KECOH KERAJAAN BAHARU – PUTRA

578
SHARES
1.8k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PARTI BUMIPUTERA PERKASA MALAYSIA (PUTRA)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

1. PUTRA mengambil maklum berkaitan perkembangan politik semasa sejak awal pagi tadi dan mengikuti rapat perkembangan yang berlaku.

2. PUTRA menzahirkan wujudnya kebimbangan rakyat berkaitan ketidaktentuan politik ini kerana terlalu banyak khabar angin yang tersebar sejak tengahari tadi.

3. PUTRA tidak berniat untuk mencampuri percaturan politik yang sedang dibuat asalkan ianya dilaksanakan mengikut lunas-lunas demokrasi.

4. Sekiranya keadaan ini berlarutan, PUTRA bimbang hal ini akan memberi kesan buruk kepada pasaran saham dan tanpa kestabilan politik, pastinya mudah unsur-unsur subversif menyelinap masuk dan akan ada golongan ekstremis yang akan mengambil kesempatan akibat kemelut yang sedang melanda Negara ini.

5. Kemelut ini mungkin berpanjangan jika tiada mana-mana Ahli Parlimen memiliki sokongan majoriti Ahli Dewan untuk membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri. Adalah difahamkan terdapat Ahli-ahli Parlimen yang menandatangani 2 Pengakuan Bersumpah (SD) yang menyokong kedua-dua belah pihak. Jika ini benar, lagilah ia tidak bermoral. Ia menjurus kepada ketidaktentuan dan kewibawaan Parlimen.

6. PUTRA juga menegaskan pembentukan “Kerajaan Pintu Belakang” adalah mengkhianati mandat rakyat melalui PRU-14 yang lalu. Sebab itu sebelum ini banyak pihak menentang kerajaan pintu belakang, termasuk yang disuarakan berkali-kali oleh PAS. Ia tidak bermoral. PUTRA yakin rakyat mampu memilIh yang ‘terbaik’ sesudah melalui pengalaman PRU-14 yang lalu. Maka, semua mesti berdepan dengan rakyat.

7. Sekiranya ada gabungan baharu yang mahu dibentuk, maka sewajarnya pengumuman rasmi dibuat supaya rakyat boleh membuat pertimbangan semula kredibiliti gabungan baru mana-mana parti politik sedia ada.

8. Bagi menyelesaikan kemelut ini, PUTRA dengan rendah hati mencadangkan kepada YAB Perdana Menteri untuk memohon perkenan Yang Di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen ke-14 bagi membolehkan rakyat diberi mandat sekali lagi untuk menentukan kepimpinan negara melalui proses Pilihan Raya Umum.

9. PUTRA mengharapkan agar YAB Perdana Menteri dapat sentiasa meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan politik mana-mana pihak.

Sekian dan terima kasih.

PUTRA PERKASA NEGARA
Berjuang • Berkhidmat • Berkorban

Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali

Presiden PUTRA

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts