1. ‘Coronavirus’ masih di peringkat tidak membimbangkan. Itulah kata-kata seorang Perdana Menteri Malaysia yang prihatin dengan kebajikan rakyat Malaysia. Di saat seluruh dunia bimbang dengan penularan wabak ini serta mengambil langkah yang sangat ketat mencegahnya, Perdana Menteri Malaysia menunjukkan kepada dunia betapa kuatnya Malaysia menangani wabak ini.
2. Di saat 5 orang warganegara China dari Wuhan yang masuk ke Malaysia melalui Singapura telah disahkan positif ‘coronavirus’, Malaysia masih mengatakan ia tidak membimbangkan. Singapura yang setakat ini hanya mengesahkan satu kes positif wabak ini telah mengambil langkah ketat menyaring kemasukan warga China. Filipina yang masih belum ada kes positif wabak ini telah mengambil inisiatif menghalau pelancong-pelancong dari China bagi mengekang wabak ini.
3. Berlainan halnya di Malaysia. Di saat ini, berbondong-bondong warganegara China sedang meraikan sikap pemurah kerajaan Malaysia yang mengecualikan visa kemasukan 15 hari bermula 1 Januari 2020. Di Langkawi hampir 200 orang ‘pelancong’ China tiba dengan penerbangan sewa khas dari China untuk ‘melawat’ Langkawi. Manakala di Pulau Pinang pula, ratusan pelancong dari China tiba dengan kapal persiaran mewah dibenarkan masuk ke Malaysia (Pulau Pinang). Mereka ini hanya melalui saringan kesihatan asas sahaja.
4. Tentunya ini hal yang positif bagi Malaysia. Ekonomi tentunya akan meningkat dengan kemasukan para pelancong China. Ia bagus untuk sektor domestik apabila pelancong-pelancong ini berbelanja di negara kita. Mungkin juga dengan kebanjiran masuk pelancong dari China ini, suatu hati nanti impian rakyat Malaysia mahu menikmati tol percuma akan tercapai walaupun tempoh konsesi telah dipanjangkan oleh kerajaan.
Bila ramai pelancong dari China, rakyat boleh mengimpikan harga minyak akan turun secepat satu atau dua bulan ini. Tidak keterlaluan jika kita menyasarkan harga minyak petrol di Malaysia akan berada di bawah RM1 nanti. Inilah pengorbanan kerajaan mengutamakan hasrat rakyat China untuk melancong dari keselamatan rakyat sendiri. Jangan pula kata kerajaan tak ‘payung’ rakyat sendiri pula nanti.
5. Bila kerajaan negeri Wuhan sendiri melarang warganya keluar daerah dan kerajaan Chinna sendiri menyekat rakyatnya melancong keluar negara, Malaysia masih tidak mahu membatalkan polisi pengecualian visa kepada rakyat China. Ini membuktikan Malaysia amat prihatin terhadap keperluan rakyat China. Segelintir ‘macai’ juga mempertahankan langkah kerajaan tidak menyekat kemasukan pelancong-pelancong dari China.
Kata mereka, Singapura dan Thailand hanya menyekat pelancong-pelancong dari Wuhan sahaja dan memantau pelancong China dari daerah lain. Bagaimana pula sekiranya warga Wuhan keluar ke daerah lain di China dan kemudiannya memasuki Malaysia dari daerah lain di China? Di Langkawi hari ini, telah ada 2 kes disyaki ‘coronavirus’ walaupun pelancong-pelancong China tersebut adalah dari Nanjing. Jangan nanti kerajaan akan mengatakan ini hanya kes terpencil. Rakyat akan digesa usah terlalu bimbang.
6. Terbukti Malaysia sangat memerlukan pelancong-pelancong dari China memasuki Malaysia. Rakyat Malaysia perlu berkorban sekali lagi demi menjayakan agenda Malaysia Baru. Perdana Menteri sering berpesan agar rakyat mengikat perut demi masa hadapan Malaysia. Kini rakyat pula perlu terus berkorban demi pelancong-pelancong dari China yang mahu melunaskan hasrat mereka melihat bumi Malaysia dengan mata mereka sendiri.
Jangan ditanya apa yang perlu pemimpin korbankan untuk rakyat, sebaliknya rakyatlah yang perlu berkorban demi pemimpin. Bukan mudah rakyat berkorban untuk pemimpin kerajaan PH. Mungkin mereka dahulu adalah pejuang, kini saatnya mereka menikmati segala kemudahan dan keselesaan. Mungkin juga mereka mahu merasakan nikmat kerajaan sepenggal. Maka itu rakyat yang harus banyak berkorban untuk mereka sementara mereka masih punya kuasa…
Inilah Malaysia Baru Kerajaan Pakatan Harapan.
Waithy Moortha
Hin Der Lap