Assalammualaikum dan Salam Sejahtera
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mengambil maklum tentang pengumuman kerajaan untuk menangguhkan kemasukan pelajar dari zon merah berikutan masalah penularan pandemik COVID-19 yang kembali meningkat kepada tiga angka sejak kebelakangan ini.
Keputusan ini sebenarnya telah dibincangkan dengan begitu rapi oleh pihak universiti dan di peringkat kementerian. Pihak kementerian sendiri juga telah maklumkan kepada pihak universiti untuk bersedia menangguhkan kemasukan pelajar yang berada di Zon Merah.
Keputusan ini juga dibuat tanpa mendahului arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Hal ini bagi memastikan arahan yang dikeluarkan tidak bercanggah. Keputusan yang dikeluarkan selepas perbincangan yang rapi ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak terburu-buru dalam mengeluarkan sebarang keputusan dan keputusan yang dikeluarkan juga adalah teliti.
Dalam pada itu, MPPK memohon kepada pihak Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk terus mengambil berat mengenai kebajikan pelajar terutamanya dari Sabah dan Sarawak serta mereka yang berada dalam Zon Merah di kawasan lain. Penangguhan kemasukan pelajar baharu dan kemasukan semula pelajar senior berasal dari Zon Merah yang akan memberi kesan kepada para pelajar yang sudah membeli tiket penerbangan terutamanya dari Sabah dan Sarawak.
Pihak MPPK mendapat banyak aduan yang rata-ratanya menyuarakan kebimbangan mereka tentang status tiket penerbangan mereka yang melibatkan kos yang tinggi.
MPPK memohon kepada pihak IPT di seluruh negara untuk terus membantu para pelajar mereka yang terjejas agar diri mereka tidak tertekan dalam memikirkan perkara tersebut. Mungkin pihak IPT boleh berbincang dengan pihak syarikat penerbangan untuk memastikan tiket penerbangan yang telah dibeli oleh pelajar tidak ‘hangus’ begitu saja dan pada akhirnya mendatangkan kerugian kepada pelajar.
MPPK ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada IPT yang telah mula melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu pelajar tersebut. Begitu juga dengan syarikat penerbangan yang turut bersetuju untuk membantu pelajar yang terjejas.
Sekian, terima kasih.
“Memartabat Mahasiswa Malaysia“
Muhammad Amir Asyraf Bin Mohd Sabri
Presiden
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK)