A NEW DEAL FOR TERENGGANU – DR. RAMALAN YUNUS

85
SHARES
275
VIEWS

Saya optimis Kerajaan Perpaduan mampu membuat kejutan yang besar di Terengganu pada PRN kali ini. Dengan calon Menteri Besar yang berwibawa dan manifesto PRN yang mesra rakyat saya yakin ia akan mampu membuat kejutan.

Ini kerana ia  merupakan perkara yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Terengganu. Pemikiran dan sikap rakyat Terengganu agak sederhana dan terbuka dalam politik dan dalam mencari kepemimpinan negeri. 

Mereka tidak fanatik kepada parti PAS dan mereka juga tidak anti kepada parti UMNO. Mereka sederhana, rasional, terbuka dan mengalu-alukan setiap perubahan yang mampu memberi kebaikan kepada mereka.

Rakyat Terengganu tidak menolak UMNO. Mereka hanya menolak generasi lama yang diketuai oleh Dato’ Seri Ahmad Said, bekas Menteri Besar Terengganu.

Mereka mahukan muka baru yang lebih berwibawa dan direstui oleh Istana untuk menerajui UMNO dan seterusnya menerajui kerajaan negeri.

Apabila bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia iaitu Datuk Seri Jailani Johari dipilih sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Hulu Terengganu pada PRN kali ini, ia memberikan satu tawaran baru kepada seluruh rakyat Terengganu.

Dengan dibantu oleh manifesto dari Kerajaan Perpaduan yang mesra rakyat peluang untuk UMNO membuat kejutan semakin cerah. 

Persoalannya sekarang apakah Dato’ Seri Ahmad Said boleh menerima kenyataan bahawa masa beliau sudah tamat dan bersedia untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Jailani Johari? Masalah besar yang sering dihadapi oleh UMNO adalah kerana “warlord-warlord” yang ada di dalam UMNO cukup sukar untuk bersara dari politik.

Mereka lebih bersedia untuk menerima kekalahan berbanding dari memberi laluan kepada muka baru yang lebih berwibawa dan diterima ramai. Apabila nama-nama mereka tidak dipilih sebagai calon dalam PRU atau PRN, mereka lebih memilih untuk mensabotaj parti dari memberi sokongan kepada muka baru.

Keadaan seperti ini sering mendatangkan dilema kepada pucuk pimpinan UMNO pusat untuk membuat pemilihan calon-calon apabila setiap kali berdepan dengan PRU atau PRN. Ini yang berlaku pada PRU-15 dan PRU sebelumnya. UMNO sering disabotaj dari dalam.

Prestasi UMNO merosot bukan kerana parti-parti lawan semakin kuat tetapi kerana dikhianati oleh bekas para pemimpin UMNO sendiri. Walau bagaimanapun UMNO tetap kekal relevan sehingga ke hari ini. Buktinya UMNO terus berada di dalam kerajaan.

Semenjak merdeka sehingga ke hari ini iaitu selama 66 tahun UMNO hanya tidak berkuasa atau tidak berada dalam kerajaan cuma 22 bulan sahaja.

Itu satu pencapaian yang luar biasa buat sesebuah parti politik. Sehingga ke hari ini tiada satu parti politikpun yang mampu membuktikan bahawa mereka lebih baik dari UMNO. Itulah UMNO. Sebuah parti politik yang boleh diibaratkan seperti sebutir permata. Biar berada di lembah yang paling kotor sekalipun ia tetap bernilai.

Jadi saya tidak nampak kenapa rakyat harus memilih PN yang diperkuatkan oleh bekas para pemimpin UMNO yang sanggup mengkhianati parti yang telah banyak berjasa kepada mereka. Malah pada hari ini bekas para pemimpin UMNO atau para “warlord” ini pada hakikatnya sedang diperalat dan dipergunakan oleh parti PAS untuk mendapatkan kuasa politik.

Manakala PAS pula tidak lebih dari sebuah parti politik yang oportunis yang sanggup menghalalkan apa sahaja atas nama Islam demi untuk mendapatkan kuasa politik. Saya hanya boleh berharap rakyat semakin matang dalam membuat pilihan pada PRN ini.

Jangan terpedaya dengan permainan persepsi yang memanipulasi dan mengeksploitasi sentimen agama dan bangsa oleh para pemimpin PN.

Mereka itu bukan berjuang untuk kepentingan rakyat dan negara melainkan untuk kepentingan peribadi masing-masing. Sudah terbukti mereka gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab apabila diberikan amanah oleh rakyat.

Maka adalah lebih baik untuk kita menyokong Kerajaan Perpaduan berbanding PN. Sekurang-kurangnya kita sudah menjalankan kewajipan agama untuk mentaati Raja-raja Melayu atau Ulil Amri negara ini.

Tidak ada dalil yang lebih tinggi dan mulia dalam proses politik dan bernegara yang mampu mengatasi dalil untuk mentaati Allah, Rasul dan Ulil Amri.

Semoga tawaran terbaik dari Kerajaan Perpaduan buat seluruh rakyat Terengganu ini diterima dengan baik pada PRN kali ini.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts