Zionis Israel kini ‘koyak’ lagi dengan seteru lama yang selama ini dihina dan diremehkan. Siapa tidak terkejut dengan kejayaan serangan mengejut dan penyusupan Hamas ke wilayah haram Zionis Israel pada 7 Oktober lepas yang memeranjatkan satu dunia, sehingga membuatkan MOSSAD sendiri tergamam dan pening kepala.
Siapa tidak tahu dengan keangkuhan MOSSAD selama ini yang terlalu percaya bahawa pertahanan dan keselamatan mereka terlalu kuat dan tidak boleh ditembus sehingga galak menjual peralatan serta sistem keselamatan dan perisikan ke seluruh dunia – sedangkan keselamatan negara sendiripun tidak mampu dijaga.
Selain kemampuan dan kesabaran Hamas yang amat dibanggakan sehingga mampu beroperasi secara rahsia di tahap tertinggi di depan mata Zionis MOSSAD sendiri, jelas menunjukkan bahawa teknologi yang dibanggakan selama ini hanya indah khabar dari rupa.
Tidak boleh lagi Zionis Israel dan perisikan MOSSAD mereka mahu mendabik dada dengan kemampuan pertahanan dan teknologi mereka jika keselamatan ‘rumah’ sendiripun tidak tahu dijaga dan habis dibolosi seteru yang selama ini bukan lagi dipandang rendah malah terus dianggap hina.
Rakyat Palestin dan Hamas yang menurut mereka telah berjaya dineutralkan dengan ancaman ketakutan setiap hari serta habuan wang ringgit rupa-rupanya hanya menanti waktu sesuai untuk menyerang balas.
Benarlah perumpamaan “jerat tidak pernah lupakan pelanduk” dan Zionis Israel kini terjebak malu di bawah teknologi keselamatan mereka yang kononnya terbaik di dunia, namun negara sendiri dibolosi. ‘Humint‘ atau human intelligence mereka juga amat memalukan.
Malah, cara pemberitaan luar negara sama ada Amerika Syarikat dan Eropah yang mahu menjaga “air muka” Zionis Israel, tetap terpaksa mengakui kelemahan dan kegagalan perisikan MOSSAD dalam mengetahui awal perancangan sulit Hamas.
Tiada satupun berita yang walaupun mengutuk tindakan Hamas, yang tidak mengakui kelemahan dan kegagalan MOSSAD memintas maklumat sulit yang mampu mengelakkan negara haram mereka diserang.
Justeru, MOSSAD tidak lagi boleh berbangga dengan teknologi dan pelbagai ‘kejayaan’ operasi sulit mereka di seluruh dunia kerana kini terbukti negara sendiripun gagal mereka pertahankan.
Inilah kegagalan dan malu terbesar buat Zionis Israel dan MOSSAD sejak kejayaan perang Yom Kippur 50 tahun dahulu yang kini tidak lagi boleh dirai dan dibanggakan.