KENYATAAN MEDIA KETUA PERGERAKAN WIRA PUTRA MALAYSIA
27 Jun 2021 | 16 Zulkaedah 1442H
1. Wira PUTRA menyokong penuh bantahan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkenaan cadangan Kementerian Kewangan untuk membenarkan pengeluaran i-Sinar 2.0 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
2. Pada ketika ini, bukanlah masa terbaik untuk menghabiskan simpanan rakyat. Sudah cukup rakyat tertekan dengan keadaan semasa negara yang tidak stabil dan ekonomi semakin merudum. Kerajaan tidak wajar mengambil kesempatan dalam kesempitan rakyat.
3. Terdahulu PKP 1.0 dan 2.0 rakyat terpaksa mengorbankan simpanan bagi merancakkan ekonomi dalam keadaan pandemik, takkan pada saat genting seperti ini rakyat perlu sekali lagi ‘gali’ baki simpanan sedangkan Menteri dan Pemimpin kerajaan masih hidup bermewah-mewah?
Pengeluaran yang dibuat bagi i-Sinar dan i-Lestari sebelum ini juga kebanyakan digunakan bagi membayar dan menutup hutang semasa bagi memastikan rakyat dapat meneruskan kelangsungan hidup tanpa hutang. Kesannya rakyat tetap bayar hutang menggunakan duit simpanan masa depan mereka sedangkan bank tidak megalami sebarang kerugian.
4. Selaras dengan tuntutan Wira PUTRA jika PKP 3.0 diadakan, sewajarnya kerajaan yang prihatin mengeluarkan bantuan kewangan bagi membantu rakyat yang terpaksa duduk di rumah, hilang pekerjaan, masih menganggur, gaji dipotong dan sebagainya. Seolah-olah kerajaan tidak berbuat apa-apa dalam usaha menangani krisis sepanjang tempoh PKP 3.0 ini dikuatkuasa.
5. Menjadi tanggungjawab kerajaan mencari dana dan mengeluarkan bantuan kepada rakyat yang telah terkesan akibat PKP yang kerajaan tetapkan. Antara tuntutan utama yang Wira PUTRA tegaskan adalah satu bentuk pemberian one-off sekurang-kurangnya RM2,000 diberi atau diolah kepada bentuk kad pembelian barangan asas isi rumah dimasukkan ke dalam Pelan Pemulihan sekiranya tempoh PKP tidak dapat ditamatkan dalam masa terdekat.
6. Selain itu, moratarium penuh buat seluruh rakyat selama sekurang-kurangnya 6 bulan tanpa ada caj tambahan dan tersembunyi perlu diwartakan jika benar kerajaan prihatin terhadap rakyat. Ini kerana semua bank di Malaysia telah menunjukkan pendapatan yang positif pada tahun lalu walaupun PKP telah mula dikuatkuasa. Sudah tiba masa kerajaan minta semua bank berkongsi keuntungan dengan rakyat dan beri kelonggaran pembayaran balik hutang tanpa faedah dan caj tambahan.
Sekian.
Oleh Nasrul Ali Hasan Abdul Latif
Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia