Tahun lepas saya pernah menulis tentang menuntut keadilan bagi Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim. Mungkin kini ada yang sudah melupai insiden ini tetapi sebagai seorang peguam yang memperjuangkan keadilan ia tidak pernah luput dari minda saya.
Sebagaimana sejarah menukilkan tanggal tujuh belas Disember 2018 menyaksikan negara mengalami kesedihan apabila seorang penjawat awam yang sedang melaksanakan tugasnya sebagai seorang anggota bomba meninggal dunia kerana dipukul dan dicederakan dengan teruk oleh sekumpulan orang yang merusuh di Kuil Sri Maha Maraimman USJ 25 Subang Jaya.
Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia pada tarikh tersebut setelah berminggu berada di dalam keadaan koma. Lebih menyedihkan lagi Allahyarham dijadualkan mendirikan rumahtangga lima hari selepas tarikh kematiannya itu.
Sehingga kini rakyat marah kerana pembelaan kepada Allahyarham tidak nampak diadakan. Walaupun menjadi penjawat awam, Allahyarham tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Walaupun Mahkamah Koroner telah memutuskan kematian Muhammad Adib berpunca dari tindakan jenayah, sehingga kini penjenayah tersebut masih bebas walaupun pihak polis pernah mengeluarkan senarai lakaran muka pihak yang boleh membantu siasatan polis dahulu.
Pada lapan belas Disember 2018 polis juga telah mengklasifikasi kematian Muhammad Adib sebagai kes bunuh. Seharusnya pihak polis dan Peguam Negera segera melengkapkan siasatan dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab di bawah tuduhan dalam seksyen 302 Kanun Kesiksaan.
Pihak polis perlu menjelaskan kenapa suspek kes ini masih belum dapat ditangkap dan kenapa siasatan tidak dapat disempurnakan kerana kes ini adalah kes berkepentingan awam. Di mana Ketua Polis Negara dalam isu ini? Saya dimaklumkan keluarga Allahyarham Muhammad Adib juga telah menulis kepada Jabatan Peguam Negara berkenaan isu ini tetapi tidak diketahui maklum balas dari pihak Jabatan Peguam Negara sehingga kini.
Rakyat menagih ketelusan dan keberkesanan di dalam penyelesaian kes berkepentingan awam sebegini. Kes-kes berprofil tinggi melibatkan orang politik sudah muak diperkata pelbagai pihak. Keadilan adalah hak rakyat.
Kalau dahulu isu ini mulanya dibangkitkan atas dakwaan rasis oleh pihak tertentu tetapi kemudian didapati sebaliknya. Ia bukan isu bangsa tetapi isu keengganan pihak kuil melaksanakan perintah persetujuan yang telah dimeterai di mahkamah. Ia adalah pertikaian persendirian antara dua pihak di mahkamah yang langsung tiada kaitan dengan bangsa.
Namun sedihnya pihak yang mahu menjaga keamanan pula yang terbunuh oleh demontrans yang datang yang mungkin diapikan dengan isu yang direkayasa. Mereka mungkin diperdaya pihak tertentu yang tidak senang melihat keamanan negara.
Walau apapun Allahyarham pergi pasti tidak akan kembali lagi. Allahyarham meninggalkan keluarga dan tunangnya dalam keadaan yang sangat berdukacita. Sedangkan pelaku kesalahan masih lagi belum dihukum. Adakah keluarga mangsa tidak layak menikmati keadilan?
Ironinya golongan yang mendakwa memperjuang hak asasi manusia senyap sunyi seolah-olahnya hak asasi manusia ini tidak terpakai apabila orang Islam dianiaya atau dizalimi.
Di manakah golongan hak asasi manusia di dalam kes seperti ini?
Walaupun Muhammad Adib merupakan seorang Islam kematiannya tidak menjadikan umat Islam secara keseluruhan memberontak. Umat Islam sangat berdisiplin dan memelihara keluhuran dan kedaulatan undang-undang.
Sebenarnya kalaupun mangsa bukan orang Melayu atau Islam keadilan mesti ditegakkan bagi pihak mereka yang tertindas. Namun jika acap kali umat Islam diuji sebegini mungkin kesabaran umat Islam akan sampai ke
penghujungnya. Ia tidak baik buat negara. Saya juga menyeru semua rakyat Malaysia agar mengekalkan keamanan negara, mengelak sensiviti perkauman dan bertenang menghadapi dugaan ini.
Muhammad Adib Mohd Kassim, damailah kamu di sisi-NYA.
Berehatlah. Seluruh imat Islam mendoakan kebahagiaanmu. Anda wira negara. Kami masih memperjuang keadilan buatmu dan keluargamu.
Oleh Datuk Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam-Peguam
Muslim Malaysia