PENSYARAH UPM HINA PEMANDU E-HAILING DAN PENGHANTAR MAKANAN SEBAGAI TIDAK BERMARUAH?

2.1k
SHARES
6.6k
VIEWS

Tular dan hangat sejak semalam apabila tersebarnya klip video seorang PENSYARAH EKONOMI DARI UNIVERISITI PUTRA MALAYSIA (UPM), MOHD YUSOF SAARI, berumur 40 tahun, yang menghina para pemandu e-hailing dan penghantar makanan yang didefinasikannya sebagai KERJA TIDAK BERMARUAH.

Kejadian menghina berikut berlaku dalam sebuah program Pra-Belanjawan yang disiarkan secara langsung di TV3 pada 11 Oktober lepas.

Akhir-akhir ini semakin ramai pula yang seolah-olah menghina atau memandang remeh pekerjaan sebegini sedangkan mereka yang mencari rezeki melalui perkhidmatan ini patut dipuji kerana berusaha gigih menyara kehidupan diri dan keluarga tanpa mengharapkan bantuan sesiapa hatta meminta-minta dari kerajaan.

Bahkan pengguna perkhidmatan ini juga menjadi semakin mudah jika hendak ke mana-mana ataupun memesan makanan tanpa perlu bersusah payah keluar dan hanya melalui aplikasi segalanya akan diuruskan.

Itulah tujuan utama inovasi dan teknologi dicipta atau ditambah baik iaitu bagi memanfaatkan manusia atau penggunanya.

Selain itu ada dalam kalangan pemandu e-hailing mempunyai latar belakang akademik yang tinggi seperti mempunyai ijazah dan diploma serta memiliki kemahiran vokasional.

Ada juga jurutera, doktor malah bekas juruterbang yang membawa e-hailing bagi menambah pendapatan untuk menampung keluarga.

Pekerjaan seperti ini yang memudahkan penggunanya bukanlah satu pekerjaaan yang hina malah jika bekerja sebagai penyapu sampah sekalipun, juga tidak wajar dihina sebagai tidak bermaruah.

Sebagai seorang pensyarah yang mempunyai kelulusan PhD ekonomi dari University of Gronigen, sebuah universiti penyelidikan awam kedua tertua di Belanda, beliau sewajarnya bersikap rasional dan tidak memandang rendah sebarang jenis pekerjaan yang ada.

Rakyat mana-mana negara terdiri dari latar belakang kehidupan dan pendidikan yang berbeza serta faktor ‘supply and demand‘ dalam industri menjadikan mereka tidak berada di tahap yang sepatutnya atau terpaksa bekerja lain menambah pendapatan.

Pekerjaan apa jua sekalipun tetap memberi manfaat buat pembangunan ekonomi setiap negara sama ada beliau adalah seorang Perdana Menteri, pensyarah ataupun pencuci tandas.

Selaku seorang ahli akademik, beliau sepatutnya membuat ‘homework‘ dan menyemak dengan Kementerian Pendidikan Malaysia atau dengan universiti beliau berkhidmat iaitu UPM mengenai kajian pengesanan graduan (traces studies) bagi mendapatkan data tepat kenapa graduan yang mempunyai ijazah dan diploma masih tidak bekerja mengikut bidang akademik masing-masing?

Jika beliau masih beranggapan pekerjaan ini sebagai tidak bermaruah, beliau sepatutnya dilantik sebagai ‘think tank‘ Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia ataupun Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mengatasi masalah pekerjaan dalam kalangan graduan yang banyak melakukan kerja di luar bidang masing-masing.

Beliau boleh mencadangkan apakah ganti atau alternatif kepada “KERJA TIDAK BERMARUAH” ini, sementara mereka menunggu peluang mendapat pekerjaaan mengikut bidang masing-masing.

Beliau boleh mewujudkan “PEKERJAAN BERMARUAH” mengikut definasi ekonominya agar ‘gap‘ yang wujud antara universiti dan pihak industri, yang telah menjadi masalah umum setiap negara selama ini dapat dikurangkan atau dihapuskan.

Jika tidak, sebagai seorang ahli akademik dan pendidik, beliau sepatutnya menjaga tutur kata dan menyarankan mereka yang mempunyai kelulusan untuk terus berusaha dan jangan putus asa mencari kerja mengikut bidang akademik masing-masing, tanpa perlu menghina pekerjaan-pekerjaan lain.

Beliau boleh menggunakan kemahiran dalam research area beliau sendiri iaitu “income distribution and poverty” serta pembangunan ekonomi, bagi mengatasi hal ini.

Beliau juga sebagai pendidik wajar menunjukkan contoh dan menjaga maruah UPM kerana pekerjaan beliau selaku pensyarah tidak membuatkan beliau mulia dan bebas menghina pekerjaan lain.

Dr. Yusof Saari wajar meminta maaf secara terbuka kepada masyarakat dan pihak UPM pula perlu mengenakan tindakan tegas terhadap beliau kerana menghina.

Selain itu, tindakan beliau juga MEMALUKAN DAN MENJATUHKAN MARUAH UPM, apatah lagi ia berlaku dalam sebuah forum terbuka yang disiarkan secara langsung.

Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

https://www.youtube.com/watch?v=FjxhUXaesJE&feature=youtu.be

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts