Oleh Shehdi Hazrik Shamsudin
Berbaki 3 bulan lagi moratorium yang telah dimanfaatkan oleh hampir semua peminjam dan pelanggan bank akan tamat tempoh, namun persoalan yang bermain di fikiran pelanggan-pelanggan bank, adakah pihak bank akan melanjutkan moratorium tersebut, ataupun mungkin adanya ‘Moratorium Bersasar’ sebagaimana yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Persoalan ini hanya boleh dijawab oleh pihak institusi kewangan dan perbankan sendiri, sejauh mana institusi perbankan bersedia untuk memberikan lagi tempoh moratorium sedangkan nilai moratorium bayaran balik pinjaman bagi tempoh 6 bulan sedia ada ini sahaja mencecah RM47.5 billion.
Namun pilihan majoriti pelanggan konsumer dan komersial sudah pasti mahu dilanjutkan kerana ia boleh membantu sebahagian besar pelanggan terutama dari golongan 40 peratus isi rumah berpendapat rendah (B40) dan peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di dalam sektor pelancongan, peruncitan dan pembuatan.
Menteri Kewangan sebelum ini telah menyatakan “cara yang terbaik untuk menyambung moratorium ialah dengan memberi tumpuan kepada kumpulan sasaran yang memerlukan”. Maka tumpuan institusi kewangan akan lebih terarah kepada pendekatan bantuan yang lebih bersasar sebagai jalan tengah untuk meringankan beban kewangan peminjam yang terjejas teruk akibat COVID-19, dalam masa yang sama dapat melindungi kepentingan pihak bank.
Susulan pandemik COVID-19 dan kesannya ke atas ekonomi global, prestasi kewangan negara pada tahun 2020 ini akan turut terjejas, begitu juga dengan kadar pengangguran negara yang dijangka meningkat pada kadar 5.5 peratus menjelang akhir tahun ini.
Bagi mengurangkan impak itu, semua pihak perlu meneliti semula strategi terutama pihak institusi kewangan dan perbankan dalam memberi manfaat kepada pelanggan konsumer dan pelanggan PKS serta korporat untuk membantu mereka menghadapi persekitaran mencabar.
Selain inisiatif pengurusan kos dan pengurangan aliran tunai yang ketat, berikut adalah cadangan langkah yang boleh diambil oleh pihak Institusi Kewangan dan pelanggan Bank bagi membantu semua pihak menghadapi “situasi menang-menang” (win win situation):
1. Memanfaatkan sepenuhnya dana bantuan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang baru diperkenalkan bernilai RM1 bilion untuk PKS di bawah dana bantuan khas Bank Negara Malaysia. Pelanggan boleh memohon pembiayaan tersebut dan pihak institusi kewangan perlu memberi sokongan penuh dengan menawarkan skim pembiayaan di bawah PENJANA ini kepada pelanggan yang terjejas sebagai bantuan modal perniagaan untuk mereka kembali beroperasi dan mengaktifkan aliran tunai seterusnya mampu untuk membayar semula pinjaman atau pembiayaan sedia ada.
2. Institusi kewangan perlu membuat penilaian semula prestasi pelanggan konsumer atau syarikat dan keupayaan mereka untuk membuat pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan. Jika perlu bantu mereka untuk membuat penjadualan semula (rescheduling) pinjaman atau pembiayaan melalui pembayaran ansuran bulanan secara berperingkat atau hanya dikenakan bayaran faedah/ keuntungan sahaja bagi tempoh tertentu.
3. Pihak institusi kewangan perlu berbincang dengan pelanggan daripada sektor yang paling terjejas akibat pandemik COVID-19 untuk melanjutkan sokongan dan menstrukturkan (restructuring) semula terma pinjaman dan pembiayaan mereka. Ketika ini merupakan peluang kepada pelanggan beragama Islam untuk menukar pinjaman konvensional mereka kepada pembiayaan Islam dan kemudahan overdraf kepada Pinjaman Bertempoh melalui kaedah penstrukturan semula.
Peminjam atau pelanggan perlu menghubungi pihak bank lebih awal jika merasakan bahawa mereka perlu menjadualkan semula pembayaran balik pinjaman atau penstrukturan terma pinjaman atau pembiayaan mereka. Penerangan lebih lanjut akan diberikan oleh pegawai bank anda nanti dalam memberi nasihat langkah yang perlu anda ambil.
Kebajikan dan kelangsungan ekonomi negara perlu dibentuk secara timbal sama atau bergandingan, terutama ketika negara dalam fasa pemulihan. Moratorium ketika PKPP (Pemulihan) sebenarnya tidak membantu kelangsungan atau pemulihan pendapatan pelanggan namun ia adalah jalan terakhir bagi mereka yang masih tidak mempunyai pekerjaan atau perniagaan mereka yang masih tidak boleh beroperasi berikutan arahan PKP Kerajaan terutama syarikat yang terlibat dalam sektor pelancongan luar negara dan pengurusan acara (kanopi, pusat hiburan terbuka dan sebagainya).
Jesteru itu, penulis berpendapat dengan memanjangkan lagi tempoh moratorium selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini kepada semua pelanggan sebenarnya kita gagal mencapai tujuan utama pemberian moratorium itu sendiri yang sepatutnya dilihat hanya untuk membantu kelangsungan hidup rakyat ketika PKP sahaja manakala Moratorium Bersasar pula adalah pelihan terakhir dalam membantu rakyat.