Kerajaan mengumumkan perkhidmatan e-hailing akan dikawal selia melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 bermula 12 Julai 2018.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua syarikat yang mengendalikan perkhidmatan e-hailing diberikan tempoh moratorium selama setahun bagi melaksanakan semua peraturan yang ditetapkan.
Ini bertujuan untuk memastikan kesaksamaan kepada industri teksi, walaupun kelihatan berat sebelah kerana perkhidmatan e-hailing disyaratkan berfungsi seperti teksi berbanding teksi juga sepatutnya disyaratkan berfungsi seperti e-hailing.
Syarat yang ketat dikenakan terhadap pemandu e-hailing juga sewajarnya dilaksanakan terhadap pemandu teksi kerana telah mendapat rungutan pengguna sejak sekian lama.
Antaranya adalah enam perkara asas e-hailing yang wajar diikuti oleh perkhidmatan teksi;
- WARGANEGARA MALAYSIA SAHAJA – Teksi kadangkala dibawa oleh pendatang asing sejak dahulu lagi
- RATING – Perangai pemandu dan keadaan kereta dinilai oleh penumpang – pemandu wajib bersikap profesional, mempunyai etika yang baik, mematuhi had kelajuan serta perlu sentiasa memastikan kereta dalam keadaan sentiasa bersih, tidak berbau, penyaman udara dan enjin kereta berfungsi dengan baik
- ACCEPTANCE RATE – Kadar Menerima Tempahan
- CANCELLATION RATE – Kadar Menolak Tempahan
- BAN – Perkhidmatan pemandu ditamatkan serta-merta sekiranya melanggar undang-undang dan juga membuat kesalahan yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan
- SUSPENSION – Perkhidmatan pemandu disekat sementara sekiranya terdapat masalah oleh pemandu yang perlu disiasat terlebih dahulu
Pengguna akan memilih perkhidmatan yang memberikan nilai terbaik buat mereka di mana e-hailing lebih mesra, mudah dan telus berbanding teksi yang kurang mesra, sukar didapati dan kadangkala tambang tidak mengikut meter.
Apabila majoriti pengguna masih menggunakan perkhidmatan e-hailing dan perkhidmatan teksi kurang mendapat pilihan walaupun teksi juga boleh ditempah melalui aplikasi mudah alih, adakah pemandu teksi akan tetap menyalahkan e-hailing?
Sekiranya perkhidmatan teksi juga mempunyai aplikasi mudah alih untuk membuat tempahan, adakah pemandu teksi bersedia ditamatkan perkhidmatan serta-merta ataupun disekat buat sementara waktu sekiranya melakukan kesalahan?
Adakah pemandu teksi juga sanggup melakukan transformasi sikap? Perkara ini sewajarnya perhalusi oleh pihak kerajaan bukan hanya mengetatkan syarat terhadap e-hailing namun tidak bertindak sebaliknya kepada pemandu teksi.
Berikut adalah syarat-syarat yang ditetapkan kepada semua pemandu e-hailing di mana mereka disyaratkan;
- Mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV)
- Menjalani pemeriksaan kesihatan
- Menjalani latihan pemandu yang mengambil masa selama enam jam dengan bayaran RM200 seorang – Modul latihan ini boleh dilaksanakan oleh mana-mana Perniagaaan Pengantaraan, syarikat teksi, institut memandu atau penyedia latihan yang ditauliah SPAD/APAD
- Melalui saringan rekod jenayah yang ketat
- Mendapatkan perlindungan insurans buat pemandu dan penumpang serta pihak ketiga
Manakala kenderaan pemandu e-hailing pula perlu;
- Menjalani pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) setiap tahun apabila kenderaan didaftarkan itu melebihi usia tiga tahun dari tarikh pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
- Berusia 5 tahun dan ke bawah sahaja
- Mendapat piawaian sekurang-kurangnya tiga bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu untuk negara ASEAN (ASEAN NCAP)
Bagi penyedia perkhidmatan e-hailing pula mestilah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), menyediakan Kot Tata Kelakuan dan Garis Panduan Rungutan Pemandu
Kadar komisyen pula tidak melebihi 25% dan kadar surcaj pula dihadkan kepada dua kali ganda daripada harga tambang, manakala aplikasi mestilah dilengkapi dengan butang kecemasan (SOS Button).