MASJID TEMPAT BERHIMPUN PALING SELAMAT

162
SHARES
521
VIEWS

Saya senaraikan enam sebab yang menjadikan masjid tempat perhimpunan yang paling selamat di musim pandemik Covid-19 ini.

1. Jemaah masjid sentiasa memakai pelitup muka sepanjang berada di masjid, tidak seperti di kedai makan dan medan selera serta di pasaraya gergasi, yang membuka pelitup muka untuk makan dan minum. Saya sendiri tidak membuka pelitup muka semasa memberi kuliah dan mengimamkan solat.

2. Jemaah masjid akan menghabiskan 90 peratus masanya di satu tempat tertentu dalam masjid, iaitu di tempat dia bersolat wajib dan sunat, tanpa bergerak ke sana ke mari, tidak seperti pengunjung-pengunjung pasaraya dan tempat-tempat lain. Kurangnya pergerakan individu mengurangkan risiko bersentuhan dan jarak kurang satu meter.

3. Jemaah masjid menghabiskan 90 peratus  masanya dalam masjid dengan berdiri dan duduk di atas sejadah masing-masing, tidak seperti pengunjung kedai makan yang duduk di atas kerusi dan makan di meja yang digunakan silih berganti, tanpa apa-apa alas peribadi yang dibawa dari rumah.

4. Peraturan jalan sehala lebih mudah diamalkan di masjid kerana faktor waktu masuk dan waktu keluar. Jemaah masjid masuk di awal waktu, dan keluar selepas selesai menunaikan solat berjemaah. Hanya lima waktu sahaja sehari semalam. Pengunjung pasaraya dan kedai makan keluar masuk secara berterusan sepanjang masa operasi, menyebabkan disiplin terhadap peraturan jalan sehala sukar dikawal.

5. Jemaah masjid akan berwuduk terlebih dahulu sebelum masuk ke masjid untuk solat. Jikapun air tidak mematikan virus, sekurang-kurangnya air mengalir yang membasuh muka, tangan dan kaki boleh membawa pergi kuman yang ada. Ini tambahan kepada prosedur menyucikan tangan dengan bahan sanitasi yang disediakan di pintu masuk masjid.

6. Kita tidak dengar lagi kluster masjid yang besar sesudah kes di masjid tempat perhimpunan Jemaah Tabligh dahulu, yang berlaku ketika rakyat belum ada kesedaran tentang Covid-19 dan belum ada lagi SOP seperti hari ini. Ini bukti bahawa masjid adalah tempat berhimpun paling selamat selagi SOP yang ditetapkan boleh dipatuhi.

Semoga tulisan ini boleh membuka mata pihak-pihak yang berwajib supaya tidak ‘merantai’ masjid secara berlebihan berbanding kedai makan dan pasaraya.

Hukum diletak atas realiti. Realiti masjid sudah tentu berbeza dengan realiti tempat-tempat lain. Selepas berlalu tempoh masa lebih 10 bulan amalan SOP masjid diamalkan, sayugia realiti itu diteliti semula, agar letak duduk hukum dapat ditempatkan dengan tepat sepanjang masa.

Saya hanya mengemukakan pandangan. Terpulang pada tuan-tuan yang lebih bijak dan alim. Wallahua’lam.

Hazizi Ab Rahman

Naib Presiden BERJASA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts