Pengumuman kerajaan mengenai pembukaan semula pasar-pasar malam di seluruh negara termasuk kedai-kedai gunting menunjukkan bahawa tiada apa salahnya jika masjid dan surau pula dibuka. Tidak mungkin penularan pandemik Covid-19 pandai memilih antara masjid, surau dan pasar malam serta kedai gunting.
Usahlah kerana isu segelintir pihak yang prejudis terhadap masjid dan surau kerana sebelum ini penularan dikatakan bermula di sebuah perhimpunan agama di ibu negara maka pihak Menteri Agama serta Kementerian Kesihatan masih ragu-ragu tidak mahu masjid dan surau beroperasi sepenuhnya?
Sedangkan hakikatnya kehadiran pelancong asing termasuk dari Wuhan dan kemasukan di sempadan negara yang tidak dikawal sebelum ini telah menimbulkan ‘spark‘ lebih awal yang tidakpun diendahkan malah dipandang remeh mengakibatkan penularan tanpa disedari.
Tidak mungkin tidak boleh difikirkan cara berkesan sama seperti kerajaan boleh memikirkan SOP pengendalian di pasar malam, pasar pagi dan bazaria, malah pasaraya yang telahpun lama dibuka sebelum inipun menimbulkan tanda tanya kepada Menteri Agama kenapa terlalu lambat hendak laksanakan pembukaan masjid dan surau kembali kepada masyarakat awam?
Masyarakat menyeru Menteri Agama dan Majlis Agama Islam termasuk di negeri-negeri agar meletakkan kepentingan agama di depan apatah lagi wabak Covid-19 ini kini telah berjaya ditangani dengan cekap oleh kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika ini sangat disanjungi oleh dunia.
Janganlah masjid dan surau menjadi premis terakhir dibuka berbanding pasar-pasar malam yang boleh pula dibuka lebih awal sedangkan tentunya jemaah di masjid dan surau lebih berhemah, berdisiplin dan teratur berbanding di pasar malam yang tentunya lebih sukar dikawal dengan masa yang lebih panjang termasuk dengan kehadiran kanak-kanak – walaupun kerajaan tidak membenarkannya.
Hanya 5-10 minit di surau dan masjid tentunya lebih kurang mudarat berbanding 5-6 jam di pasar-pasar malam, pasar pagi dan bazaria.
Tentu negara akan lebih berkat dan diredai oleh Allah Taala kerana walaupun berusaha sebaik-baiknya tetapi tetap yakin dan berserah penuh kepada-NYA dalam keadaan senang ataupun sukar, sihat ataupun wabak.
Wallahualam.