Satu program yang dinamakan sebagai Kongres Maruah Melayu dijangka akan diadakan esok, 6 Oktober di Stadium Melawati Shah Alam.
Kongres tersebut dikatakan sebagai pentas menghimpunkan para pemimpin Melayu tanpa mengira parti politik termasuklah pelbagai NGO Islam, turut menyaksikan kehadiran pimpinan PAS dan juga UMNO, sama ada secara terpaksa ataupun rela.
Kongres tersebut juga akan dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kononnya akan hadir sebagai pemimpin Melayu dan bukan atas kapasiti beliau selaku Perdana Menteri.
Tentunya kemuncak acara tersebut adalah amanat yang ingin Tun Mahathir sampaikan, yang amat dinanti-nantikan oleh pelbagai pihak.
Hakikatnya majoriti orang Melayu amat berharap beliau akan mengumumkan peletakan jawatan ataupun membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan lebih awal, namun dua harapan utama orang Melayu tersebut dilihat mustahil menjadi perkara yang akan beliau ‘amanat’kan.
Menurut penganjur pula, kongres ini bertujuan menjawab persoalan berhubung kedudukan Melayu, Islam dan kebudayaan secara terbuka serta berilmiah di mana fokus kongres sehari tersebut adalah mengenai persoalan politik, ekonomi, pendidikan serta kebudayaan dan agama.
Kongres tersebut walaupun merupakan anjuran bersama Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), kelihatan mencurigakan apabila Pengerusinya adalah seorang ahli politik yang melompat masuk parti Tun Mahathir, yang kini begitu terdesak ingin menonjolkan bakat dan khidmat baktinya kepada Perdana Menteri tersebut.
Ini kerana sebelum ini dalam pelbagai isu melibatkan agama Islam dan orang Melayu, tidak sekalipun beliau tampil ke hadapan untuk mempertahankan ‘maruah Melayu’.
Pembabitan beliau dalam kongres ini jelas hanya menimbulkan lebih banyak persoalan dan prasangka apatah lagi ia dibuat tidak lama selepas kejayaan penyatuan ummah dan termeterainya Piagam Muafakat Nasional.
Seperti rakyat Malaysia semua maklum, apabila bergabungnya parti PAS dan UMNO serta makluman mengenai Penyatuan Ummah diisytiharkan, ia menggusarkan pihak kerajaan terutamanya parti DAP.
Pelbagai kecaman dan tohmahan dilemparkan oleh pemimpin-pemimpin mereka sebelum ini namun amat berbeza dalam penganjuran Kongres Maruah Melayu, yang dilihat tidak menggusarkan mereka sedikitpun.
Jika sebelum ini sebarang program yang diwujudkan berkaitan Melayu dan Islam akan dikecam hebat serta-merta secara bertalu-talu oleh DAP walaupun berpaksikan penyatuan ummah dan kempen yang menyeru pada penggunaan barangan Muslim, yang langsung tiada kena mengena dengan mereka.
Malah teguran lunak Lim Kit Siang terhadap kongres ini dilihat hanya seperti melepaskan batuk di tangga agar DAP tidak dikecam kerana tidak membantah penganjuran kongres ini.
Tindakan dwi standard DAP ini memberi gambaran seolah-olah mereka merestui Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan ini kerana tentunya akan memberi manfaat kepada mereka.
Justeru tidak sukar meneka muslihat kongres ini diadakan dan tidak lama lagi agenda sebenar pasti tetap akan terbongkar.
Sama ada mereka benar-benar ikhlas memperjuangkan maruah Melayu atau hanya mengambil kesempatan atas kelembutan dan toleransi orang Melayu, sama-sama kita tunggu dan lihat.