Seminggu dua ini heboh mengenai akaun Bersatu dibekukan bagi memudahkan siasatan dijalankan SPRM dan pihak berkuasa untuk memastikan sama ada sumber dana pilihan raya mereka ‘bersih’ dan patuh undang-undang ataupun tidak. Sungguhpun begitu, pemimpin-pemimpin Bersatu terlebih melatah, beriya cuba menjustifikasikan sumber kewangan mereka bersih dan tidak menyalahi undang-undang. Macam-macam alasan digunakan sedangkan lebih baik mereka diam dan berbincang dengan para peguam.
Ini termasuklah cubaan tidak wajar dilakukan Haji Hadi dan PAS yang seperti biasa asyik mengeluarkan ‘dalil’ sesuka hati mereka dalam menghalalkan sumber kewangan partinya dan Perikatan Nasional. Rakyat melihat, jika parti mereka lakukan rasuah yang jelas diharamkan dalam Islam, ia akan ‘dihalalkan’ secara terang-terangan oleh pemimpin mereka yang mengaku ‘ulama’ atau ‘Tok Guru’. Namun realitinya akhlak dan amalan agama mereka langsung tidak mencerminkan ciri-ciri seorang ulama ataupun Tok Guru.
Tindakan berlebihan kerana takut disiasat ini dilihat bakal menyukarkan mereka kelak. Sebagai contoh dalam isu rasuah pengundi, Haji Hadi sendiri mengaku secara langsung dan tidak pula menafikannya apabila mengatakannya sebagai ‘sedekah’. Ini tentu memudahkan SPRM membuat siasatan kerana sudah wujudpun pengakuan secara terang-terangan oleh Haji Hadi sendiri.
Dalam isu Bersatu pula mereka melatah tidak tentu hala dan mengeluarkan kenyataan yang kurang cerdik serta hanya dilihat cuba menegakkan benang yang basah. Mereka dilihat begitu takut dan bersikap tidak wajar termasuk mahu membawa SPRM ke mahkamah kerana kononnya dana mereka begitu bersih dan tiada kesalahan undang-undang. PAS dan Bersatu tidak perlu takut jika benar-benar ‘bersih’ kerana jika benarlah mereka tidak terlibat dengan dana yang menyalahi undang-undang, kenapa ‘kalut’ sangat?