ANWAR BUKAN PILIHAN RAKYAT – DR. RAMALAN YUNUS 

159
SHARES
513
VIEWS

Tun Mahathir mengulangi lagi kenyataannya bahawa Anwar bukan Perdana Menteri pilihan rakyat. Ya, memang benar Anwar bukan Perdana Menteri pilihan rakyat.

Dato’ Seri Anwar ialah Perdana Menteri yang dipilih dan dilantik oleh DYMM Tuanku Agong untuk memimpin Kerajaan Perpaduan yang dititahkan pembentukannya oleh baginda. Ini kerana selepas PRU-15, tidak ada satupun gabungan parti-parti politik yang mendapat majoriti mudah.

Ini bukan masalah. Ini solusi dari Istana Negara untuk menyelesaikan konflik politik dan krisis ekonomi yang sedang melanda negara. Persoalannya ialah kenapa seorang tokoh besar dan ahli politik yang cukup berpengalaman seperti Tun Mahathir tidak dapat menerima kenyataan ini?

Apa lagi yang beliau mahukan? Mahu jadi Perdana Menteri lagi sekali? Beliau sudahpun mendapat peluang sebanyak dua kali menjadi Perdana Menteri Malaysia untuk membuktikan kemampuannya mentadbir negara ini.

Tempoh pentadbirannya cukup panjang. Iaitu selama 22 tahun dan ditambah lagi dengan 22 bulan. Namun beliau terbukti gagal menjadi seorang Perdana Menteri Malaysia yang baik.

Gaya kepemimpinannya dan strategi politiknya telah membuatkan rakyat Malaysia membenci UMNO semasa beliau menjadi Perdana Menteri keempat Malaysia. Pelbagai gelaran dan label yang buruk telah diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap beliau pada waktu itu.

Dasar-dasar pentadbirannya seperti dasar perindustrian, dasar automotif dan dasar penswastaan telah memiskinkan orang Melayu dan menyebabkan mereka terpinggir di negara sendiri.

Kegagalannya yang paling ketara ialah apabila beliau tidak berjaya memulihkan kembali nilai ringgit kepada nilai asalnya sebelum krisis matawang pada tahun 1997. Dari krisis tersebut bermula era bajet defisit sehinggalah ke hari ini.

Kejayaan yang dibanggakan oleh para penyokong Tun Mahathir agak berlebihan dan sebenarnya hanyalah bersifat kosmetik semata-mata. Tidak ada satupun projek beliau yang mampu mengatasi kejayaan Felda, Petronas dan lain-lain projek yang diwujudkan di zaman Tun Abdul Razak Hussein.

Kali kedua menjadi Perdana Menteri Malaysia prestasi beliau lebih buruk lagi. Ekonomi negara yang berjalan baik di zaman Dato’ Seri Najib terus merudum di tangannya.

Jadi secara peribadi sebagai seorang usahawan dan ahli kewangan yang faham tentang ilmu politik dan ekonomi, saya akan mengenang beliau sebagai seorang pemimpin yang gagal. Kejayaannya di mata saya hanya sekadar menjadi pemecah-belah penyatuan dan perpaduan orang Melayu.

Bayangkan apa yang akan Tun Mahathir lakukan jika beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia pada hari ini?

Saya masih ingat lagi apabila berlaku krisis dalam UMNO pada tahun 1987 dan apa yang telah beliau lakukan atas alasan untuk mengekalkan kestabilan politik.

Beliau telah menangkap beratus-ratus ahli-ahli politik yang menentangnya dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam satu operasi besar-besaran yang dipanggil Operasi Lalang.

Begitu juga apabila timbul lagi krisis dalam UMNO pada tahun 1998 berikutan pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari UMNO. Ramai penyokong-penyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah ditangkap dan ditahan dengan menggunakan ISA.

Tidak cukup sekadar itu, beliau telah berjaya memujuk dan merayu musuh-musuh politiknya untuk bersama-sama beliau menyerang Dato’ Seri Najib Razak. Pelbagai pembohongan, fitnah dan persepsi buruk yang dilemparkan kepada Dato’ Seri Najib dan UMNO-BN demi untuk memenangi PRU-14.

Saya kira ramai yang masih ingat dengan kenyataannya di Dewan Rakyat bahawa manifesto bukan kitab suci.

Kini untuk kekal relevan dalam dunia politik, beliau melancarkan gerakan Proklamasi Melayu yang saya sifatkan sebagai satu gerakan anti tesis terhadap pembinaan sebuah negara bangsa yang berasaskan kepada konsep Malaysia Madani.

Penyatuan Melayu versi Tun Mahathir dan PN cacat logik dan cacat dari segi definisinya. Mana tidaknya konon anti DAP tetapi mereka berusaha membunuh UMNO.

Kalau benar jujur dan ikhlas mahu menyatukan Melayu, bubarkan semua parti Melayu dan masuk ke dalam UMNO. Bukankah itu jauh lebih baik dari berusaha membunuh UMNO yang mempunyai sejarah yang panjang dan jasa yang besar terhadap rakyat dan negara ini?

Adakah beliau akan dikenang sebagai hero bangsa Melayu moden kalau berjaya membunuh UMNO? Saya masih gagal meraba logik berfikir Tun Mahathir.

Saya kira sudah sampai masanya untuk Dato’ Seri Anwar melakukan kaedah dan pendekatan yang sama seperti Tun Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri Malaysia. Langkah-langkah yang tegas perlu diambil atas nama kestabilan politik dan demi kesejahteraan serta kemakmuran rakyat dan negara ini.

Ini kerana teguran dari pihak Istana kelihatannya tidak mampu mengurangkan keghairahan beliau untuk terus menyerang Dato’ Seri Anwar dan Kerajaan Perpaduan.

Kita tidak boleh membuang masa hanya untuk melayani segelintir politikus yang begitu rakus dengan kuasa dan jawatan. Masa yang masih tersisa harus digunakan sepenuhnya untuk menangani isu-isu ekonomi dan kewangan yang kritikal.

Kita tidak akan berjaya memulihkan ekonomi dan kewangan kita kalau sekadar bersandar kepada nasihat dari World Bank dan IMF. Segala bentuk bantuan dan pinjaman kewangan dari badan-badan tersebut hanya akan mengikat kita kepada mereka.

Kita sedang berada dalam keadaan yang luar biasa. Kaedah dan pendekatan yang lebih radikal dan ekstrem perlu diperkenalkan. Kita mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri untuk bangkit sebagai satu kuasa ekonomi baru di zaman All Digital ini.

Sebagai seorang usahawan dan seperti usahawan-usahawan yang lain, saya hanya mahukan kestabilan politik untuk terus berusaha bagi menyara diri dan keluarga.

Sebagai pengamat politik dan ekonomi pula, saya hanya mahu melihat rakyat Malaysia bernegara menurut prinsip-prinsip dalam Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Itu sahaja kemahuan dan kepentingan saya.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts