Pada hari Ahad ini, Perdana Menteri Dr Mahathir memanggil orang-orang Melayu untuk berhimpun kononnya untuk menegakkan maruah Melayu.
Namun saya lihat Mahathir memanggil kongres ini bukanlah untuk menjaga maruah Melayu tetapi sebaliknya untuk meraih sokongan Melayu kepada dirinya dan partinya yang semakin hari semakin pudar.
Semenjak PRU-14, Mahathir sebenarnya telah melemahkan lagi orang-orang Melayu dan menguatkan DAP.
Dia telah berjaya memecahkan parti terbesar dalam PH iaitu PKR kepada dua iaitu puak yang menyokong Anwar dan satu lagi menyokong Azmin.
Daripada mempunyai 50 ahli parlimen sebelum ini, PKR kini berpecah dua kepada kem Anwar seramai 35 ahli parlimen dan kem Azmin seramai 15 orang Ahli Parlimen.
Ini secara langsung telah menjadikan DAP sebagai parti yang terkuat dalam PH dan dalam kerajaan dengan 43 orang Ahli Parlimen.
Oleh itu mereka (DAP) mempunyai kuasa yang paling kuat untuk membuat keputusan dalam kerajaan dan menentukan dasar.
Dalam politik, sesiapa yang memegang jawatan tidak semestinya memegang kuasa.
Kuasa sebenar terletak di tangan ketua kepada kumpulan yang mempunyai sokongan yang terbesar.
Dalam kes kerajaan PH kini kumpulan ini adalah DAP dan ketuanya adalah Lim Kit Siang.
Jika jawatan tertinggi (i.e. Perdana Menteri) dipegang oleh orang yang tidak mengetuai kumpulan yang paling berkuasa tersebut, maka Perdana Menteri tersebut hanyalah Perdana Menteri boneka.
Sebab itu Mahathir sebagai PM-7 di bawah PH adalah berbeza dengan Mahathir sebagai PM-4 di bawah BN dahulu.
Dalam PRU-14 yang lepas, lebih 75% daripada pengundi-pengundi PH adalah bukan Melayu.
Hanya 25% daripada pengundi-pengundi PH adalah terdiri daripada orang-orang Melayu yang berpecah pula kepada tiga kumpulan iaitu PKR, Bersatu dan PAN.
Penyokong-penyokong majoriti dalam PH iaitu bukan Melayu tersebut dikuasai besar oleh DAP dan bukannya oleh parti Perdana Menteri iaitu Bersatu.
Dalam PH orang-orang Melayu sebenarnya adalah minoriti.
Orang-orang Melayu kebanyakannya berada dalam BN dan adalah majoriti dalam gabungan parti pembangkang ini.
Dan Penyatuan Ummah antara UMNO dengan PAS dan Muafakat Nasional dalam BN telah menguatkan lagi perpaduan di kalangan orang-orang Melayu di Malaysia.
Namun demikian, percubaan Mahathir untuk menarik orang-orang Melayu untuk menyokongnya dengan Kongres Maruah Melayu ini sebenarnya akan memecahkan lagi orang-orang Melayu lantas akan menjatuhkan lagi maruah orang-orang Melayu dan bukan sebaliknya.
Jika Mahathir serius untuk menyatukan orang-orang Melayu dan menyelamatkan maruah Melayu, dia boleh membawa partinya Bersatu masuk ke dalam BN untuk menentang DAP, dan bukannya menyuruh orang-orang UMNO dalam BN masuk parti kecilnya Bersatu dalam PH untuk menjadi hamba kepada DAP.
Ular lidi tidak boleh menelan sawa. Ini tidak masuk akal.
Jika UMNO berpecah dua sekalipun dan separuh daripada UMNO masuk Bersatu, ia tidak akan cukup untuk melawan dominasi DAP dalam PH.
Ia akan hanya menerukkan lagi perpecahan orang-orang Melayu di Malaysia yang kinipun sudah berpecah lima dek kerana Mahathir selama ini.
Oleh itu pilihan yang terbaik untuk menguatkan orang-orang Melayu dan menjaga kepentingan dan maruah mereka adalah melalui BN dan dengan memenangi pilihan raya umum ke-15 akan datang untuk membentuk kerajaan, dan bukannya melalui PH dan bersekongkol serta tunduk kepada DAP.
Dan jika Mahathir benar-benar ingin menjaga maruah orang-orang Melayu, perkara paling nyata di depan mata yang dia boleh buat sebagai Perdana Menteri ialah dia boleh sahaja melantik seorang Menteri Kewangan yang lebih sensitif kepada kebajikan dan kepentingan orang-orang Melayu berbanding Menteri Kewangan DAP yang ada sekarang.
Ini kerana banyak institusi-institusi Melayu dan agensi-agensi yang menjaga kepentingan, pembangunan dan kebajikan orang-orang Melayu adalah di bawah bidang kuasa dan kawal selia Menteri Kewangan.
Tetapi saya yakin dia (Mahathir) tidak akan berbuat demikian (atau tidak berani berbuat demikian).
Kerana pada hemat saya dia bukanlah serius untuk menjaga maruah dan kepentingan orang-orang Melayu, tetapi hanya ingin menjaga maruah dan kepentingan dirinya sendiri.
Sebab dia memerlukan sokongan DAP dalam PH untuk kekal sebagai Perdana Menteri dan hanya menggunakan sokongan Melayu kepadanya sebagai bahan untuk berunding dengan DAP.
Sebab itu saya kata kongres pada hari Ahad ini bukanlah Kongres Maruah Melayu kerana maruah Melayu tetap tidak akan terjaga di bawah PH.
Tetapi ianya adalah Kongres Maruah Mahathir iaitu suatu retorik Mahathir di hadapan orang-orang Melayu untuk menjaga air muka Mahathir yang telah menjadi seakan Perdana Menteri boneka kepada DAP.
Kongres ini akan memecahkan lagi orang-orang Melayu lantas menguatkan lagi DAP dalam arena politik negara dan dalam kerajaan.
Sebab itu saya tidak menyokong dan tidak akan pergi ke Kongres ini sama ada dijemput atau tidak.
Sebaliknya saya menyokong Penyatuan Ummah dan Muafakat Nasional dan menentang apa-apa usaha untuk melemahkan agenda dan perjuangan Penyatuan Ummah dan Muafakat Nasional ini.
ISHAM JALIL
Marhaen UMNO di akar umbi
4 Oktober 2019