8 Jun 2020 bersamaan 16 Syawal 1441H
1. Mi’raj iaitu Gabungan Melayu Islam Beraja yang terdiri daripada Pertubuhan-Pertubuhan Melayu Islam merafak sembah menjunjung duli melafazkan ikrar taat setia dan menjunjung kasih kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dengan iringan doa Allah lanjutkan usia Tuanku berdua serta berterusan diberkati dengan kesihatan yang baik.
2. Gabungan Mi’raj sebagai rakyat Tuanku sentiasa sedar dan maklum akan keabsahan takhta Institusi Beraja negara dan sehubungan itu, Gabungan Mi’raj mendokong prinsip dan falsafah “Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada”, selanjutnya, KDYMM Seri Paduka Baginda adalah ‘Payung Negara’ yang menjaga keutuhan negara dalam segala bentuk dan arah, baik dari sudut perundangan mahupun keselamatan dan ketenteraman negara serta kemakmurannya bagi semua wilayah dan jajahan.
3. Gabungan Mi’raj mengakui kuasa-kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda di bawah perundangan Perlembagaan Persekutuan dan berikrar akan tetap mempertahankannya dengan apa cara sekalipun bersama-sama dengan ahli-ahli gabungan ini.
4. Gabungan Mi’raj memperakui betapa pentingnya perkara-perkara di dalam Rukun Negara diamalkan dengan tegas dan berdisiplin mengikut adab, adat dan paksi perundangan negara oleh semua warganegara tanpa tolak ansur.
5. Gabungan Mi’raj juga telah, sedang dan akan terus mengikuti perkembangan semasa di dalam negara termasuk juga yang di luar negara tentang perkara-perkara durjana dan onar yang telah, sedang dan akan dilakukan oleh penderhaka-penderhaka negara terhadap Institusi Beraja, perundangan Perlembagaan Persekutuan, ancaman serta tentangan golongan tertentu kepada agama dan pengamal Islam sebagai cara hidup; begitu juga penyebaran dakyah-dakyah subversif secara meluas di media sosial yang mengancam ketenteraman di kalangan masyarakat dan warganegara yang jika diperhatiklan lebih halus, bertujuan merubah struktur kenegaraan kita.
6. Gabungan Mi’raj amat berharap fungsi Institusi DiRaja khususnya KDYMM Seri Paduka Baginda bersama-sama Majlis Raja-Raja Melayu terus sentiasa diperkukuhkan lagi dan selanjutnya, beberapa siri perundangan yang lebih tegas lagi akan dapat diwujudkan segera, antaranya adalah undang-undang keselamatan dalam negeri dan undang-undang penderhakaan, bagi membanteras kegiatan-kegiatan durjana dan onar daripada terus berleluasa.
7. Dengan pemakluman sumpah taat setia ini, Gabungan Mi’raj juga ingin menzahirkan sokongan padu yang tidak berbelah bagi kepada semua Pertubuhan-Pertubuhan (NGO) lain yang seiringan dengan prinsip dan falsafah kami yang mendokong sepenuh jiwa dan raga prinsip Rukun Negara khusus sekali menjurus kepada kesetiaan kepada Raja dan negara serta kedaulatan undang-undang.
AMPUN TUANKU.
DAULAT Tuanku!
DAULAT Tuanku!
DAULAT Tuanku!
Tun Suzana @ Suzana Hj Othman
Ketua Umum Sekretariat
Gabungan MI’RAJ