KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PUTRA
5 Jun 2020
1. Keadaan politik negara berada dalam kucar-kacir dan tidak menentu. Ia berlaku kerana perubahan kerajaan yang tidak dijangka dan serangan wabak Covid-19.
2. Kelemahan sistem demokrasi pada masa kini amat ketara apabila perwakilan rakyat di Parlimen terbahagi dua dan pihak majoriti kerajaan PN tidak meyakinkan. Ini terbuka kepada keadaan lompat- melompat, tawar-menawar dan permuafakatan yang tidak sihat demi untuk mendapat kuasa dan yang terlibat menjadi “produk jual beli”. Secara moral ia telah lari daripada prinsip demokrasi rakyat memilih kerajaan melalui PRU. Keadaan ini dijangka akan terus berlarutan termasuk di negeri-negeri kerana bilangan ADUN-ADUN di negeri melalui parti sangat kecil perbezaannya serta sudah pasti keadaan ini memberi impak yang buruk kepada ekonomi negara. Keadaan lebih diburukkan lagi oleh pandemik Covid-19.
3. Mohon ampun perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara sudah pasti memandang keadaan ini dengan amat serius sebelum keadaan ekonomi negara menjadi lebih buruk.
4. KDYMM SPB YDP Agong mempunyai tiga pilihan selaras dengan apa yang terdapat dalam Perlembagaan Negara.
Pertama, membiarkan Parlimen bersidang untuk menguji usul tidak percaya yang diutarakan oleh Dr Mahathir. Besar kemungkinan Parlimen akan tergantung (hanging) atau margin yang sangat kecil. Undi tidak percaya ini akan berterusan dan Parlimen akan menjadi medan pertempuran.
Kedua, membubarkan Parlimen untuk memberi laluan diadakan PRU. Memandangkan keadaan pandemik Covid-19 pilihan ini mungkin tidak sesuai.
Ketiga, Perlembagaan Negara memberi kuasa kepada YDP Agong untuk mengambil kuasa yang diberi kapada rakyat dengan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) mengikut Artikel 150, Emergency Ordinance. YDP Agong akan melantik seorang tokoh berpengalaman, berintegriti dan negarawan yang dihormati oleh semua pihak. MAGERAN dengan anggota yang dipilih bertanggungjawab terus kepada YDP Agong.
Parlimen dibubar dan secara langsung ‘politiking’ dihentikan serta merta buat sementara waktu. Ini akan memberi peluang kepada YDP Agong mendapat input daripada OPERASI PERANAN MAGERAN untuk mencari jalan penyelesaian jangka panjang. Ia sama saperti modus operandi MAGERAN 13 Mei 1969 yang melahirkan Rukun Negara dan DEB. Perdana Menteri serta Kabinet tetap berfungsi bagi mentadbir negara diawasi bersama oleh MAGERAN.
5. MAGERAN dan Parlimen tergantung sehingga tempoh akhir PRU-15 pada Mei 2023.
Masa antara dua tahun setengah sehingga tiga tahun inilah masanya UNTUK MEMBUAT PEMBETULAN ATAU CORRECTION KEPADA ASAS NEGARA kerana banyak isu-isu sensitif hanya boleh dirungkaikan dan diselesaikan melalui MAGERAN.
Ia umpama “going back to the drawing board” atau kembali ke papan hitam untuk perbetulkan sistem struktur negara kerana alaf baru dengan berbagai perkembangan, dunia tanpa sempadan, dunia internet dan rakyat sudah terpelajar dengan golongan generasi muda melebihi 60 peratus.
6. Isu perkauman, isu keselamatan dan pendatang Asing yang amat serius, sistem pendidikan yang boleh membawa kepada integrasi nasional. Pembahagian kek ekonomi yang benar-benar adil mengikut nisbah kaum dan kemiskinan yang masih menghantui rakyat termasuk kedudukan kemuliaan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan yang dipersendakan serta memperkasakan Institusi Raja-Raja agar tidak dihina sesuka hati oleh sesetengah pihak.
Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan, Tanah Rizab Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta bermacam perkara lagi wajib diperbetulkan demi hala tuju negara yang lebih cemerlang serta keamanan yang terjamin.
Malah mungkin sudah tiba masanya dilaksanakan SISTEM DUA PARTI yang mungkin menyuburkan sistem demokrasi negara. Sudah tiba masanya sistem lama yang sedia ada ditinggalkan dan ini yang dikatakan transformasi yg sebenar.
7. Saya amat yakin bahawa politik negara boleh diperbaiki dengan pengubahan struktur. Sun Tzu pernah berkata “Peoples will behave the way they are structured”.
Malaysia adalah satu negara yang unik. Sudah sampai masanya yang saya panggil sebagai “Fasa Kedua” bagi kita mencari jalan untuk kelangsungan negara kita yang tercinta ini.
Fasa pertama bermula daripada kemerdekaan telahpun tamat.
Kuasa YDP Agong melalui pengisytiharan darurat ini akan lebih menyenangkan perbincangan antara kaum dan agama untuk mencapai matlamat nasional. Tidak ada perkiraan politik yang sedia ada, hanya YDP Agong memberi perintah sehingga AGENDA baru negara dibentuk sebelum PRU-15 diadakan.
Saranan ini munasabah dan pendekatan ini wajar dilaksanakan dalam sitiuasi negara sekarang yang dilihat tidak stabil, kucar kacir dan masalah Covid-19 yang pasti berpanjangan sehingga dua atau tiga tahun akan datang.
Pandangan saya ini adalah pandangan peribadi, walaupun saya adalah Presiden parti PUTRA dan NGO PERKASA.
Ya Allah, selamatkan Malaysia negaraku dan sejahterakanlah rakyat Malaysia.
Salam patriotisme.
Dato Paduka Dr Ibrahim Ali
Presiden PUTRA @ PERKASA
5 Jun 2020