Rakyat marhaen kebanyakannya masih ‘trauma’ dengan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam isu pengeluaran wang KWSP di mana beliau masih tidak menunaikan janjinya untuk meletakkan jawatan jika pengeluaran dibenarkan. Kini beliau dilantik pula oleh UMNO untuk menerajui Manifesto Barisan Nasional Selangor, selepas dilantik sebagai Bendahari BN negeri, bersama Datuk Seri Khaled Nordin yang mengetuai manifesto di peringkat pusat.
Diharapkan langkah ini tidak akan menyukarkan usaha UMNO-Barisan Nasional untuk mengambil alih semula negeri Selangor yang sudah tiga penggal terlepas daripada mereka sejak 2008. Ada pihak berkata bahawa langkah ini terpaksa diambil oleh UMNO kerana hubungan rapat Tengku Zafrul dengan pihak Istana. Sungguhpun begitu, rakyat melihat Tengku Zafrul hanya akan menjadi liabiliti bagi UMNO yang dilihat lebih rapat dan mesra dengan Perikatan Nasional.
Apapun, rakyat menunggu UMNO-Barisan Nasional Selangor menawan semula negeri tersebut yang bakal mengubah landskap politik negara. Jika tidak berupaya menang dengan kehadiran Tengku Zafrul, maka sia-sialah ‘mengorbankan’ sebuah negeri hanya kerana mahu mengambil hati pihak lain.