JADILAH WAKIL RAKYAT YANG BERMARUAH

482
SHARES
1.3k
VIEWS

SURAT PEMBACA

Oleh M. Kamal Affandi

Bak kata orang; “Makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah”, bagi 222 Ahli Parlimen Malaysia. Lima hari berlalu penuh debaran buat Malaysia.

Bermula dengan peletakan jawatan oleh YAB Tun Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri pada 24 Februari 2020, pelantikan semula sebagai PM Interim, diikuti pertemuan dengan Ketua-Ketua Parti dan PM Interim, konsultasi Tuanku Agong dengan Majlis Raja-Raja Melayu pada Jumaat 28 Februari 2020 dan pertemuan dengan Ketua-Ketua Parti sekali lagi pada Sabtu, 29 Februari 2020.

Dengan kuasa yang diberikan kepada DYMM SPB YDP Agong di bawah peruntukan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Baginda akhirnya berkenan bahawa  “….Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat ialah YB Tan Sri Mahiaddin (Muhyiddin) bin Md Yasin, Ahli Parlimen Pagoh (P143).”

Berdasarkan itu, dengan Titah YDP Agong dan surat rasmi Istana Negara bertarikh 29 Februari 2020 tersebut, turut dinyatakan bahawa Istiadat Pengurniaan Surat Cara dan Mengangkat Sumpah Sebagai Perdana Menteri ke-8 dijadualkan di Istana Negara jam 10.30 pagi, 1 Mac 2020. Dengan demikian tamatlah episod penuh debaran bagai gempa bumi bacaan 10.00 skala Richter!

Orang kata: tikam menikam, fitnah memfitnah, puji-memuji, jilat melangit, sumpah seranah, malah bunuh membunuh dalam sejarah Melayu, adalah part and parcel of Malaysian Politics.

Ia pernah terjadi pada Zaman Kesultanan Melayu Klasik dan kini di-upgrade dengan tawar menawar wang jutaan ringgit rasuah membeli sokongan dan janji projek berjuta-juta ringgit nilainya sebagaimana didedahkan dalam mahkamah.

Namun yang paling berbahaya seperti kata Tan Sri Ketua Polis Negara (lihat : https://www.youtube.com/watch?v=Mh79HKg1rL4) bahawa ada laporan “berbunyi elemen-elemen dari luar untuk masuk ke dalam untuk membantu sesiapapun. Itu namanya pengkhianatan terhadap negara (treason). Jangan libatkan orang luar… ini kita di dalam…..”, yang dianggap sangat serius dan berbahaya.

Selepas kerajaan dibentuk, pihak PDRM boleh membuat siasatan dengan mendalam aspek yang amat serius dan berbahaya ini, apatah lagi ia hadir dari kata-kata Ketua Polis Negara.

Tidak perlulah pihak Y.Bhg Tun Mahathir atau YB Datuk Seri Anwar Ibrahim atau mana-mana YB Pakatan Harapan (PH) yang sudah gagal dalam negotiation untuk mendapatkan keyakinan majoriti Ahli-ahli Parlimen mahupun keyakinan semula DYMM SPB YDP Agong dengan membuat Akuan Bersumpah (SD) baru SELEPAS PERKENAN DYMM SPB YDP AGONG. 

Tidak akan laku SD berkenaan. Hentikan ‘sarkas murahan’ ini. Beradablah sebagai seorang Wakil Rakyat yang berkaliber. “Jangan derhaka, akibatnya badan biasa”, kata orang tua-tua.

Begitulah, tidak perlu BERSIH buat Sidang Media (PC) atau cadangan untuk mengadakan rally (lihat: https://www.youtube.com/watch?v=JwZWD2zFo8Y) menuntut “Kerajaan Pakatan Harapan diteruskan untuk laksanakan mandat dan manifesto PH dalam Buku Harapan dalam baki penggalnya… ” dan lain-lain.

Hakikatnya, Kerajaan Pakatan Harapan sudah dibubarkan, diruntuhkan, diranapkan oleh Ketua Pakatan Harapannya sendiri pada 24 Februari 2020 yang lalu.

Gone, sudah tidak wujud. Wake up guys! Jangan jadi bad losers! Nak kena disekolahkan balik peruntukan-peruntukan dalam Federal Constitution kepada mereka yang degil ini.

Titah DYMM SPB YDP Agong melantik Perdana Menteri pada hari ini adalah muktamad. Tindakan mempersoalkannya adalah satu penderhakaan, bertentangan dengan Perlembagan Persekutuan dan jelas tidak menghormati Rule of Law – ungkapan lazim yang setiap hari diwiridkan oleh Tun Mahathir dan bekas-bekas Menteri Pakatan Harapan. 

Paling waras dan berperlembagaan ialah membiarkan Majlis Angkat Sumpah Tan Sri Muhyiddin Yasin  (TSMY) sebagai PM-8 berjalan lancar.

Pada 9 Mac 2020, semua Ahli Parlimen berhak membuat apa-apa pandangan termasuk “undi tidak percaya” kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin jika benar Tun Mahathir masih bernafsu atau Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pastinya ingin menjadi Perdana Menteri lagi.

Itulah…. Dulu PAS cadang membuat ‘undi percaya’ bukan main bangkang lagi!

Jika takdirnya undian di Dewan Rakyat TSMY kalah, maka lantiklah Ketua yang baru dengan sokongan yang jelas. Jangan buat tindakan macam orang tidak pergi sekolah.

Yang perlu sekarang ialah sikap matang dan ‘chill’ kita sebagai Wakil Rakyat yang berhemah. Apa guna ucapan YB-YB di “Dewan Rakyat yang mulia” apabila tindakan Wakil Rakyat yang ada jauh daripada mulia. Itu belum dibuka kertas siasatan politik wang lagi oleh PDRM.

Sekali lagi ditegaskan: Jangan tonjolkan sarkas murahan kepada rakyat apatah lagi kepada dunia tanpa sempadan. Malu, malu.…..

Jadilah Wakil Rakyat yang bermaruah dan berintegriti tinggi selaras dengan gelaran “Yang Berhormat.” Apa-apa tidak baik dan salah laku yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, tinggalkan. Semua yang silap dan tidak tunai janji oleh Kerajaan Pakatan Harapan jangan sesekali diulangi jika hendak kekal sehingga akhir penggal.  
 
Pepatah orang tua-tua ada menasihatkan: “Biduk berlalu kiambang bertaut”. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Inilah sebahagian mutiara kehalusan budi dan wisdom kita sebagai orang timur yang kita warisi. Itulah leluhur jati diri anak watan penuh adab  yang kita turuti sejak berzaman yang berjaya disemai dan dibentuk oleh ulamak nusantara dan generasi terdahulu dengan penuh tertib lagi bijaksana.

Semoga kerajaan baru pimpinan PM ke-8 dapat bermula di atas prinsip yang begitu mulia ini, hendaknya.

Suntingan: Al Firqah An Najiyah

29 Februari 2020

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts