Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberikan jaminan bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Beliau berkata kerajaan tidak akan menamatkan BR1M yang diberikan oleh kerajaan sebelum ini namun bantuan tersebut akan ditukar nama kepada Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) dan diberikan kepada mereka yang berkelayakan.
“Kita tidak akan menamatkan BR1M, namun kami memerlukan sedikit masa.”
Beliau membuat kenyataan tersebut dalam sebuah ceramah Pakatan Harapan malam tadi yang disampaikan di Bandar Damai Perdana, Balakong.
Walaubagaimanapun kenyataan tersebut dilihat bertentangan dengan cadangan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini yang berkata akan mengurangkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan seterusnya ditamatkan.
Kenyataan Perdana Menteri kemudiannya disokong oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali, dengan mengatakan bahawa bantuan tersebut mempunyai unsur rasuah, yang mendapat kecaman ramai termasuklah Tan Sri Rais Yatim.
Saranan Tun Mahathir dan Azmin untuk menamatkan BR1M juga ditempelak oleh Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid secara terbuka.
Abdullah mengingatkan Azmin dan sesiapa yang bersetuju untuk tidak meneruskan BR1M bahawa bantuan sara hidup tersebut termasuk dalam janji manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 lalu.
Kerajaan melakukan kesilapan besar sekiranya menamatkan BR1M kerana bantuan tersebut diwujudkan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan kadar 6 peratus mula diperkenalkan pada 1 April 2015.
Apatah lagi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pula akan dikembalikan pada 1 September ini dengan kadar yang lebih tinggi berbanding GST iaitu 10 peratus.
Malah pemberian BR1M oleh kerajaan sebelum ini terbukti berkesan bagi membantu rakyat dan wajar diteruskan.
Sebagai rekod, BR1M diwujudkan atas nasihat bekas Gabernor Bank Negara iaitu Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang kini menganggotai Majlis Penasihat Kerajaan.