Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta telahpun melabuhkan tirainya sejak pentas dibuka kepada pemimpin benua ini dan rakan dialog pada Selasa. Pelbagai topik, isu semasa serta masalah dilontarkan ke meja rundingan termasuk dari YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri yang mewakili kerajaan Malaysia demi kemajuan dan kemakmuran sejagat.
Antaranya pastilah ketegasan Malaysia yakni satu-satunya negara yang menyuarakan pandangan susulan penindasan berterusan Israel ke atas Palestin, yang sudah berlarutan sejak 75 tahun lepas.
Natijahnya, Malaysia harus konsisten menyuarakan pandangan tentang nasib rakyat Palestin, memandangkan dunia seolah-olah hanya mengambil berat tentang konflik peperangan di antara Ukraine dan Rusia, sekaligus wujud kesenjangan mahupun berat sebelah dalam isu tersebut.
Sebelum pulang ke tanah air, YAB Perdana Menteri bangkitkan hal yang sama dalam sidang media selain turut dikongsi berkenaan konsensus ASEAN yang dihormati kuasa-kuasa besar dunia.
Kendatipun ada masanya terdapat perbezaan pendapat di kalangan negara-negara ASEAN, namun konsensus yang dipersetujui bersama ialah rantau ini perlu dikekalkan kesatuan, keamanan dan kekal neutral.
Berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta hari ini bukan penanda penamat kepada usaha memajukan benua ini sebaliknya menuntut rakan-rakan pemimpin untuk terus bekerja keras mencari solusi kepada isu dibangkitkan selain kebersamaan berkaitan peluang-peluang kerjasama yang dapat diterokai kelak.
Jumpa lagi pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 di Laos tahun hadapan!