PERBUATAN MENYEBERANGI LANTAI (“CROSSING THE FLOOR”) DI DALAM PARLIMEN

719
SHARES
4.2k
VIEWS

Oleh Saiful Adli Mohd. Arshad

(I)
Di Parlimen, sudah menjadi ketetapan lazim bahawa Ahli Parlimen yang memihak kerajaan akan duduk di sebelah kanan Speaker, manakala Ahli Parlimen yang tidak memihak kepada kerajaan (sama ada dia dari pihak pembangkang; atau bebas) akan duduk di bahagian kiri.

(II)
Apabila seseorang Ahli Parlimen bangun dan beralih tempat duduknya – sama ada dari kiri ke kanan atau kanan ke kiri – tindakannya diistilahkan sebagai “crossing the floor” atau menyeberangi lantai. ‘Floor’ di sini merujuk langsung kepada ruang pemisah di depan kerusi Speaker di mana wakil kerajaan dan pembangkang lazimnya duduk bertentangan menghadap antara satu sama lain. Justeru terjemahan langsung/literal “crossing the floor” ialah setepatnya ‘melintas ruang’ – namun maksud teknikal and politiknya ia adalah suatu tindakan lompat parti.

(III)
Inilah impak/kesan “crossing the floor” yang sudah diterima pakai sebagai amalan lazim/mantap di United Kingdom, bahawa perbuatan itu sendiri adalah suatu tindakan lompat parti – sebagai tambahan kepada dan selain daripada mengisi borang keahlian parti baru; atau mengoyak kad keahlian parti lama; atau isytihar secara rasmi keluar parti; mahupun membuat kenyataan akhbar atau letak jawatan dalam parti.

(IV)
Tokoh Britain paling tersohor yang pernah “cross the floor” ialah Winston Churchill – yang menjadi Perdana Menteri Britain pada zaman Perang Dunia ke-2. Churchill melintas ruang dari parti Konservatif ke Liberal pada 1904; dan melakukannya lagi dari Liberal ke Konservatif pada 1924. Malahan lebih baru lagi pada September 2019, di tengah-tengah ucapan Perdana Menteri Britain Boris Johnson kepada Parlimen, seorang Ahli Parlimen dari parti Konservatifnya, Phillip Lee, bangun dan berjalan melintas ruang untuk duduk di sisi Parti Liberal Demokrat.

(V)
Memandangkan Parlimen Malaysia mengikut model Parlimen United Kingdom, maka sudah tentulah perbuatan mana-mana Ahli Parlimen yang melintas ruang membawa maksud lompat parti seperti mana kelaziman/konvensyen yang difahami dan diamalkan di United Kingdom; apatah lagi dalam keadaan di mana di Malaysia tiada undang-undang berkenaan lompat parti.

Sesetengah negara seperti Singapura dan Maldives mempunyai undang-undang yang menghalang “crossing the floor” /lompat parti di mana Ahli Parlimen yang berbuat sedemikian mesti mengosongkan kerusi Parlimennya dan pilihan raya kecil harus diadakan – namun memandangkan di Malaysia tiada undang-undang seperti itu, perbuatan ”crossing the floor” tidak menyebabkan kerusi Parlimen menjadi kosong.

(VI)
Sebab itu harus difahami betul-betul bahawa berdasarkan amalan lazim/konvensyen Parlimen ala Westminster; keahlian parti seseorang Ahli Parlimen memang tergugur atau terhenti dengan sendirinya akibat tindakan “crossing the floor” tanpa perlu dimaklumkan atau dibincang lagi oleh parti.

(VII)
Dalam konteks 5 bekas Ahli Parlimen parti Bersatu yang masih beria-ia mengatakan mereka tidak meninggalkan parti bahkan masih memegang jawatan parti; seolah-olah mereka sengaja buat-buat tidak faham dengan natijah perbuatan mereka ‘menyeberangi lantai’ dengan menulis surat secara rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, sedangkan di United Kingdom sudah beratus kali insiden “cross the floor” berlaku sejak 1698; termasuk juga oleh Winston Churchill dan di zaman Theresa May dan Boris Johnson menjadi Perdana Menteri Britain – kesemuanya menyaksikan Ahli Parlimen terbabit bertukar ke parti lain atau menjadi Ahli Parlimen bebas.

(VIII)
Amalan dan tafsiran ini sudah mantap termasuk di Parlimen Kanada, Australia, Nigeria dan banyak negara Komanwel lain di mana insiden seperti ini sudah terlalu kerap sehingga beratus Ahli Parlimen pernah “cross the floor“. Sebarang usaha dan drama untuk menggambarkan bahawa duduk di kerusi bertentangan dengan parti sendiri bukanlah suatu tindakan lompat parti adalah tidak betul – hakikatnya ialah di kebanyakan negara lain di dunia termasuk UK, tindakan “crossing the floor” akan menggugurkan keahlian parti seseorang Ahli Parlimen tersebut secara automatik.

Rujukan;

https://en.wikipedia.org/wiki/List_of_elected_British_politicians_who_have_changed_party_affiliation

 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts