KENYATAAN MEDIA
MACSA menyuarakan kebimbangan dalam perdebatan terkini mengenai isu mengimbangi hak kedaulatan negara Malaysia dan tanggungjawab negara terhadap pelarian, khususnya kumpulan Rohingya. Kami berpandangan ada keperluan yang mendesak untuk kesemua rakyat memahami apa yang sebenarnya berlaku supaya tidak timbul kebencian melulu berdasarkan berita palsu.
Pertama, kerisauan akibat terlalu ramai kaum Rohingnya adalah kebimbangan yang munasabah dan perlu diakui oleh semua. Malangnya akibat ini, pelbagai andaian yang tidak benar dan ekstrim diambil oleh sebahagian masyarakat. Ini berlaku adalah kerana kurang jelas apakah polisi dan tindakan kerajaan menanganinya selama ini.
MACSA percaya, penyelesaian yang baik adalah untuk kerajaan memperjelaskan polisi dan tindakan yang diambil berkenaan dengan pelarian Rohingya. Penjelasan ini dapat menghuraikan bahawa polisi Malaysia bukanlah untuk memberikan kerakyatan dan mahu mereka pulang ke negara asal mereka, pada akhirnya. Dalam perkara ini kerajaan berpegang kepada prinsip non refoulement di bawah undang-undang antarabangsa. Mereka ini akan dipulangkan apabila keadaan mereka selamat dan terma-terma penghantaran balik dipersetujui oleh kedua belah pihak. Rakyat juga perlu tahu proses ini akan mengambil masa yang lama. Selain itu, kerajaan juga harus menerangkan bahawa Malaysia telah lama berusaha menempatkan pelarian Rohingya di negara lain dan telah mengambil beberapa tindakan untuk mendesak pematuhan dari Myanmar. Sementara menanti dipulangkan, kita perlukan satu dasar efektif untuk mereka yang berada di sini.
Kedua, MACSA mengambil maklum tentang beberapa insiden yang menunjukkan sesetengah pelarian Rohingya tidak mengamal kebersihan yang baik dan ada yang berseteru terhadap rakyat Malaysia. Namun, meskipun wujud di kalangan pelarian Rohingya yang berkelakuan sedemikian, ia tidak mewajarkan prejudis menyeluruh digunapakai ke atas semua kaum Rohingnya. Dalam pada rakyat dunia bermatian memerangi wabak COVID-19, wabak kebencian ini tidak seharusnya diberikan tempat untuk menular di hati rakyat Malaysia.
Untuk menyelesaikan masalah ini selain dari penguatkuasaan, kita harus mengambil maklum pertembungan budaya. Ramai dari kaum Rohingnya ini daif, miskin dan tidak berpelajaran, semenjak mereka datang dari Myanmar lagi. Jadi pembudayaan termasuk amalan kebersihan amatlah berbeza daripada rakyat Malaysia. Jurang pembudayaan akibat kemiskinan ini tidak wajar dijadikan galas untuk meneruskan prejudis yang kuat.
Apa yang harus dilakukan adalah mengiktiraf aduan rakyat Malaysia yang sah ini dengan meningkatkan tahap pembudayaan kaum Rohingnya untuk mendekati tahap pembudayaan rakyat Malaysia sendiri. Untuk ini, kita perlukan badan-badan yang mewakili pelarian Rohingnya untuk sama membantu. Organisasi bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat sivil (CSO) misalnya bukan sahaja perlu menumpukan kepada pemberian bantuan kemanusian tetapi juga merapatkan jurang pembudayaan sosial di antara kita. Untuk langkah jangka masa panjang, pembudayaan ini hanya dapat diterapkan melalui pendidikan. Dengan ini diharapkan, kita dapat duduk bersama dengan aman.
MACSA menggesa segala tutur cara kebencian tidak berasas dihentikan segera. Kritikan yang berasas patut diluahkan dan diterima tetapi tularan perkara palsu dan yang tidak boleh disahkan untuk memupuk kebencian mestilah dibendung setegas-tegasnya.
KENYATAAN BERSAMA:
LUKMAN SHERIFF ALIAS ialah Pengasas Malaysian Lawyers’ Circle (MLC) merangkap Pengerusi MACSA.
PROF MADYA DR. RAFIDAH HANIM MOKHTAR ialah Presiden, Perikatan Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) merangkap Pengerusi Bersama MACSA.