Tiap-tiap kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal agamanya sendiri. Itu peruntukan yang sudah termeteri di bawah Perkara 11(3)(a) Perlembagaan Persekutuan yang terjamin dan tidak boleh diganggu-gugat.
Sayang sekali, peruntukan yang sedia ada ini tidak dipergunakan sebaik-baik mungkin sehingga merugikan agama itu sendiri khususnya agama Islam.
Hakikatnya pada masa sekarang orang Islam tidak secara eksklusif boleh mentadbir agama mereka sendiri apabila Jemaah Menteri bukan Islam, Ahli Parlimen bukan Islam, Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat turut mengambil bahagian dalam perbahasan menyentuh kemurnian Islam fiqh dan juga ajaran yang sangat mendasar.
Malah kini terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang bukan Islam turut mempertikai Undang-Undang Islam yang dibentangkan.
Penulis berpandangan mekanisme membuat undang-undang ini dinilai kembali penggubalannya kerana kerangka yang ada sekarang ini sudah tidak sesuai lagi untuk menggubal undang-undang berkaitan Islam. Sebelum proklamasi darurat semua undang-undang Persekutuan yang digubal dibincangkan oleh Jemaah Menteri dan dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum pekenan diberikan untuk dijadikan undang-undang yang berkuat kuasa.
Seharusnya rang undang-undang khusus tentang agama Islam yang didraf oleh pakar perundangan Islam dimajukan kepada Jabatan Peguam Negara untuk format gubalan sahaja. Setelah itu ia perlu dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), dan kemudiannya kepada Majlis Raja-Raja atau Yang DiPertuan Agong untuk mendapatkan perkenan.
Seterusnya ia akan hanya dipanjangkan kepada Jemaah Menteri untuk disahkan tanpa perlu dibahaskan kerana ia sudah diberi perkenan. Begitu juga apabila dibentangkan untuk bacaan pertama dan kedua tidak perlu juga dibahaskan kerana ia telah mendapat perkenan.
Perbezaannya adalah perkenan Majlis Raja-Raja atau Yang DiPertuan Agong ini diperoleh terlebih dahulu sebelum perkara ini dibawa ke Jemaah Menteri dan Parlimen. Ia bertujuan mengelakkan perbahasan tentang Rang Undang-Undang Islam oleh orang bukan Islam termasuklah oleh orang Islam yang tidak mempunyai keilmuan dalam hukum syarak.
Dengan cara ini, non-Muslim tidak lagi boleh mencampuri urusan agama Islam dan orang Islam dapat mentadbir agamanya mengikut acuan Islam itu sendiri. Ia memberi kesan kepada Perkara 11(3) untuk orang Islam mentadbir agamanya secara eksklusif, terlaksana. Dalam konteks ini juga ia mempastikan bidang kuasa agama dapat dikeluarkan dan bebas daripada campur tangan pihak-pihak tertentu atas dasar kepentingan politik masing-masing ataupun kedangkalan ilmu Islam itu sendiri. Ini kerana apabila undang-undang itu dibuat ia terus dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja.
Bukan niat menidakkan peranan ahli politik bukan Islam dalam perkara ini namun apa kewajarannya bagi mereka untuk mencampuri urusan agama dan undang-undang dan fatwa umpamanya. Perkara ini penting kerana pada masa ini sudah berlaku pencabulan terhadap kemuliaan institusi dan perundangan Islam.
Secara dasarnya penulis tidak mengatakan atau mengehadkan campur tangan golongan tertentu terhadap agama Islam semata-mata tetapi ia secara menyeluruh. Dengan kata lain, penulis juga tidak mahu pihak tertentu turut mencampuri urusan agama lain misalnya Kristian, Buddha dan Hindu kerana tidak mengetahui hal agama tersebut selain perlu menghormati fahaman agama mereka.
Tetapi perkara sebaliknya berlaku kerana apabila perbahasan yang melanggar hukum syarak seperti yang berlaku terhadap Undang-Undang Keluarga Islam yang berlangsung di Parlimen beberapa tahun yang lalu, Ahli-ahli Dewan Negara yang bukan Islam turut serta dalam perbahasan dengan melabelkan undang-undang Islam zalim dan menindas serta tidak memihak kepada wanita.
Ini perkara yang tidak seharusnya terjadi kerana Perkara 11(3) menyatakan Islam itu ditadbir oleh golongan daripada agama itu sendiri dan yang lain tidak boleh masuk campur. Oleh itu untuk mengelak perkara ini berlaku, penulis mencadangkan supaya rang undang-undang terus mendapat perkenan daripada Tuanku kemudian baru disahkan oleh Jemaah Menteri dan juga Parlimen tanpa perlu dibahas memandangkan ia sudah diperkenankan oleh Yang DiPertuan Agong yang merupakan Ketua Agama.
Amatlah tidak dapat diterima sekiranya sesuatu rang undang-undang yang telah diperkenan itu dibahas dan ditolak oleh Jemaah Menteri ataupun Parlimen.
Ingin penulis tegaskan jika dilihat Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan, mengenai sumpah Yang DiPertuan Agong yang berikrar mengaku taat setia menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan Perlembagaan negeri serta pada setiap masa akan memelihara agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negeri.
Sumpah ini bukan untuk dekorasi tetapi ada kesan dan mesejnya. Apabila Yang DiPertuan Agong bersumpah akan memelihara Islam setiap masa, Baginda akan dinasihati oleh Perdana Menteri dan kerajaan yang mempunyai tanggungjawab berperlembagaan untuk menzahirkan sumpah Yang DiPertuan Agong ini. Sumpah ini mempunyai implikasi yang amat besar terhadap perundangan Islam di negeri. Malangnya ramai yang tidak mengetahui akan kewujudan sumpah ini.
Dalam tempoh darurat ini pula Yang DiPertuan Agong boleh membuat apa-apa ordinan yang difikirkan baginda perlu termasuklah berkaitan undang-undang Islam.
Rencana ini ditulis oleh Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.