KESAN PROKLAMASI DARURAT – ISHAM JALIL

1.4k
SHARES
4.4k
VIEWS

Sekejap lagi Majlis Raja-raja dan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong akan membincangkan tentang cadangan Perdana Menteri untuk pengisytiharan Proklamasi Darurat.

Dalam Perlembagaan, tidak ada pembahagian kategori Proklamasi Darurat seperti “Darurat Kesihatan”, “Darurat Keselamatan”, “Darurat Komunis”, “Darurat Politik”, atau sebagainya.

Yang ada termaktub adalah sebab-sebab yang membolehkan kerajaan dan Yang Dipertuan Agong untuk mengisytiharkan suatu Proklamasi Darurat iaitu ancaman keselamatan, ekonomi atau ketenteraman awam:

Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan menyebut:

“..jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.”

Tiga sebab-sebab ini tidak bermaksud Proklamasi Darurat itu memberi kesan atau kuasa yang berlainan.

Apabila satu Proklamasi Darurat dibuat atas apa sebab sekalipun termasuk tiga sebab di atas, kesan kuasanya adalah sama iaitu memberikan kuasa kepada Perdana Menteri untuk menggantung Parlimen, menggantung Perlembagaan dan kuasa Mahkamah, membuat undang-undang tanpa Parlimen, menggerakkan angkatan tentera dan sebagainya.

Oleh itu, Prokalamasi Darurat adalah satu sahaja, tidak ada jenis-jenis lain yang memberi kesan kuasa yang lain.

Secara ringkas, ia memberi hampir semua kuasa kepada Perdana Menteri tanpa banyak (atau tanpa ada) proses semak imbang.

Walaupun kuasa-kuasa dalam tempoh darurat ini secara tersuratnya adalah kuasa-kuasa YDP Agong, namun secara praktis dan tersirat kuasa-kuasa ini adalah secara efektif berada di tangan Perdana Menteri, yang mewakili kuasa YDP Agong mengikut Perlembagaan dan konvensyen; ini kerana YDP Agong tidak melibatkan diri atau mencemar duli dalam urusan-urusan pentadbiran harian kerajaan yang banyak dan kompleks.

Oleh itu semasa tempoh darurat (waima atas sebab kesihatan, keselamatan atau apa sahaja) jika Perdana Menteri mahu mengerah angkatan tentera untuk perintah berkurung, dia boleh berbuat demikian.

Dia juga boleh menggubal undang-undang (ordinan) berkenaan apa sahaja tanpa kelulusan Parlimen, termasuk untuk perbelanjaan awam atau untuk tangkapan.

Dalam tempoh darurat, demokrasi dan undang-undang adalah digantung.

Dalam sejarah dunia, setiap kali keadaan ini berlaku akan ada penolakan dan rusuhan yang besar oleh rakyat seperti yang berlaku di India pada tahun 1970-an, di Hong Kong beberapa tahun lalu, dan di Thailand baru-baru ini.

Keadaan ketidaktentuan ini menyebabkan pelabur-pelabur lari atau menjauhkan diri dari negara, dan keadaan ekonomipun akan menjadi lebih teruk.

Sebab itu saya tidak menyokong pengisytiharan darurat seluruh negara
pada masa ini.

Untuk menangguh pilihan raya kecil di Batu Sapi, darurat di kawasan itu sahaja boleh diisytihar seperti yang berlaku di Kelantan pada tahun 1977 dan di Johor pada tahun 2013, tidak perlu diisytihar di seluruh negara.

Peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta 342 dan lain-lain adalah lebih dari memadai untuk menangani wabak COVID-19 tanpa pengisytiharan darurat secara pukul rata di seluruh negara yang akan menerukkan lagi keadaan.

……..

Pada hemat saya, pilihan yang lebih baik untuk menyelesaikan kemelut politik ini adalah supaya:

i. Perdana Menteri menyerahkan kembali jawatan Perdana Menteri kepada budi bicara YDP Agong dengan meletakkan jawatan supaya baginda boleh melantik Perdana Menteri yang baru,

DAN/ATAU

ii. Membubarkan Parlimen untuk pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari mengikut Perlembagaan,

DAN

iii. Mengisytiharkan darurat dalam tempoh dua bulan jika perlu untuk menangguh pilihan raya selepas tempoh 60 hari sekiranya situasi COVID-19 masih belum reda pada akhir tahun ini.

Dengan ini, kemelut dan krisis ini boleh diselesaikan dengan lebih tertib, berkesan dan praktikal dengan kesan sosial, politik dan ekonomi yang kurang mudarat.

ISHAM JALIL

25 Oktober 2020

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/840851800003679/?d=n

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts