ISU MALAYSIAN MALAYSIA – DR. RAMALAN YUNUS

420
SHARES
2.5k
VIEWS

Tidak ada apa yang salah dengan slogan “Malaysian Malaysia” yang dipromosikan oleh parti DAP di negara ini dalam membina naratif perjuangan politik mereka selagi ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sememangnya Malaysia adalah untuk seluruh rakyat Malaysia dan setiap warganegaranya sudah dijamin hak-hak mereka di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selagi mereka tidak melanggar sebarang peraturan dan undang-undang sedia ada maka mereka bebas untuk melakukan sebarang kegiatan atau aktiviti seharian.

Apa yang menjadi kesalahan ialah sekiranya mereka atau mana-mana pihak berjuang untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara republik sekular. Ini kerana ia jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana negara ini adalah sebuah negara Melayu – Islam dan mempunyai Raja atau The Malay – Islamic Kingdom.

Sebab itu Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Adakah salah DAP menganut ideologi sosialis demokrasi di negara ini? Tidak salah. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan mana-mana pihak untuk menganut kepercayaan selain Islam di negara ini.

Apa yang menjadi kesalahan ialah apabila ideologi itu dipromosikan kepada orang Melayu – Islam. Ini kerana berpegang kepada ideologi atau akidah selain Islam akan membatalkan akidah seorang Muslim.

Ini yang harus difahami oleh seluruh umat Islam di negara ini. Berpegang atau meyakini bahawa ideologi sosialis demokrasi itu lebih baik dari Islam akan menyebabkan seorang Muslim itu murtad.

Adakah seorang Muslim atau sesebuah parti politik Melayu – Islam tidak dibenarkan bekerjasama dengan DAP? Tidak ada masalah untuk mana-mana parti politik Melayu – Islam menjalin kerjasama dengan DAP bagi tujuan politik untuk sama-sama mentadbir negara ini.

Kalau Perlembagaan Persekutuan sendiri tidak menghalang kepelbagaian ideologi di negara ini maka kenapa pula bekerjasama dengan DAP dalam soal pentadbiran negara pula perlu dipermasalahkan?

Apa yang menjadi masalah dan kesalahan ialah sekiranya kita menerima ideologi politik DAP menjadi ideologi negara ini.

Adakah DAP merupakan ancaman kepada negara ini? Biarpun ideologi parti DAP bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan namun DAP bukan ancaman kepada negara ini selagi mereka tidak berjuang dengan menggunakan kekerasan atau mengangkat senjata bagi tujuan mencapai cita-cita politik mereka.

Dewan Rakyat atau Parlimen Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk memansuhkan perkara-perkara berkaitan dengan Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kalau benar DAP itu ancaman negara saya yakin sudah pasti Majlis Keselamatan Negara atau MKN akan memberi saranan kepada pihak kerajaan untuk mengharamkan parti DAP, sebagaimana kerajaan pernah mengharamkan Parti Komunis Malaya.

Adakah benar ideologi dan slogan parti DAP telah menyebabkan orang Melayu menolak UMNO? UMNO ditolak oleh orang Melayu bukan kerana ideologi dan slogan parti DAP tetapi oleh kerana permainan persepsi dan emosi dari musuh-musuh politik UMNO sebelum PRU-14 lagi.

Sejak dari awal penubuhannya, DAP selalu dijadikan sebagai instrumen politik untuk mengekalkan pengaruh dan sokongan orang Melayu kepada para elit politik Melayu.

Bagi DAP sendiri, suatu masa dahulu perkara itu buruk buat mereka. Tetapi pada hari ini perkara itu telah memberi keuntungan politik buat mereka.

Apa jalan ke hadapan buat UMNO dan Kerajaan Perpaduan? PH dan BN perlu dibubarkan untuk membentuk satu jajaran baru dalam politik. Ini akan memberi kelebihan dan keuntungan politik buat UMNO, PKR dan juga DAP.

Ketiga-tiga parti politik tersebut mempunyai “political base” yang berbeza. Maka tidak akan berlaku sebarang “conflict of political interest” atau percanggahan kepentingan politik buat mereka.

Andainya ini dapat difahami dan dihayati oleh para penyokong mereka maka tidak lama lagi kita akan menyaksikan satu pembentukan jajaran politik baharu di Malaysia.

Kepada seluruh rakyat Malaysia kalau mahu berpolitik dan bernegara belajarlah untuk memahami apa itu “national Interest, threat and security“.

Ini dapat mengelakkan kita dari terus diperbodohkan oleh para elit politik dan kapitalis yang berkepentingan.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts