Oleh Mohd Puad Zarkashi
26 Jun 2019
A. Kadir Jasin Pengarah Media Pejabat PM menyatakan pemimpin yang terlibat dengan skandal seks mesti meletak jawatan. Dia merujuk kepada kes video Azmin love Haziq.
Bila pembertia minta komen Tun M terhadap tulisan A. Kadir Jasin itu, jawapan Tun M ialah “Bukan cara Malaysia” seseorang itu meletak jawatan kerana video lucah.
Bukan cara Malaysia maksudnya bukan budaya Malaysia. Cara adalah kebiasaan. Kebiasaan boleh bertukar menjadi budaya.
Bercakap soal cara atau budaya Malaysia dalam isu moral, saya teringat peristiwa 36 tahun dulu ketika menuntut di Amerika Syarikat.
Sepasang pelajar Malaysia tajaan biasiswa kerajaan di Stockton California dibicarakan atas tuduhan membunuh anak luar nikah mereka. Bayi yang baru lahir itu dibungkus dan dibuang dalam tong sampah.
Keesokan harinya, tukang angkat sampah terdengar bunyi bayi menangis. Rupanya bayi itu masih hidup tetapi kerana kesejukan bayi itu mati bila dibawa ke hospital. Pelajar itu dikenakan dakwaan first degree murder.
Semasa perbicaraan, peguambela pasangan pelajar itu meminta Mahkamah membebaskan mereka atas alasan “Menghormati cara atau budaya Malaysia”.
Hujah peguam ialah, di Amerika seks bebas dan seks sebelum kahwin adalah perkara biasa. Justeru apabila dapat anak luar nikah anak itu diterima dan akan dijaga dengan baik.
Tetapi di Malaysia, mereka malu apabila melahirkan anak luar nikah. Maka dengan menggunakan keratan akhbar di Malaysia dia menunjukkan bukti gambar anak anak luar nikah ditinggalkan dalam tong sampah, tepi longkang, dalam tandas, dalam masjid, dalam semak dan depan pagar rumah orang.
Hujah peguam, itu budaya atau cara orang Malaysia. Maka beliau mahu Mahkamah membebaskan pasangan tersebut demi menghormati cara atau budaya Malaysia.
Hakim bersetuju dan memutuskan pasangan itu tidak bersalah dan dibebaskan kerana menghormati budaya orang Malaysia.
Adakah Tun M setuju dengan Hakim tersebut? Adakah itu cara Malaysia apabila mendapat anak luar nikah?
Justeru adakah Tun M mengutamakan cara atau budaya daripada prinsip moral sejati?
Dalam kes Azmin, betulkah meletakkan jawatan bukan cara/budaya Malaysia sebenar? Kalau begitu kenapa dalam kes Anwar, Tun M pecat dia sebagai TPM dan ahli UMNO?
Bahkan secara terbuka Tun M mendakwa dia tidak boleh membenarkan seorang yang rendah moralnya menjadi Perdana Menteri.
Sebab itu sebenarnya standard “Ukuran moral Tun Mahathir” adalah “Ikut Suka Aku (ISA)”. Azmin terselamat tetapi Anwar teraniaya.
Tetapi Anwar tidak boleh menyalahkan Tun M. Mereka sama sama bersubahat. Kenapa “Politik jijik” hanya dikaitkan dengan video seks? Apakah fitnah, cakap bohong, tidak menunaikan janji dan selective prosecution bukan politik jijik?
Malang sekali Malaysia mendapat seorang Perdana Menteri yang memiliki ukuran standard moral mengikut suka hati beliau.
Itu cara Mahathir bukan cara Malaysia.