ORANG KAYA T20 PALING BANYAK TERIMA BANTUAN KERAJAAN BERBANDING B40 DAN M40

816
SHARES
2.6k
VIEWS

Oleh Isham Jalil

Saya lihat ada sesetengah pihak terutama orang kaya T20 yang tidak faham tentang peranan B40 dan M40 dalam menyumbang kepada ekonomi negara.

Ada orang-orang kaya ini kata bahawa golongan B40 dan M40 ini tidak menyumbang kepada ekonomi dan hanya mengharap bantuan kerajaan.

Orang-orang kaya T20 ini juga kata bahawa mereka (T20) adalah paling banyak membayar cukai oleh itu sepatutnya dapat manfaat paling banyak dari kerajaan berbanding B40 dan M40.

Apa yang diperkatakan oleh mereka ini adalah mitos yang tidak benar.

Berdasarkan laporan Jabatan Statistik Malaysia, lebih daripada separuh atau 54% daripada pendapatan isirumah negara adalah diperoleh oleh golongan B40 dan M40.

Selebihnya 46% daripada pendapatan negara pergi kepada golongan kaya T20.

Ini bermaksud secara purata setiap seorang daripada golongan T20 memperoleh lebih daripada tiga kali ganda pendapatan golongan B40 dan M40.

Walaupun setiap orang daripada golongan B40 dan M40 menjana pendapatan yang lebih kecil dari T20, namun hampir semua daripada pendapatan golongan B40 dan kebanyakan daripada pendapatan golongan M40 dibelanjakan semula ke dalam ekonomi dengan pembelian keperluan barangan dan perkhidmatan harian isi rumah mereka.

Ini berbanding dengan pendapatan golongan kaya T20 yang kebanyakannya disimpan sebagai simpanan atau dilabur untuk perniagaan.

Namun perniagaan-perniagaan mereka (T20) ini tidak akan berjaya dan akan gagal tanpa pengguna-pengguna daripada golongan B40 dan M40 yang membeli barangan dan perkhidmatan yang dijual oleh perniagaan-perniagaan T20 tersebut.

Golongan B40 dan M40 ini adalah golongan pengguna yang terbesar di Malaysia, dari segi bilangan dan jumlah perbelanjaan pengguna ke dalam ekonomi berbanding T20.

Ekonomi Malaysia dipacu oleh perbelanjaan isi rumah, dan ini dipacu oleh golongan B40 dan M40.

Tanpa perbelanjaan B40 dan M40, ekonomi Malaysia (dan kekayaan T20) akan jatuh.

……..

Dari segi pembayaran cukai pula, setiap tahun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip lebih kurang RM36 billion cukai pendapatan individu.

Hampir semua daripada jumlah ini adalah daripada potongan gaji melalui skim Potongan Cukai Berjadual (PCB).

Potongan Cukai Berjadual (PCB) ini dibuat daripada pekerja-pekerja yang makan gaji, yang mana hampir semua daripada mereka ini adalah daripada golongan B40 dan M40.

Kebanyakan daripada golongan kaya T20 tidak bekerja makan gaji namun mempunyai perniagaan sendiri.

Kebanyakan mereka membayar cukai melalui cukai syarikat.

Walaupun jumlah pembayaran cukai syarikat adalah dua kali ganda iaitu RM70 billion berbanding cukai pendapatan individu, namun kebanyakan daripada jumlah ini adalah dibayar oleh syarikat-syarikat berkenaan kerajaan seperti Petronas, TNB, Telekom Malaysia, Sime Darby, PNB dan sebagainya.

Berbanding dengan pembayaran cukai individu melalui PCB dan cukai syarikat berkenaan kerajaan di atas (yang perlu dibayar secara automatik atau melalui peraturan syarikat kerajaan tersebut), banyak syarikat-syarikat lain milik persendirian dan milik individu-individu T20 yang memilih untuk sama ada lari dari bayar cukai, langsung tidak bayar cukai atau bayar kurang dari yang sepatutnya.

Ini dibuat dengan manipulasi akaun atau mengisytiharkan kerugian supaya mereka tidak perlu membayar cukai walaupun mereka sebenarnya membuat untung.

Dengan pembatalan GST dan pengenalan semula SST oleh kerajaan PH dahulu, perkara ini menjadi lebih teruk oleh kerana sistem cukai SST yang tidak telus berbanding GST.

……..

Persepsi yang dikatakan oleh orang-orang bilionair terkaya di Malaysia bahawa mereka menjadi kaya oleh kerana usaha sendiri tanpa bantuan kerajaan juga adalah suatu mitos.

Jika kita lihat daripada senarai 10 orang bilionair terkaya di Malaysia, tanpa menyebut nama sesiapa, semua daripada mereka telah mendapat bantuan, subsidi, pengecualian cukai atau kontrak besar kerajaan pada suatu masa dahulu atau berkali-kali sehingga sekarang.

Secara purata, jumlah manfaat bantuan kerajaan yang diperoleh oleh setiap daripada mereka ini adalah jauh lebih tinggi berbanding jumlah bantuan kepada setiap orang dalam golongan B40 dan M40.

Semasa zaman PM-4, mereka ini (golongan kaya T20) yang paling banyak menerima subsidi dan bantuan kerajaan.

Ini menyebabkan peningkatan perkongsian pendapatan negara oleh mereka (T20) telah meningkat daripada 50% ke 52% berbanding kejatuhan perkongsian pendapatan B40 daripada 15% ke 13% dalam tempoh tersebut.

……..

Saya dahulu pernah menjadi pensyarah sambilan di UiTM pada tahun 1999-2000.

Hampir semua daripada pelajar UiTM adalah dari keluarga B40 dan M40.

Kalau dahulu ibu dan ayah mereka adalah orang miskin di kampung, kini dengan bantuan pendidikan oleh kerajaan, anak-anak nelayan, petani dan penoreh getah ini telah menjadi doktor, jurutera, akauntan dan usahawan yang berjaya yang telah menyumbang besar kepada ekonomi negara.

Saya harap selepas ini tidak ada lagi golongan kaya T20 yang menghina dan mengkeji golongan B40 dan M40, lebih-lebih lagi semasa kita sedang menghadapi cabaran krisis wabak COVID-19 ini.

Hampir semua anggota kerja kesihatan barisan hadapan yang membantu dan menyabung nyawa sewaktu wabak COVID-19 ini adalah dari golongan B40 dan M40.

Cukuplah hanya beberapa orang yang mempunyai pemikiran sinikal terhadap golongan B40 dan M40 dan selalu menghina orang miskin.

Kepada orang-orang kaya yang mempunyai pemikiran sebegini, tanpa B40 dan M40, anda tidak akan menjadi kaya raya seperti sekarang, anda perlu ubah pemikiran anda.

Lebih banyak seseorang membantu orang lain, lebih banyak punca rezeki akan dibuka oleh Allah SWT, inshaAllah.

Salam,
1 April 2020

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/687683565320504/?d=n

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts