PENDEKATAN INTERVENSI BERASASKAN SENI TERHADAP WARGA EMAS

344
SHARES
2k
VIEWS

Malaysia menuju status “negara tua” menjelang tahun 2030. Perancangan perlu dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan rakyat dapat disiapsiagakan menjelang tahun tersebut.

Warga emas bermaksud mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Namun begitu, warga emas kebanyakannya berisiko mengalami penyakit antaranya penyakit demensia.

Demensia bermaksud penyusutan daripada segi kemampuan minda, psikomotor, fungsi kognitif, emosi malah dianggap sebagai satu proses penuaan yang normal dan tidak dapat dielakkan. Kebanyakan jenis demensia tiada rawatan. Bagaimanapun, simptom atau gejala yang dialami boleh diatasi.

Kebanyakan warga emas akan dihantar ke pusat jagaan kerana persekitaran lebih kondusif dengan mempunyai kelengkapan yang baik bagi warga emas.

Hal ini kerana, tempat ini menjalankan penjagaan dan aktiviti harian kepada warga emas sama ada oleh agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta yang tentunya lebih baik berbanding di rumah.

Pusat jagaan ini juga mempunyai pasukan perubatannya sendiri seperti doktor dan jururawat, termasuk makan minum disediakan dan kemudahan lainnya juga sudah tersedia.

Intervensi berasaskan seni ialah pergerakan luas di seluruh dunia yang merangkumi cara seni mempengaruhi penjagaan pesakit, persekitaran hospital, penjagaan penjaga dan pembangunan komuniti dalam konteks perubatan dan lain-lain.

Terdapat penyelidikan dijalankan oleh Muhammad Asyraf Mohd Bakri pelajar doktor falsafah dari Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) di bawah seliaan Dr. Mohammad Kamal Sabran dari Pusat Pengajian Seni, USM serta Profesor Madya Dr. Asrenee Abd Razak dari Pusat Pengajian Sains Perubatan.

Pendekatan USM ialah dengan menggunakan aplikasi alat muzik angklung sebagai medium berasaskan seni terhadap warga emas di pusat jagaan. Beliau telah menjalankan aktiviti di Shalis Care Centre, Caring Retirement Home Care serta Pusat Jagaan Damai Permai.

Manfaat intervensi berasaskan seni dalam aplikasi angklung

Intervensi berasaskan seni ialah pendekatan yang dilakukan secara semula jadi tanpa menggunakan ubat yang mempengaruhi individu tertentu. Terdapat manfaat aplikasi angklung terhadap warga emas di pusat jagaan antaranya;

Pertama, dapat membantu kesejahteraan warga emas menerusi aktiviti yang dijalankan iaitu dari segi psikologi, tingkah laku pemain dalam permainan kerana angklung mengeluarkan bunyi tenang yang membantu perubahan emosi yang ceria, malah dapat berinteraksi dengan rakan semasa bermain.

Kedua, dapat menjalankan fungsi psikomotor warga emas melalui pergerakan tangan, malah alat muzik ini juga senang dimainkan dengan cara menggoncangnya sahaja untuk dimainkan.

Ketiga, dapat meningkatkan fungsi kognitif warga emas kerana menerusi aktiviti dalam kumpulan melalui pembelajaran, ingatan dan komunikasi dilakukan semasa permainan angklung selain dapat meningkatkan kepekaan dan penglihatan peserta terbabit.

Aktivti dijalankan dilihat mampu dijadikan sebagai sumber aktiviti yang baharu kepada warga emas di pusat jagaan sebagai aktiviti harian mereka.

Walaupun penyelidikan ini masih belum tamat, Muhammad Asyraf berharap lebih ramai penyelidik menjalankan kajian seumpamanya yang dapat membantu warga emas di negara ini melalui pendekatan intervensi berasaskan seni.

Muhammad Asyraf Mohd Bakri

Pusat Pengajian Seni

Universiti Sains Malaysia

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts