Oleh Isham Jalil
Ini sebenarnya adalah kali kedua saya dan keluarga tidak keluar rumah kerana perintah ‘berkurung’ kerajaan.
Walaupun kali ini ia adalah perintah mengekang pergerakan, saya memilih untuk tidak keluar rumah untuk mengelakkan dari membahayakan diri dan keluarga atau orang lain jika saya terjangkit virus COVID-19 dan selepas itu menjangkiti orang lain.
Kali pertama saya mengalami perintah berkurung adalah semasa saya berada di Boston, Amerika Syarikat pada bulan April 2013.
Penduduk di seluruh bandaraya Boston telah diperintah berkurung (lockdown) oleh kerajaan kerana beberapa siri pengeboman telah berlaku bermula dengan pengeboman di garisan penamat Boston Marathon yang telah membunuh 3 orang, mencederakan beratus orang termasuk 16 orang kehilangan kaki dan tangan.
Garisan penamat Boston Marathon di mana bom telah meletup hanyalah kurang satu kilometer dari rumah saya, dan semasa bom meletup saya telah mendengar letupan tersebut.
Pada ketika itu saya dan isteri saya bersama dua orang anak, anak saya yang kedua adalah seorang bayi yang baru berumur setahun 5 bulan.
Semasa perintah berkurung lockdown tersebut, semua aktiviti perniagaan dan kedai telah ditutup.
Pihak polis dan pertahanan awam telah dikerah untuk membantu penduduk di mana sesiapa yang memerlukan bantuan boleh menelefon 911.
Pihak polis akan membeli dan menghantar makanan dan barang keperluan kepada golongan yang memerlukan terutama kepada ibu yang menyusukan anak, orang-orang tua dan orang-orang kurang upaya (OKU).
Tidak ada seorangpun ahli perniagaan yang mengadu dan komplen atau meminta pampasan daripada kerajaan apabila terpaksa menutup kedai-kedai mereka kerana mereka faham bahawa keselamatan awam adalah jauh lebih penting daripada wang ringgit dan kepentingan untung rugi perniagaan persendirian mereka.
Kini, kes pandemik virus COVID-19 ini adalah amat merbahaya kerana ia boleh merebak dan membunuh lebih ramai orang dalam masa yang singkat jika tidak dikekang.
……..
Seratus tahun yang lalu, pada tahun 1918 virus influenza telah membunuh 50-100 juta penduduk dunia, atau 3 peratus daripada populasi dunia pada ketika itu.
Pada ketika itu tidak ada vaksin untuk virus influenza dan penularan virus ini terhad dengan jaringan sistem pengangkutan dunia yang perlahan dan tidak efisien.
Kini kadar penularan virus adalah berpuluh kali lebih tinggi berbanding dahulu dengan sistem pengangkutan udara dan kapal terbang komersil memudahkan perjalanan (dan penularan virus) ke seluruh dunia dengan pantas.
Sehingga kini masih tidak ada vaksin untuk virus COVID-19 ini dan para saintis baru sedang menguji beberapa ubat di peringkat percubaan yang akan mengambil masa sekurang-kurangnya beberapa bulan untuk sedia disampaikan kepada orang ramai.
Tempoh inkubasi median, iaitu tempoh purata untuk virus COVID-19 ini menunjukkan simptom jangkitan kepada pesakit adalah 5 hari daripada hari pertama terkena jangkitan, iaitu 50 peratus daripada pesakit menunjukkan simptom dalam tempoh 5 hari selepas dijangkiti.
Manakala tempoh inkubasi 99 percentile pula adalah 14 hari, iaitu 99 peratus daripada pesakit menunjukkan simptom dalam tempoh 14 hari selepas dijangkiti.
Simptom-simptom utama adalah demam (87%), batuk kering (67%), dan keletihan (38%).
……..
Jumaat lalu, Presiden Donald Trump mengisytiharkan darurat di seluruh Amerika Syarikat kerana penularan Corona Virus COVID-19.
Dr. Anthony Fauci, Pengarah Pencegahan Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat berkata virus ini masih giat menular dan mereka akan berhadapan dengan keadaan terburuk kelak.
Di Amerika Syarikat, rakyat mengkritik kerajaan kerana kemungkinan angka sebenar jangkitan virus ini adalah jauh lebih tinggi berbanding yang diisytiharkan oleh kerajaan.
Ini kerana kemudahan yang terhad untuk membuat ujian kepada pesakit yang dijangkiti oleh itu angka jangkitan atas kertas tidak menggambarkan keadaan sebenar.
Pesakit yang dijangkiti mempunyai peluang untuk sembuh yang lebih tinggi jika mendapat rawatan di peringkat awal dan penularan dapat dicegah dengan lebih baik oleh itu pengesanan awal adalah penting.
Di Korea Selatan, ujian Covid-19 pandu lalu (drive-thru) di jalan-jalan raya dibuat untuk memudahkan pengesanan awal.
10,000 ke 20,000 rakyat Korea diuji setiap hari untuk mengesan jangkitan.
5,000 ujian untuk setiap sejuta rakyat Korea Selatan telah dibuat berbanding 26 ujian untuk setiap sejuta rakyat di Amerika Syarikat.
Di China, alat pengesan suhu badan dipasang di kompleks-kompleks membeli belah dan tempat-tempat yang ramai orang.
Di Filipina, kes jangkitan telah melonjak ke 140 kelmarin. Kerajaan Filipina telah mengeluarkan perintah berkurung dari pukul 8:00 malam sehingga 5:00 pagi di bandaraya Manila berkuatkuasa malam semalam.
Di Austria, Kerajaan Austria telah mengeluarkan perintah larangan berkumpul melebihi 5 orang berkuatkuasa semalam.
Dalam hal pandemik virus, adalah lebih baik jika kita ambil langkah terlebih dari ambil langkah cukup-cukup sahaja.
Jika ada orang mati, maka keadaan sudah terlambat.
Nyawa itu lebih penting dari keuntungan wang ringgit.
Jika nyawa sudah hilang, duit sudah tidak berguna.
ISHAM JALIL
17 Mac 2020
https://www.facebook.com/220524935369705/posts/676669683088559/?d=n