PUTRA GESA PERKETAT DASAR PATI, IKUT PENDEKATAN AUSTRALIA

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menggesa kerajaan mengambil pendekatan lebih tegas dalam menangani isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dengan mencontohi model penguatkuasaan yang diamalkan oleh Australia.

Presiden PUTRA, Dato’ Dr. Ibrahim Ali berkata, keadaan semasa berkaitan PATI di Malaysia semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera sebelum menjadi lebih serius.

Menurut beliau, jumlah PATI yang semakin meningkat bukan sahaja memberi tekanan kepada negara, malah turut menimbulkan pelbagai masalah sosial dan keselamatan.

Jumlah PATI sudah terlalu ramai dan terdapat dalam kalangan mereka yang bertindak biadab, melakukan jenayah serta berani melanggar undang-undang negara. Kerajaan perlu menjelaskan apakah dasar sebenar berkaitan PATI sebelum keadaan menjadi lebih buruk,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ibrahim berkata Australia boleh dijadikan contoh kerana negara itu mempunyai dasar yang jelas dan tegas dalam mengawal kemasukan pendatang tanpa izin, khususnya mereka yang tiba melalui laluan laut.

Beliau menjelaskan bahawa di bawah undang-undang Australia, individu yang memasuki negara itu menggunakan bot tanpa kebenaran tidak dibenarkan menetap di Australia walaupun mereka diiktiraf sebagai pelarian.

Menurutnya, pihak berkuasa Australia akan memintas kapal yang membawa pelarian sebelum mereka sempat mendarat di tanah besar negara itu.

Jika kapal tersebut masih selamat untuk belayar, ia akan diarahkan berpatah balik. Jika kapal itu rosak atau karam, penumpangnya akan diselamatkan atas dasar kemanusiaan tetapi tidak dibawa masuk ke Australia,” katanya.

Sebaliknya, mereka akan dihantar ke pusat pemprosesan luar negara seperti di Pulau Nauru untuk proses penentuan status pelarian sebelum ditempatkan di negara lain atau dihantar pulang ke tempat asal sekiranya keadaan mengizinkan.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan tersebut telah terbukti berkesan dalam mengawal kemasukan pendatang tanpa izin walaupun Australia merupakan sebuah negara yang mempunyai keluasan wilayah yang besar.

Dalam pada itu, Ibrahim turut mencadangkan agar kerajaan menetapkan had maksimum PATI yang boleh diterima di negara ini.

Malaysia perlu menetapkan jumlah PATI yang boleh diterima masuk. Sebagai contoh, jika had ditetapkan pada 200,000 orang, maka kemasukan yang melebihi jumlah itu perlu ditolak dan tindakan pengusiran dilaksanakan tanpa kompromi,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan mengapa beberapa negara jiran seperti Thailand tidak menjadi sasaran utama PATI seperti Malaysia.

Menurutnya, perkara itu berlaku kerana negara-negara tersebut lebih tegas dalam penguatkuasaan undang-undang dan tidak bertolak ansur terhadap kemasukan pendatang tanpa izin.

Katanya lagi, Malaysia dilihat sebagai destinasi pilihan kerana wujudnya kelemahan dalam sistem penguatkuasaan, termasuk masalah rasuah dan ketirisan yang membolehkan PATI memasuki negara ini dengan lebih mudah.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memperketat kawalan di semua pintu masuk dan sempadan negara serta memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara tegas tanpa mengira status individu yang cuba memasuki negara secara tidak sah.

Malaysia memerlukan dasar yang jelas, penguatkuasaan yang tegas dan bebas rasuah bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan negara terus terpelihara,” katanya.