Apabila kerajaan Maghribi mempertikai kenapa kerajaan Malaysia menjemput dua organisasi yang menentang kerajaan mereka iaitu Attawhid wa Al Islah dan Al Adl wa Al Ihsan ke Sidang Kemuncak KL (KL Summit), Menteri Luar Malaysia Dato’ Saifuddin Abdullah beralasan ada pihak lain yang menganjurkan persidangan tersebut.
Persoalannya pihak lain atau NGO yang manakah yang mampu menganjurkan persidangan sebesar itu?
Selain itu, kenapakah persidangan yang melibatkan jemputan kepada negara-negara luar diberikan kepada NGO sahaja?
Apakah keuntungan yang dijana oleh NGO tersebut kerana telah mengeluarkan dana yang besar untuk menganjurkan persidangan tersebut dan mustahil ia sekadar CSR?
Tentunya NGO tersebut berani mengeluarkan belanja jika pulangannya setimpal atau berlipat kali ganda.
Nama NGO tersebut juga masih tidak berani dimaklumkan oleh Saifuddin ataupun kerajaan Pakatan Harapan.
Persoalan lain, adakah Tun Mahathir selaku Perdana Menteri maklum bahawa persidangan ini dikawal oleh NGO ini?
Ia juga mendedahkan perkara yang amat menakutkan kerana jika diperhalusi jawapan Saifuddin tersebut, ini bermakna kerajaan Pakatan Harapan langsung tidak mempunyai kawalan ke atas jemputan serta pihak yang dibenarkan untuk berucap, termasuk urusan mesyuarat Perdana Menteri sendiri dikawal oleh NGO ini.
“Saya menjelaskan kepada beliau bahawa Sidang Kemuncak KL 2019 adalah inisiatif Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia (NGO), dan semua jemputan kepada ulama dan wakil sektor swasta dan masyarakat awam, serta mesyuarat mereka dengan Perdana Menteri Malaysia (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan pemimpin Malaysia yang lain telah kendalikan oleh NGO berkenaan,”
Perdana Menteri juga seperti hanya mengikut telunjuk NGO ini apabila senarai jemputan dikeluarkan oleh NGO dan tidak peliklah kenapa Perdana Menteri dan Malaysia dimalukan apabila banyak negara-negara Islam yang penting seperti Arab Saudi dan Pakistan tidak hadir atau sekadar menghantar wakil yang tidak penting seperti yang dilakukan oleh Indonesia.
Ia juga menjelaskan maksud bahawa Presiden Iran yang berfahaman Syiah berucap juga ditentukan oleh NGO ini.
Kesimpulannya, jawapan Saifuddin bukan sahaja membuka pekung Pakatan Harapan yang sebegitu bangga dengan Sidang Kemuncak KL ini malah turut memperlihatkan kebodohan mereka memerintah yang hanya menurut telunjuk sebuah NGO.
Jika persidangan rasmi kerajaan yang melibatkan jemputan pelbagai negara dan berskala besar seperti ini dikawal oleh NGO, berkemungkinan banyak program rasmi kerajaan sebelum ini ditaja atau dikawal oleh syarikat atau NGO seperti ini sahaja.
Kita tunggu kerajaan Pakatan Harapan membuat penjelasan kerana perkara sebesar ini bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan.
Ini kerana ia melibatkan keselamatan dan integriti negara Malaysia, malah turut melibatkan negara-negara lain, sesuatu yang tidak boleh dikompromi dan amat serius.