siapa dalangnya.
Pihak berkuasa juga perlu bekerjasama dengan semua pihak dan mewujudkan rangkaian termasuk bersama NGO bagi menangani hal ini kerana ia melibatkan hal keselamatan dan data pengguna. Apatah lagi jika melibatkan golongan kenamaan yang tentunya senarai nombor telefon mereka melibatkan VIP yang lain, agensi keselamatan, individu penting serta pihak kedutaaan luar negara.
Bukankah ini merupakan satu “serious breach” di mana penipuan scammer seperti ini tidak lagi boleh dilihat daripada sudut penipuan wang semata-mata tetapi perlu ditinjau daripada sudut ancaman keselamatan terhadap negara.
Jika nombor pemimpin negara dan tokoh politik juga boleh dibocorkan bagi memperolehi wang, dikhuatiri masalah seterusnya akan melibatkan isu-isu keselamatan atau ancaman rentas sempadan. Pelbagai maklumat mungkin telahpun mereka perolehi untuk merencanakan tindakan selanjutnya yang tidak lagi boleh dipandang sebelah mata.
Diharapkan pihak kerajaan dapat mewujudkan satu pasukan khas bagi menangani masalah ini secara komprehensif, pantas dan yang paling penting penjenayah siber atau scammer ini berjaya ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan. Rakyatpun sudah letih dan ternanti-nanti apakah tindakan yang akan dilakukan bagi menghentikannya.