Umat Islam menerima berita gembila dan berterima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) apabila membuka pintu-pintu masjid di seluruh negeri bagi umat Islam mendirikan solat Jumaat dan fardhu secara berjamaah, dengan mengikut garis panduan SOP.
2. Berbeza dengan negeri Selangor-KL yang masih lagi diselia ketat dengan bilangan terhad yang dibenarkan; ada yang dibuka tetapi dengan kuota had bilangan di bawah syarat yang ditetapkan mengikut mazhab Syafie bagi mendirikan solat Jumaat. Menurut mazhab Syafie jumlah minimum bagi solat Jumaat adalah seramai 40 orang.
3. Di Malaysia, arus perdana fiqh adalah mengikut mazhab Imam Syafie dengan tidak menolak pandangan mazhab lain, contohnya pada mazhab Maliki solat Jumaat itu cukup dengan bilangan wajibnya 12 orang sahaja. Kita terima pandangan 12 orang itu tetapi itu mengikut mazhab mereka bukannya mazhab kita. Sama juga sebagaimana mereka tidak menolak pandangan ulama kita dan menghormatinya, namun mereka tidak mengamalkannya, maka begitu juga kita menghormati pandangan mereka dan tidak menolaknya.
4. Syukur, Negeri Sembilan telah memulakan langkah berani dengan membenarkan solat berjamaah di masjid-masjid dalam negerinya dengan penjarakan tetap dipatuhi dan diwajibkan memakai pelitup muka, namun had bilangannya sudah diperluaskan, tindakan ini juga menunjukkan pengharapan dan keyakinan mereka untuk memohon perlindungan dan pertolongan daripada Allah SWT itu sangat tinggi, dan kita harus menghormati pendirian pemimpin mereka dan mengucapkan terima kasih kerana memahami keluhan dan kegelisahan umat Islam.
5. Kita beriman sebagaimana firman Allah Taala tentang keutamaan besar bagi orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah, dalam firman-Nya: Terjemahan maksud: “Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain Allah, maka merekalah yang termasuk golongan orang-orang yang selalu mendapat petunjuk (dari Allah Ta’ala)” (Surah Al-Taubah: ayat 18).
6. Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata, bagaimanapun ia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
7. Garis panduan itu menetapkan semua masjid serta surau di Negeri Sembilan dibenarkan mengadakan solat fardhu dan solat Jumaat secara berjemaah sepanjang tempoh PKP dengan merujuk kepada SOP yang dikeluarkan JHEAINS sebelum ini. Setiap ahli jemaah diwajibkan membawa sejadah yang bersaiz besar, memakai pelitup muka, mengambil wuduk di rumah dan mematuhi had keluasan melakukan ibadah.
8. “Bagi solat Jumaat, ia juga boleh dilaksanakan dengan mengikut kapasiti ruang solat di masjid atau surau Jumaat,” katanya pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar.
Rujuk pautan:
9. Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَتَعَاهَدُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالإِيمَانِ
Maksudnya: “Apabila kamu melihat seorang lelaki sentiasa dan rajin menuju ke masjid-masjid, maka saksikanlah baginya dengan iman.” – Riwayat Tirmidzi.
10. Oleh itu, kita harus merebut peluang ini dan jangan sesekali kita meletakkan ketakutan kita berlebihan melebihi ketakutan kita kepada Allah SWT, dan jangan membiarkan masjid kita kosong. Masjid adalah “Rumah Allah”, siapa kita yang mahu menyekat manusia daripada mengunjunginya tambahan lagi yang mahu tunduk sujud kepada-NYA. Solat fardhu berjamaah harus terus dilaksanakan walaupun bilangannya hanya sebaris saff, dan mesti ada terus umat yang berdoa di dalamnya, kerana ia merupakan tempat ibadah utama bagi umat Islam.
11. Namun, dalam masa yang sama ketika keadaan negara sedang bergelut dengan wabak Covid-19, keselamatan diri harus juga dijaga dengan menjaga kebersihan serta penjarakan bagi mengelakkan jangkitan. Ini penting dan sememangnya selama ini pun jemaah masjid merupakan kumpulan yang paling berdisiplin mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
12. MUAFAKAT berharap, jika Negeri Sembilan mampu melakukannya, maka negeri-negeri lain juga boleh. Moga Jabatan Agama Islam negeri-negeri lain dapat mengikut jejak JHEAINS dengan membuka semula masjid bagi umat Islam berjamaah mendirikan solat fardhu dan solat Jumaat. Jika tidak dapat dibuka, setidak-tidaknya membenarkan solat Jumaat dan janganlah sampai bilangannya tidak menepati syarat yang ditetapkan mengikut mazhab Syafie.
13. Kita menaruh harapan dengan keberkatan doa saudara-saudara kita di Negeri Sembilan wabak ini akan segera pulih dan solat fardhu berjamaah dan solat Jumaat kembali seperti biasa dan masjid-masjid selepas ini akan lebih bercahaya apabila bilangan jemaah yang memakmurkannya bertambah, In Sya Allah.
Haji Rashidi bin Haris
Ketua Media MUAFAKAT
Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA