Tentera Sudan pada hari Rabu menuduh kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) menculik dan membunuh gabenor negeri Darfur Barat Khamis Abdullah Abakar, dikecam sebagai satu tindakan kejam yang tidak boleh dimaafkan.
Susulan penculikan dan pembunuhan tersebut, tentera Sudan melipatgandakan kawalan ke atas beberapa kawasan strategik dan kediaman kenamaan kerana dijangka RSF akan terus memprovokasi melalui beberapa siri serangan selepas ini.
Pihak tentera menyifatkan tindakan pembunuhan ini sebagai bukti siri serangan dan rekod jenayah RSF ke atas seluruh rakyat Sudan yang kini tersepit antara pertembungan RSF dan tentera yang saling berebut kuasa.
Perbalahan antara dua jeneral iaitu Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) yang diketuai Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan RSF yang diketuai Jeneral Mohamed Hamdan yang lebijh dikenali sebagai Hemedti, telah berlanjutan selama hampir dua bulan sehingga menjerumuskan negara itu ke dalam kancah peperangan dahsyat – yang dilihat masih belum mampu dinoktahkan dalam waktu terdekat.