PUNCA KRISIS AIR DI SELANGOR – BAHAGIAN 2

654
SHARES
2.1k
VIEWS

Oleh Lau Chin Kok

Kerajaan Pusat yang diterajui Barisan Nasional sebenarnya sudah banyak kali cuba untuk membantu kerajaan Pakatan Selangor berkenaan isu air. Kerajaan Pusat telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan projek-projek mitigasi bagi mengelakkan krisis air berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya walaupun mendapat tentangan daripada Pakatan Rakyat Selangor.

Pada 23 Julai 2012, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar mendakwa kerajaan negeri memohon RM225 juta dari Kerajaan Pusat bagi meningkatkan penjanaan air terawat di Loji Rawatan Air Sungai Selangor 1 (SSP1) dan Sungai Selangor 3 (SSP3).

Ini merupakan cubaan Pakatan Rakyat mengalih kesalahan ke atas bahu kerajaan pusat sekiranya permohonan peruntukan itu tidak diluluskan.

Kerajaan pusat tiada masalah meluluskan peruntukan RM606 juta bagi pelaksanaan lapan projek mitigasi bagi mengelak krisis air pada tahun 2014. Dengan kelulusan dana tersebut, kerajaan negeri Selangor kemudian bersetuju pula untuk melaksanakan 5 daripada 8 projek tersebut bernilai RM301 juta.

Pada hari yang sama juga di dalam lama sesawang Selangorku, Dr Xavier membuat satu lagi pembohongan bahawa tanggungjawab menyelenggara dan meningkatkan kemampuan aset air di Selangor seperti loji adalah di bawah Kerajaan Pusat dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Beliau memberi alasan palsu dengan mengatakan aset-aset air tersebut telah dipajak kepada Kerajaan Pusat dan Syabas.

Hakikatnya, Selangor sebagai pemilik semua aset air di negeri itu, tidak pernah memajak mana-mana aset airnya kepada Kerajaan Pusat apa lagi Syabas.

Kedudukan sebenarnya adalah begini – kerajaan negeri Selangor memiliki aset air sebagaimana peruntukan perundangan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) khususnya di bawah Seksyen 188 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Akta ini bertanggungjawab bagi memastikan ketersediaan bekalan air terawat atau “water supply availability” di loji-loji rawatan air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Fungsi utama Syabas hanyalah sebagai operator pengagihan air di negeri Selangor iaitu untuk membekal dan mengagihkan bekalan air terawat.

Tugas teras Syabas ini telah termaktub di bawah Seksyen 191 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) oleh SPAN.

Jadi bukan menjadi bidang tugas Syabas untuk memastikan ketersediaan bekalan air terawat.

Kemudian pembohongan berterusan Pakatan Rakyat berhubung isu air di Selangor disambung pula oleh Ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago.

Beliau berkata kenyataan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bahawa catuan air tidak perlu dalam masa terdekat menunjukkan Selangor tidak mengalami krisis bekalan air sekaligus menafikan keperluan pembinaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2.

Kenyataan Tan Sri Muyiddin Yasin sama sekali tidak bercanggah dengan kenyataan Menteri TTHA, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui sebelum ini yang mengatakan krisis air akan berlaku pada tahun 2014.

Perlu diketahui bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang enggan memberi kelulusan ‘development order‘ bagi Projek Loji Rawatan Air Langat 2 supaya projek itu dapat disiapkan pada tahun 2014.
Untuk menyelamatkan keadaan, kerajaan pusat meluluskan peruntukan RM606 seperti yang telah diterangkan di atas.

Mungkin wakil rakyat DAP itu tidak membaca atau cuba menafikan kenyataan SPAN bahawa walaupun bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya keseluruhannya masih terkawal, terdapat beberapa kawasan dikenal pasti sering mengalami gangguan bekalan air.

Ini kerana rizab simpanan air yang sangat rendah iaitu purata 2.5 peratus sahaja berbanding paras optimum sebanyak 10 peratus.

Atas pandangan ini, maka Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-Isu Bekalan Air Selangor telah memutuskan catuan air tidak perlu buat masa ini kerana bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah mencukupi.

Bagaimanapun kerajaan meminta SPAN mengenal pasti kawasan yang kerap menghadapi gangguan bekalan air dan menyediakan pelan kontingensi sebagai persediaan menghadapi catuan.

Jika perlu, SPAN harus berbincang dengan Syabas dan kerajaan negeri Selangor bagimemastikan pengguna di kawasan terbabit mendapat maklumat yang jelas mengenai sebarang catuan air di masa hadapan.

Tidak cukup dengan dakwaan menyeleweng itu, Charles bermain dengan kata-kata bahawa jika tidak perlu catuan air, maka tidak adalah masalah air.

Jika tidak ada masalah air, mengapa pula kerajaan pusat mahu membina Loji Rawatan Air Langat 2? Ini yang dikatakan ‘logik songsang’ puak pembangkang.

Tidak mengenakan catuan air buat masa sekarang tidak bermakna masalah air tidak akan wujud pada masa akan datang.

(Penulis merupakan Pengerusi Biro Media Baharu MCA)

Dipetik dari laman Facebook beliau di pautan; https://www.facebook.com/123238147811522/posts/2095740557227928/

Rujuk “Punca krisis air di Selangor – Bahagian 1” di pautan;

https://editormalaysia.com/19124/

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts