Nampaknya Datuk Saifuddin Abdullah tidak ambil apa-apa pengajaran apabila dahulunya semasa menjadi Menteri di Kementarian Luar Negeri di zaman era kerajaan Pakatan Harapan pernah dikecam dan dikritik hebat apabila melantik Eric Paulsen menjadi wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bagi penggal 2019-2021.
2. Pelantikan dahulu ini pernah mendapat tentangan dan bantahan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan juga dari Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan melalui kenyataan pada 14 dan 15 Januari 2019. Banyak NGOi bangkit menyuarakan bantahan dan rasa tidak puas hati atas pelantikan tersebut.
3. Dan yang terbaru, sekali lagi sebagai Menteri di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, ramai terkeliru mengapa Datuk Saifudin Abdullah masih sanggup berdepan sekali lagi dengan kecaman daripada pelbagai pihak, baik daripada pembangkang politik, pertubuhan Islam bukan kerajaan, dan juga warga maya seluruhnya apabila sekali lagi dilihat kurang bijak dan akan menjatuhkan kredibiliti kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila tetap memilih dan melantik individu yang pernah menghina institusi Islam atas nama hak asasi manusia, Eric Paulsen sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM).
4. Eric Paulsen dalam sejarah penampilannya sangat terkenal dengan imejnya membenci segalanya yang terkait dengan Islam, malah beberapa kali pernah mengeluarkan kenyataan bersifat rasis dan ektremis. Jelas selama ini beliau tidak peduli sensitiviti umat Islam dengan begitu banyak membuat kenyataan celupar yang kebanyakkannya di Twitter peribadinya sendiri, antaranya:
a) Pernah membuat kenyataan dengan mengatakan; “Golongan ulama adalah seperti raja/Tuhan, tidak boleh dikritik.”
b) Pernah berkata; “Lagi agamawan menjaja agama” menyindir Malam Cinta Rasul di Dataran Merdeka di pada 29/12/2014.
c) “Ada majlis di tempat terbuka (dan) nampak nak hujan. Jadi penganjur doa agar tak hujan. Tak lamapun hujan. Jadi penganjur kata rahmat Tuhan. Kisah benar.” Bertarikh 27/12/2014.
d) “We won’t get anywhere if we shut down discussion & debate by citing respect Islam, Sultan etc. Everyone has a stake in Msia”. Bertarikh 03/11/2014.
e) “…Ia (hudud) tak berperlembagaan, zalim (dan) tak sesuai dengan zaman moden.” Bertarikh 14/12/2014.
f) “Pas is sex obsessed. Is that what hudud or Islam is all about?” Bertarikh 16/12/2014.
g) “Tolong tonton ‘Girls of Taliban’ di Al Jazeera untuk lihat bagaimana Ekstrimisme ‘Islam’ dibiakkan di madrasah-madrasah. Malaysia mesti ambil perhatian.” Bertarikh 25/12/2014.
5. Banyak lagi isu lain yang boleh disenaraikan, cukuplah ini sebagai gambaran siapa Eric Paulsen yang menjadi pilihan Datuk Saifudin Abdullah, yang jelas beliau bukanlah orang yang sesuai diberikan ruang dalam kerajaan.
6. MUAFAKAT menggesa pihak kerajaan agar dapat meneliti semula pelantikan ini dan meletakkan SOP yang ketat pada lantikan-lantikan yang akan datang terutama yang diletakkan dalam barisan kepimpinan kerajaan. Pilih dan lantik siapapun tetapi hendaklah mereka yang memahami prinsip Rukun Negara dan menghormati Perlembagaan Persekutuan.
7. Mengakhiri teks ini dengan mengambil kenyataan YB Ahmad Fadhli bin Shaari Ahli Parlimen Pasir Mas juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda Pas dalam laman Facebook beliau yang berani berkata: “Saya mohon Menteri berkenaan boleh menimbangkan tindakan untuk menarik balik pelantikan yang sangat tidak sesuai ini atau berdepan dengan kemungkinan bantahan yang kuat dari umat Islam yang prihatin.”
Haji Rashidi bin Haris
Ketua Media MUAFAKAT