Pernahkah kita dengar sebarang tuntutan pemandu e-hailing kepada kerajaan selama ini?
- Adakah selama ini mereka pernah menuntut pelbagai perkara daripada pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pengangkutan?
- Ketika berpuluh malah beratus ribu rakyat Malaysia yang ditimpa kesusahan seperti diberhentikan kerja ataupun mencari kerja tambahan untuk mencari nafkah tambahan buat keluarga, keperluan rumah dan membayar ansuran kereta, adakah mereka menyusahkan kerajaan dengan menuntut pelbagai perkara?
- Sebaliknya mereka ini langsung tidak meminta sedikitpun bantuan daripada pihak kerajaan apatah lagi Kementerian Pengangkutan
- Malah mereka mencari jalan keluar sendiri dengan menjadi pemandu e-hailing
- Bukankah selama ini mereka hanya mengikut dan patuh kerana mereka terikat dengan syarat-syarat yang ketat dalam SOP oleh syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing?
Persatuan dan pemandu teksi yang sering menuntut bermacam perkara daripada kerajaan
- Bukankah mereka selama ini yang asyik berdemonstrasi melampias ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan?
- Bukankah mereka yang mengugut kerajaan seperti yang boleh kita lihat sebelum PRU-14?
- Bukankah mereka yang mendesak Anthony Loke meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan?
Sampai bila kerajaan akan bersikap berat sebelah, tidak adil dan tidak habis-habis menyalahkan serta menekan pemandu e-hailing, sedangkan yang bermasalah sejak sekian lama adalah perkhidmatan teksi.
Perkhidmatan e-hailing tidak bermasalah, malah menjadi alternatif membantu menyelesaikan masalah pengangkutan awam.
Fakta Menteri Pengangkutan mengenai e-hailing-pun salah
Anthony Loke: “Pendapatan pemandu e-hailing adalah berpuluh ribu sebulan.”
Kita mohon Menteri cuba bawa e-hailing selama sebulan untuk lihat adakah beliau boleh memperoleh sehingga berpuluh ribu ringgit sebulan, pendapatan kasarpun tidak mengapa.
Fakta sebenar:
Berpuluh ribu pemandu-pemandu e-hailing yang aktif di Malaysia ketika ini dan bukannya pendapatan mereka berpuluh ribu sebulan, wahai YB Anthony Loke.
Jumlah 4-5 ribu ringgit sebulan yang mereka peroleh itupun pendapatan kasar, belum ditolak minyak dan penyelenggaraan.
Menteri jangan mengecam jika tidak berupaya selesai masalah
Menteri tidak usahlah mengecam pemandu e-hailing seolah-olah mereka ini sangat bermasalah dan sanggup berkata ‘tidak mahu beri muka lagi’, kerana selama ini mereka tidak pernah meminta apapun dari Menteri kecuali sedikit belas kasihan agar dilayan adil dan sama rata.
Berilah mereka ruang dan peluang, ramai yang menjadikan perkhidmatan e-hailing ini sebagai kerja sepenuh masa yang mengharapkan kerajaan berlaku adil terhadap mereka.
Sepatutnya Menteri keluarkan kenyataan tersebut kepada persatuan dan pemandu-pemandu teksi yang kerap menuntut dan mengugut, tetapi;
Tahap mentaliti dan mutu perkhidmatan teksi masih teruk sejak sekian lama.
Ini yang Menteri Pengangkutan patut selesaikan segera, bukannya ‘memberi muka’ kepada persatuan dan pemandu teksi yang tidak habis-habis menuntut pelbagai perkara daripada kerajaan.
Selepas ini apa lagi agaknya yang akan mereka tuntut?