ADA APA DENGAN JASA?

511
SHARES
3k
VIEWS

1. “JASA sebagai agensi penyebaran maklumat dan komunikasi secara tersusun, strategik serta bersasar mengikut keperluan semua lapisan dan segmen masyarakat, yang mana tanggungjawab itu menjadi amat penting dan kritikal ketika negara sedang menghadapi ancaman pandemik Covid-19” – Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Saifuddin Abdullah. 

2. Beliau turut  memberi jaminan “penubuhan semula JASA akan dianggotai pasukan yang tidak langsung bermotifkan politik“.

3. Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan pula berkata, “JASA tidak akan digunakan untuk propaganda seperti sebelum ini“.

4. Melalui semua kenyataan pemimpin-pemimpin Bersatu ini menjelaskan bahawa JASA yang kembali diwujudkan ini hanyalah berperanan sebagai “agensi penyebaran maklumat dan komunikasi secara tersusun dan strategik, bukan cabang propaganda ataupun instrumen politik kerajaan”. 

5. Kenyataan ini sama seperti ingin menjelaskan bahawa “Red Bean Army (RBA) adalah pasukan penyebaran maklumat dan komunikasi, bukan cabang propaganda ataupun instrumen politik DAP”, yang tentunya juga sukar untuk dipercayai. 

6. Berapa kukuh sekalipun jawapan bahawa JASA tidak menjalankan tugas-tugas propaganda bagi kerajaan, sebegitulah juga sukarnya menidakkan tugas-tugas RBA sebagai alat propaganda DAP, sekalipun JASA akan dijenamakan semula dan ditukar dengan nama lain.

7. Atau jika benar JASA tidak akan berfungsi seperti dahulu, kenapa tidak wujudkan sahaja unit lain atau gunakan jabatan sedia ada di KKMM? Atau lebih baik wujudkan jabatan baharu tanpa perlupun dihidupkan kembali atau dibayangi oleh JASA.

8. Persepsi inilah yang sebenarnya sukar untuk diubah apatah lagi apabila timbul pula isu JASA diberi peruntukan yang tinggi dan menimbulkan skeptisisme masyarakat terhadap jabatan itu terutamanya DAP dan Pakatan Harapan. 

9. Sementara itu, para kakitangan JASA yang diberhentikan sebelum ini masih belum boleh tersenyum kerana belum pasti semuanya akan diserapkan kembali, walaupun bajet besar diberikan tetapi hakikatnya peruntukan emolumen atau gaji hanya separuh daripada Bajet 2018.

Isu peruntukan tahunan JASA sebanyak RM85.5 juta – EMOLUMEN

10. Daripada RM85.5 juta yang diperuntukkan setahun, hanya sekitar RM6.5 juta diperuntukkan untuk emolumen selama setahun.

11. Jika hanya separuh daripada peruntukan ini berbanding peruntukan pada 2018 sebanyak RM12.8471 juta dan diandaikan JASA ketika itu mempunyai 1000 kakitangan, maka jumlah pengambilan hanya separuh daripada kapasiti asal.

12. Selain itu, bajet emolumen tersebut jika diberikan mengikut 13 negeri maka setiap negeri akan menerima RM500 ribu ringgit setahun atau sekitar RM41,666 sebulan dan antara 10 hingga 15 orang mampu digajikan. Bagi negeri yang kecil seperti Perlis mungkin peruntukannya dikurangkan dan ditambah kepada negeri yang lebih besar.

13. Sekiranya peruntukan diberi mengikut Parlimen yang berjumlah 222 buah, maka peruntukan sekitar RM29,279 bagi setiap Parlimen akan diberikan untuk setahun. Dengan jumlah ini JASA hanya mempunyai sekitar RM2,440 sebulan peruntukan emolumen bagi setiap Parlimen.

14. Walaubagaimanapun, sama ada peruntukan diberi mengikut negeri atau Parlimen, dengan emolumen berjumlah RM6.5 juta setahun, dianggarkan hanya sekitar 270 orang kakitangan dengan gaji purata sebanyak RM2,000 sebulan mampu ditawarkan.

15. Daripada jumlah 270 ini pula kerajaan tentunya akan mengutamakan kakitangan yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan operatif yang dipercayai terutamanya pemimpin dan ahli parti negeri dan bahagian, selebihnya barulah tawaran dibuka buat kakitangan lama.

16. Namun jika mengikut kenyataan Saifuddin yang memberi jaminan “JASA akan dianggotai oleh mereka yang tidak mempunyai kaitan dengan politik” maka kemungkinan besar bakal kakitangan JASA ini merupakan pengambilan baru, melainkan Menteri KKMM itu hanya berseloroh mengatakan sedemikian. 

Isu peruntukan tahunan JASA sebanyak RM85.5 juta – PERKHIDMATAN DAN PERKAKASAN

17. Bajet tinggi bagi perkhidmatan dan perkakasan berjumlah RM75.484 juta pula tentunya melibatkan peralatan, kelengkapan dan keperluan pejabat di seluruh negara yang perlu diadakan terlebih dahulu setelah semuanya dilupuskan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

18. Jumlah ini jika diagihkan kepada 222 buah Parlimen sebanyak RM100,000 bagi keperluan melengkapkan pejabat sepenuhnya termasuk peralatan dan perkakasan, ini hanya melibatkan RM22 juta dan peruntukan tersebut masih berbaki sekitar RM53 juta.

19. Jumlah ini boleh digunakan bagi menampung ‘perkhidmatan’ pasukan ‘cytro‘ atau ‘cybertrooper‘ dan dengan hanya RM24 juta, 1000 orang cytro boleh diwujudkan dengan gaji RM2,000 sebulan untuk setahun.

20. Peruntukan perkhidmatan dan perbekalan yang masih berbaki sebanyak RM29 juta boleh digunakan untuk melantik ‘kontraktor IT’, penulis upahan, ‘influencer‘ media sosial, ‘blogger‘ dan pelbagai lagi.

21. Jika ini yang dirancang oleh JASA kerana agak ganjil peruntukan bagi emolumen berkurang separuh tetapi bajet bagi perkhidmatan dan perbekalan ditingkatkan sehingga 5 kali ganda berbanding Bajet 2018 iaitu sebanyak RM17,173,500, maka kakitangan yang diberhentikan JASA sebelum ini boleh diutamakan, walaupun “saringan kecenderungan politik” mungkin akan dilakukan terlebih dahulu oleh JASA dan kerajaan. 

22. Ia juga menjelaskan rasional kenapa peruntukan yang tinggi diberikan kepada JASA tatkala negara dilanda pandemik Covid-19 walaupun dibantah beberapa Ahli Parlimen yang berpandangan perkara lain perlu diutamakan.

23. Pembangkang tidak bersetuju bukan kerana peruntukan yang tinggi tetapi seboleh-bolehnya mereka tidak mahu melihat JASA diaktifkan kembali kerana tahu bagaimana keupayaannya sebelum ini dalam menangkis serangan Pakatan Harapan.

Kesimpulan

24. Walaupun nama JASA mungkin ditukarkan dan fungsinya akan diperkemas serta ditambah baik, tetapi peranan asalnya di bawah Barisan Nasional bagi menjalankan ‘propaganda’ dilihat berkesan. 

25. Pakatan Harapan juga secara tidak langsung mengaku keberkesanannya apabila tanpa membuang masa menutup terus jabatan ini sebaik sahaja memegang tampuk pemerintahan.

26. Justeru JASA dilihat masih relevan dan kekal menjadi satu jabatan penting bagi kerajaan tetapi isu peruntukan tinggi ini perlu segera diselesaikan. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts