PERIHAL DARURAT YANG HARUS RAKYAT TAHU – SIRI III

108
SHARES
349
VIEWS

Soalan 7: Apakah kuasa Yang Di-Pertuan Agong berkaitan Perisytiharan Darurat?

Itu adalah prerogatif baginda, baginda boleh memperkenankan, menangguhkan atau menolak permintaan bagi perisytiharan darurat. Dalam melaksanakan keputusan di atas, selain menimbangkan permintaan Jemaah Menteri, lazimnya Yang Di-Pertuan Agong berunding dengan Majlis Raja-Raja begitu juga Majlis Keselamatan Negara terlebih dahulu. Itulah prinsip ‘syura’ yang diwarisi daripada sistem politik watan Tanah Melayu.

Pada hakikatnya kuasa itu sudah wujud sebelum Hari Merdeka pada Raja-Raja Melayu yang memerintah wilayah kekuasaan masing-masing di Tanah Melayu, malahan di mana jua bahagian dunia sekalipun kuasa tersebut sudah ada berserta dengan kewujudan sebuah kerajaan.

Yang penting, rakyat perlu diberi kefahaman bahawa proklamasi darurat tidak semesti berlaku akibat peperangan atau implikasi perisytiharannya membawa malapetaka. Darurat bukanlah suatu yang baharu di negara kita. Pada 20 Disember 2011 tiga proklamasi darurat dibatalkan di Dewan Negara, iaitu:

1. Proklamasi Darurat 1966 di Sarawak pada 14 September 1966 akibat pertikaian politik;

2. Proklamasi Darurat 1969 di Persekutuan pada 15 Mei 1969 akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969; dan

3. Proklamasi Darurat 1977 di Kelantan pada 8 November 1977 akibat pertikaian politik.

Meskipun Persekutuan berada dalam tempoh darurat dari tahun 1969 hingga 2011, Malaysia terus membangun dan PRU dilaksanakan. Parlimen dibubarkan pada 30 Mac 1969, manakala keputusan Pilihan Raya Umum bagi Semenanjung Tanah Melayu diumumkan pada 10 Mei 1969. Di Sabah dan Sarawak, PRU terpaksa ditangguhkan, hanya pada 4 Julai 1969 selesai dilaksanakan. Parlimen hanya dipanggil bersidang pada 20 Februari 1971, iaitu hampir 2 tahun selepas tarikh pembubarannya.

Soalan 8: Adakah Parlimen tergantung dengan perisytiharan darurat?

Tidak, perisytiharan darurat tidak menggantung Parlimen, begitu juga PRU. Apa yang berlaku, Perlembagaan memberi keluasan prerogatif kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk menangguhkan sidang Parlimen di bawah Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga halnya, PRU boleh ditangguhkan melewati batasan tempoh sedia ada di bawah Perlembagaan. Dalam tempoh darurat, Parlimen boleh dipanggil oleh baginda, PRU boleh dilaksanakan dan keadaan itu lebih mudah difahami jika kita melihat apa yang berlaku sepanjang tempoh 15 Mei 1969 hingga Jun, 2012.

Jawapan oleh Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi

Pengasas Jurisprudens Watan

Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik

Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP) 

12 Januari 2021

Rujuk artikel “Perihal darurat yang harus rakyat tahu – Siri II” di pautan;

https://editormalaysia.com/20964/

Serta artikel “Perihal darurat yang harus rakyat tahu – Siri I”  di pautan;

https://editormalaysia.com/20944/

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts