1. Malaysia wajar mengikut pendekatan Australia dalam menangani isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kerana keadaan di Malaysia kini semakin membimbangkan – apabila jumlah PATI terus meningkat dan menimbulkan pelbagai implikasi kepada negara.
2. Jumlah PATI yang terlalu ramai telah menimbulkan pelbagai masalah, ada dalam kalangan mereka yang bertindak biadab, tidak menghormati undang-undang, melakukan jenayah serta melanggar peraturan negara dengan sewenang-wenangnya.
3. Persoalannya, apakah kesudahan isu ini dan apakah dasar kerajaan sebenarnya mengenai PATI ini sebelum keadaan menjadi semakin buruk?
4. Jika di Australia mereka mempunyai dasar yang jelas dan tegas dalam menangani kemasukan pendatang tanpa izin. Di bawah undang-undang negara tersebut, sesiapa sahaja yang tiba menggunakan bot tanpa kebenaran diharamkan sama sekali daripada menetap di Australia seumur hidup, walaupun mereka status mereka sah diiktiraf sebagai pelarian.
5. Apabila sebuah kapal pelarian memasuki perairan Australia, pihak berkuasa akan bertindak dengan pantas dan tegas.
6. Kapal tentera laut serta Australian Border Force (ABF) akan memintas kapal tersebut sebelum ia sempat mendarat di tanah besar Australia.
7. Pada masa yang sama, pihak berkuasa tetap memastikan keselamatan pelarian, memberikan rawatan kecemasan kepada yang memerlukan termasuk membekalkan makanan dan air.
Pendekatan Australia boleh diringkaskan kepada tiga tindakan utama:
I. DIUSIR ATAU DIARAHKAN BERPATAH BALIK
Dasar utama Australia ialah menghalang kapal pelarian daripada memasuki wilayah negara mereka. Jika kapal pelarian tersebut masih selamat untuk meneruskan pelayaran, pihak berkuasa akan mengiringi atau mengarahkan kapal berkenaan berpatah balik ke perairan antarabangsa.
ii. DIHANTAR KE PUSAT PEMPROSESAN TAHANAN LUAR
Sekiranya kapal berkenaan uzur, bocor atau karam, atas dasar kemanusiaan, pihak berkuasa Australia akan menyelamatkan pelarian. Sungguhpun begitu, mereka tidak akan dibawa masuk ke tanah besar Australia.
Sebaliknya, pelarian akan dipindahkan ke kapal penguatkuasa dan dihantar ke pusat pemprosesan serantau di Pulau Nauru.
Di sana, status mereka sebagai pelarian akan diproses oleh pihak berkuasa imigresen. Mereka kemudiannya boleh ditempatkan di negara-negara yang menerima pelarian berdasarkan perjanjian antarabangsa mengenai pelarian.
iii. DIHANTAR PULANG KE TEMPAT ASAL
Mereka juga boleh dihantar pulang ke negara asal atau ke kem pelarian asal sekiranya keadaan di lokasi tersebut didapati selamat.
8. Secara ringkasnya, pelarian yang datang menggunakan bot atau kapal tidak akan mempunyai peluang untuk menjejakkan kaki atau tinggal dalam komuniti Australia.
9. Malaysia boleh mencontohi pendekatan Australia kerana negara itu terbukti berjaya menyekat kemasukan PATI walaupun mempunyai keluasan wilayah yang besar. Kejayaan tersebut dicapai melalui dasar yang jelas, pelaksanaan undang-undang yang tegas dan cekap serta penguatkuasaan yang bebas daripada rasuah.
10. Selain itu, Malaysia juga perlu menetapkan had maksimum PATI yang boleh diterima masuk ke negara ini. Sebagai contoh, jumlah tersebut boleh dihadkan kepada 200,000 orang dan sekiranya telah melebihi had yang ditetapkan, baki yang lain perlu diusir tanpa kompromi.
11. Persoalan yang turut perlu dijawab ialah mengapa Thailand dan beberapa negara jiran lain tidak menjadi sasaran utama PATI? Jawapannya ialah kerana negara-negara tersebut lebih tegas dan tidak bertolak ansur dalam soal kemasukan pendatang tanpa izin.
Sebaliknya, Malaysia dilihat sebagai destinasi pilihan kerana wujudnya pelbagai kelemahan dalam sistem, termasuk kebocoran akibat rasuah serta sikap segelintir pemimpin dan pegawai kerajaan yang tidak bertanggungjawab.
Justeru, kawalan yang lebih ketat dan tegas perlu dilaksanakan di semua pintu masuk dan sempadan negara seperti yang diamalkan oleh Australia dan beberapa negara Eropah. Tidak kira apa jua status mereka, kemasukan PATI perlu disekat dan tindakan pengusiran dilaksanakan mengikut undang-undang negara.
Dato’ Dr. Ibrahim Ali
Presiden PUTRA
15 Jun 2026






