Percubaan militan Houthi menyerang kemudahan awam di wilayah sempadan selatan Arab Saudi di Najran melalui dron yang dilengkapi dengan bahan letupan, berjaya dipintas oleh Tentera Udara Diraja Arab Saudi.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Saudi (SPA), menurut Kolonel Turki Al-Maliki, jurucakap pakatan tentera yang diketuai oleh Saudi berkata, sasaran yang cuba diserang itu adalah satu kemudahan yang penting.
“Militia pengganas yang disokong Houthi Iran terus melakukan tindakan keganasan yang menimbulkan ancaman nyata terhadap keselamatan serantau dan antarabangsa dengan menyasarkan objek dan kemudahan awam, selain rakyat Saudi dan penduduk pelbagai negara.”
Kenyataan itu tidak menyatakan angka korban serta tiada butiran lanjut disertakan.
Terdahulu pada Isnin lepas, Al-Maliki berkata militan Houthi melepaskan dua peluru berpandu balistik ke bandar suci Makkah dan Jeddah tetapi kedua-duanya berjaya ditembak jatuh oleh pasukan pertahanan udara mereka.
Militan Houthi yang disokong Iran telah melancarkan berpuluh-puluh peluru berpandu ke Arab Saudi, termasuk ibu negara Riyadh, sejak Gabungan Arab campur tangan pada tahun 2015 untuk memulihkan kerajaan Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi yang digulingkan dalam rampasan kuasa oleh militan Houthi.