MENANGANI WABAK COVID-19 – MINDA PRESIDEN PAS

211
SHARES
681
VIEWS

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Rasulullah SAW bersabda: وعن أسامة بن زيد عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: إذا سَمِعْتُمْ بالطَّاعُونِ بأَرْضٍ فلا تَدْخُلُوها، وإذا وقَعَ بأَرْضٍ وأَنْتُمْ بها فلا تَخْرُجُوا مِنْها. (متفق عليه) 

Dari Usamah bin Zaid R.A dari Nabi S.A.W: “Apabila kamu mendengar berlakunya wabak taun di suatu negeri, maka janganlah kamu memasukinya. Dan apabila berlaku dalam negeri kamu berada di dalamnya, maka jangan kamu keluar.” (Muttafaqun ‘Alaih)

Rasulullah S.A.W bersabda lagi: فعن عائشة رضي الله تعالى عنها، قالت: سَأَلْتُ رَسولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ عَنِ الطَّاعُونِ، فأخْبَرَنِي أنَّه عَذَابٌ يَبْعَثُهُ اللَّهُ علَى مَن يَشَاءُ، وأنَّ اللَّهَ جَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ، ليسَ مِن أحَدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ، فَيَمْكُثُ في بَلَدِهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا، يَعْلَمُ أنَّه لا يُصِيبُهُ إلَّا ما كَتَبَ اللَّهُ له، إلَّا كانَ له مِثْلُ أجْرِ شَهِيدٍ. (رواه البخاري).

Daripada ‘Aisyah R.A berkata: “Aku bertanyakan Rasulullah SAW berkenaan wabak taun, lalu Baginda memberitahu kepadaku bahawa itu adalah azab Allah yang diutuskan kepada sesiapa yang dikehendaki dan Allah menjadikannya rahmat kepada orang-orang yang beriman. Tiadalah seseorang yang ditimpa bencana wabak ini lalu dia tinggal dalam negerinya dengan sabar dan percaya kepada takdir Allah, tidaklah menimpanya melainkan mengikut ketentuan yang ditetapkan oleh Allah, nescaya dia mendapat kelebihan syahid.” (Riwayat Al-Bukhari)

Hadis-hadis ini hendaklah difahami mengikut Maqasid Syariah (tujuan dan hikmah hukum Allah) iaitu menolak segala perkara yang membahayakan kehidupan dengan wajib mencegahnya dan diharamkan memudaratkan diri sendiri dan orang lain dalam bermasyarakat. Termasuk mencegah daripada wabak penyakit berjangkit, seperti taun yang salah satu daripada contohnya.

Islam adalah petunjuk Allah SWT di sepanjang zaman yang tidak terikat dengan satu jenis dan nama sahaja, maka wabak Covid-19 adalah salah satu daripadanya. Langkah perubatan seperti mencegah dan rawatan wajib dilakukan terhadap diri sendiri dan masyarakat seluruhnya, kerana manusia itu adalah bersaudara.

Hadis yang kedua menegaskan kepada mereka yang telah ditimpa penyakit itu atau berada dalam kawasannya hendaklah menghadapinya dengan beriman kepada Allah yang wajib bersifat rahmat walaupun ditimpa bencana, kerana itu juga ketetapan Allah untuk menguji keimanan manusia, maka semua ketentuan-NYA tetap berhikmah yang memberi kelebihan kepada seseorang yang beriman, termasuk ujian bencana dan penyakit, sama ada kerana maksiat yang berlaku supaya manusia bertaubat atau kejahatan yang dilakukan oleh manusia sendiri yang tidak dicegah dan dibiarkan.

Adapun bagi orang yang tidak bersalah mendapat kelebihan bersabar, maka hilang dosanya. Orang yang berdosa pula menjadi insaf dan bertaubat, maka hilang juga dosanya. Allah SWT berfirman memberikan amaran: ﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ٤١﴾ “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum: 41)

Kini kita menyaksikan negara paling maju berlumba membangunkan teknologi dengan hawa nafsu tanpa peduli terhadap batas kemanusiaan sehingga melampau dalam semua perkara bermula daripada makanan, pakaian, bangunan, perhubungan, teknologi maklumat, sehinggalah persenjataan. Namun usaha wajib dilakukan bagi mencegah kejahatan dan merawat penyakit tanpa menolak takdir Allah SWT yang mewajibkan manusia menggunakan akalnya dengan insaf.

Khalifah Umar bin Al-Khattab R.A membatalkan hasrat melawat Negeri Syam yang ditimpa wabak taun, memberikan jawapan kepada Abu Ubaidah R.A yang berada di Syam dalam kawasan wabak taun: “Adakah kamu melarikan diri daripada takdir Allah?”.

Umar membalas: “Menyelamatkan daripada wabak yang ditakdir Allah, menuju kepada takdir Allah yang menyelamatkan daripada wabak dengan takdirnya juga.”

Islam menegaskan dalam kesungguhan menghadapi wabak supaya mencegah dan merawat, sehingga para ulama menulis di dalam kitab fekah semua mazhab supaya membaca Qunut Nazilah (doa meminta perlindungan daripada Allah) dalam solat, khutbah dan lain-lain apabila berlakunya bencana wabak.

20 Rajab 1440 / 15 Mac 2020

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts