Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menuntut kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim disiasat melalui Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) kerana menurut beliau, Mahkamah Koroner telah memutuskan bahawa “kematian Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh beberapa orang yang tidak dikenali pada malam 27 November 2018.”
Rusuhan pertama di kuil tersebut berlaku pada malam sebelumnya pada 26 November dan melibatkan sekitar 50 hingga 250 orang.
Namun rusuhan kedua di mana anggota bomba dipukul berlaku pada hari kemudiannya dan melibatkan lebih 10,000 orang.
Jadi, RCI bagi kematian Adib mampu menjawab:
1. Kenapa lebih 10,000 orang telah dihasut untuk hadir dalam rusuhan hari kedua.
2. Kenapa anggota keselamatan kerajaan seperti bomba yang biasanya disanjung tinggi orang awam tiba-tiba menjadi sasaran kebencian pada malam kedua rusuhan.
3. Siapakah yang menghasut sehingga lebih 10,000 orang hadir dan jika hasutan itu adalah berbaur agama dan bangsa.
Perlu diingat:
1. Pada 26 November 2018, seorang ADUN dan EXCO kerajaan Selangor mengeluarkan kenyataan yang kata “kuil diserang oleh sekumpulan orang Islam“
2. Pada 26 November 2018, lima orang Menteri dan seorang Timbalan Menteri Pakatan Harapan telah membuat sidang media bersama di Parlimen untuk menuduh polis tidak bertindak adil pada rusuhan hari pertama.
“Menteri Perpaduan Pakatan Harapan Waythamoorthy membacakan kenyataan yang dikeluarkan bersama Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R Sivarasa.”
Rujuk pautan;
https://www.malaysiakini.com/news/453471
(Pertama kali dalam sejarah Malaysia di mana menteri-menteri kerajaan buat sidang media untuk salahkan penguatkuasa kerajaan sendiri)
3. Pada malam 27 November 2018, jumlah orang yang hadir rusuhan naik ke lebih 10,000 orang dan anggota keselamatan telah menjadi sasaran.
Sebab itu, saya kata RCI untuk Adib adalah wajar supaya kita semua (terutamanya wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan) boleh belajar dari kesilapan agar kita tidak lagi membuat kenyataan bodoh yang mampu mencetuskan kebencian antara kaum dan agama serta menjadikan anggota keselamatan negara sebagai sasaran kebencian.
Saya mahu wakil-wakil rakyat tersebut sedar apa yang mereka telah tersalah buat dan apa akibatnya.
Bahawa “words have consequences” dan ia bukan mudah untuk menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum kita.
Supaya tragedi ini tidak berulang dalam negara kita.
Justeru, seperti yang disarankan bekas Perdana Menteri keenam ini, maka bila agaknya kerajaan Perikatan Nasional akan lakukan RCI demi untuk membuktikan apakah yang sebenarnya berlaku pada malam kejadian arwah Adib dipukul tersebut?
Bukankah penjawat awam sepatutnya diberi pembelaan oleh pihak kerajaan, bukannya menidakkan keadilan. Jika kerajaan sendiri tidak mahu membela penjawat awamnya sendiri, apakah yang rakyat boleh harapkan jika berlaku sesuatu yang serupa ke atas mereka di lain masa kelak?
Atau mungkinkah kerajaan menunggu sedikit masa lagi untuk dijadikan modal apabila tiba musim pilihan raya?
Justeru janganlah apabila Menteri jatuh basikal kerana jalan berlubang, maka cepat sepantas kilat jabatan terlibat meminta maaf, tetapi apabila penjawat awam terbunuh ketika bertugas, sehingga kini masih tidak kedengaran apa-apa yang signifikan.
Masih belum terlambat jika Perdana Menteri (yang ketika kejadian berlaku beliau menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri), merendah diri dan berjiwa besar pergi bertemu dan menyantuni keluarga Allahyarham Muhammad Adib.
Serta apa salahnya jika kemudian beliau meminta maaf bagi pihak kerajaan dan berjanji siasatan akan segera dilakukan.
Legalah sedikit kedua Ibu bapa dan keluarganya, serta rakyat juga tentu akan lebih menghormati dan mengkagumi beliau kerana prihatin dengan rakyat.