KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN PERKASA MALAYSIA
14 Mei 2019 | 9 Ramadhan 1440H (Selasa)
Nasrul Ali Hasan Abdul Latif
+601132144351
1. Terbaca sebuah artikel dari satu portal berita atas talian yang agak terkenal di Malaysia mengeluarkan satu artikel yang dikatakan hasil temuduga bersama seorang yang turut berada ketika peristiwa rusuhan tragedi 13 Mei. Tetapi penggambaran yang ditulis seperti sengaja mewujudkan watak orang Melayu sebagai orang yang jahat dan tidak berperikemanusiaan. Begitu juga tajuk yang ditegaskan iaitu Kampung Baru yang memang sinonim dengan keberadaan orang Melayu sejak dahulu lagi di situ.
2. Sememangnya jika kita temui golongan veteran yang sezaman dengan lelaki tersebut akan menceritakan bagaimana detik bersejarah pergaduhan dan pembunuhan kejam itu berlaku. Namun, dalam penulisan tersebut seolah-olah menggambarkan orang Melayu sebagai pelampau kaum yang memburukkan lagi keadaan. Ia seperti sengaja ingin mengalih fakta sejarah kepada satu sudut pandang yang baru dengan niat atau agenda tertentu.
3. Penulisan tersebut juga seperti ada babak cerita yang disembunyikan dan ada yang ditokok-tambah oleh penulis. Ia juga memperlihatkan seperti penulis berniat jahat dengan menekankan dua perkara memburukkan bangsa Melayu iaitu perihal penjual kopi yang dibunuh dan sekeluarga Cina di dalam kereta yang diserang.
4. PERKASA melihat penulis sengaja menulis sedemikian dengan niat ingin mensensasikan artikelnya tanpa merujuk kembali fakta sejarah dalam konteks peristiwa berdarah tragedi 13 Mei ini. Penulisan ini boleh disifatkan penulisan berunsur perkauman dengan niat secara halus memburukkan kaum Melayu melalui jalan cerita dan penekanan kepada babak-babak tertentu.
5. Para wartawan atau penulis khususnya dan juga seluruh rakyat Malaysia seharusnya mengelakkan memainkan isu sensitif dan menolak ekstremisme dalam memperingati 13 Mei yang mampu menyebabkan pergeseran di antara kaum.
Peristiwa yang telah berlaku haruslah menjadi pengajaran yang boleh dipelajari daripada rusuhan pada tahun 1969 itu yang mengakibatkan kematian ramai orang Melayu, Cina dan India. Jangan kerana keghairahan peralihan kuasa yang ditakbir oleh kerajaan hari ini yang juga berniat untuk mengubah fakta-fakta sejarah ini maka para penulis sewenang-wenangnya mengambil kesempatan menulis perkara yang sengaja ingin membakar api perkauman dan mewujudkan Islamophobia.
Editor bertanggungjawab terhadap artikel jahat ini dan pihak polis wajib menyiasat dari sudut keselamatan kerana ia amat berbahaya sekali. Seterusnya mengambil tindakan sewajarnya demi keselamatan rakyat kerana berita tulisan ini saperti memasang bom jangka yang boleh mencetuskan api permusuhan antara kaum.
Media sosial ini sudah lama diketahui sering menimbulkan berita sensasi dengan tajuk-tajuk yang amat mengelirukan dan cukup berbahaya kerana memutar belit kenyataan-kenyataan pihak tertentu bagi memenuhi agenda jahat mereka.
Terserah kepada pihak polis kerana ianya sudah menjadi tanggungjawab pihak keselamatan. Mencegah lebih baik daripada cuba mengubati kalau nasi sudah menjadi bubur kerana ia sudah terlambat. Inilah yang dikatakan kebebasan berita yang boleh menghancurkan kebebasan yang mengutamakan keharmonian.
PERKASA akan menunggu dan melihat sejauh mana permainan kotor ini berlanjutan, sejauh mana dan setegas mana pihak keselamatan dan agensi-agensi yang bertanggungjawab dalam mengawal “freedom of the press“, akan bertindak.
Sekian.