PN LAWAN TITAH RAJA – DR. RAMALAN YUNUS

370
SHARES
2.2k
VIEWS

Perikatan Nasional (PN) meneruskan sikap biadab mereka terhadap Raja-raja Melayu secara terbuka. Pasca PRU-15 mereka menolak titah Tuanku untuk berkerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menubuhkan sebuah Kerajaan Perpaduan kerana tiada satupun gabungan parti-parti politik memperolehi majoriti mudah.

Apa alasan kukuh PN untuk menolak ataupun ingkar kepada titah Tuanku? Adakah titah Tuanku untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan itu menyalahi syariat Islam?

Adakah PN sebagai gabungan parti-parti politik yang memperjuangkan Islam dan Melayu tidak tahu bahawa mematuhi titah Tuanku atau perintah Ulil Amri itu hukumnya wajib dan dalilnya qat’ie?

Kini biarpun Raja-raja Melayu sudah bertitah agar isu agama, bangsa dan raja atau 3R tidak dijadikan modal politik namun kenyataannya titah tersebut tidak diendahkan oleh pimpinan PN.

Yang terbaru adalah kenyataan dari Pengerusi PN iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyentuh isu kalimah Allah. Sikap beliau itu wajar dilihat sebagai satu penderhakaan dan penghinaan terhadap Raja-raja Melayu.

Lebih menarik perhatian apabila Setiausaha Majlis Syura dan juga Ketua Dewan Ulama PAS Dr Nik Zawawi Salleh mengeluarkan kenyataan bahawa jatuhkan kerajaan hari ini hukumnya adalah wajib.

Apakah asas yang mendasari fatwa terbaru ini? Adakah penubuhan Kerajaan Perpaduan bertentangan dengan syariat Islam sehingga dijatuhkan hukuman wajib dijatuhkan atau ditumbangkan?

Adakah ini merupakan fatwa rasmi parti PAS atau sekadar fatwa peribadi Dr Nik Zawawi Salleh sahaja? Fatwa seperti ini ialah merupakan seruan kepada umat Melayu khususnya ahli-ahli PAS untuk menderhaka kepada Raja-raja Melayu.

Nik Zawawi Salleh wajar ditangkap di bawah Akta Hasutan kerana menghasut umat Islam khususnya ahli-ahli PAS untuk menderhaka kepada Raja-raja Melayu yang menjadi Ulil Amri di negara dan negeri-negeri di bawah Persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia.

Semua pihak harus sedar bahawa pasca PRU-15 tanpa titah dan perkenan YDPA Agong dan Majlis Raja-raja Melayu tidak akan wujud kerajaan dan Parlimen akan terus tergantung.

Pasca PRU-15 suasana politik tidak berada dalam keadaan biasa tetapi berada dalam keadaan luar biasa. Keadaan seperti ini belum pernah berlaku semenjak Proklamasi Persekutuan pada tahun 1957.

Fatwa terbaru dari pemimpin PAS menunjukkan bahawa penentangan PN terhadap titah Tuanku dan Raja-raja Melayu sudah sampai ke kemuncaknya.

Perkara seperti ini sudah tidak boleh dibiarkan lagi oleh pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia. Sudah sampai masanya para politikus diajar dan dididik mengenai prinsip kelima dalam Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Malaysia adalah sebuah negara Islam dan Negara BeRaja. Bukan sebuah negara sekular dan sebuah negara republik. Kewajipan untuk mematuhi syariat Islam merupakan kewajipan dalam bernegara.

Islam ialah wahyu. Bukan ideologi manusia seperti demokrasi, komunis, sosialis, kapitalis dan sebagainya. Islam juga satu cara hidup baik sebagai seorang individu, dalam berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Ini merupakan idealisme yang harus difahami oleh seluruh warganegara khususnya umat Melayu-Islam di negara ini. Umat Melayu-Islam seharusnya menjadi contoh kepada warganegara bukan Islam dalam memenuhi kewajipan sebagai warganegara dalam sebuah negara Islam.

Kewajipan paling utama dalam sebuah negara Islam adalah kewajipan untuk mentaati perintah Ulil Amri pada perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Islam. Kepatuhan terhadap titah Tuanku atau Ulil Amri adalah kewajipan bernegara. Bukan isu yang boleh dipolitikkan secara sembrono.

Darjat dan martabat Raja-raja Melayu tidak sama dengan rakyat jelata. Darjat dan martabat mereka lebih tinggi dari rakyat jelata. Darjat dan martabat mereka melekat di batang tubuh mereka sehingga ke akhir hayat. Mereka tidak dipilih atau diundi dalam PRU setiap lima tahun sekali.

Tidak ada kesopanan dan kesusilaan dalam bermasyarakat dan bernegara sekiranya kita tidak beradab dan beradat dengan Raja-raja Melayu. Jangan mendakwa atau mendabik dada kononnya memperjuangkan Islam dan Melayu kalau masih gagal untuk mematuhi titah Raja-raja Melayu.

Insya-Allah Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu akan sentiasa terbela selagi UMNO bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan. Ini kerana UMNO adalah satu-satunya parti yang sudah terbukti mampu membela Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu.

Perjuangan PN pula adalah anti tesis kepada agenda pembinaan sebuah negara bangsa yang kini sedang berada pada landasan yang betul.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts