Pemimpin UMNO tidak perlu mengambil kesempatan dalam isu Malaysiakini didenda RM500 ribu kerana menghina mahkamah. Konon risau dengan situasi kebebasan bersuara.
Tidak perlu bersikap lebih sudu dari kuah. Malaysiakini memanipulasi kenyataan para pemimpin UMNO ini besar-besaran. Tidak pernah dalam sejarah, Malaysiakini memberikan ruang lagi ‘suci’ yang penuh kepada pemimpin UMNO.
Jangan pernah dilupakan, pemberitaan Malaysiakini sebelum ini sarat dengan fitnah, hasutan, sensasi, manipulasi terhadap kenyataan yang tidak menyebelahi mereka. Setelah ‘kantoi’, Malaysiakini hanya menarik balik berita tersebut. Minta maafpun hanya setelah didesak. Itupun kadang-kadang.
Ruang komen yang menyebabkan Malaysiakini didenda RM500 ribu memang tanggungjawab sepenuhnya Malaysiakini. Bahkan ada ribuan komen-komen lain seperti ini, bahkan lebih teruk, tidak didenda walaupun ada laporan terhadapnya.
Komen-komen sensitif, hasutan dan penghinaan kaum serta agama dibiarkan berleluasa. Pembaca Malaysiakini seolah-olah bebas menghina islam dan Melayu di Malaysia. Mereka juga biadab menghina raja-raja dan para pemimpin Melayu UMNO dan PAS.
Macam tiada tapisan langsung daripada Malaysiakini. Konon atas dasar kebebasan bersuara. Langkah selamat Malaysiakini adalah menyiarkan kenyataan “Malaysiakini tidak bertanggungjawab ke atas komen-komen yang disiarkan pembaca”
Jika begitu, lebih baik tidak perlu buat portalpun. Atau tutup sahaja ruangan komen dan sediakan berita sahaja. Perkara ini telah lama disuarakan oleh pihak yang dihina oleh pembaca-pembaca Malaysiakini. Bahkan banyak desakan agar pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka.
Namun masa itu, tiada komen lanjut walaupun terang-terang Malaysiakini melanggar adat, adab dan tata susila pemberitaan yang beretika. Malaysiakini tidak pernahpun mengambil berat saranan pemimpin UMNO agar mereka lebih bertanggungjawab menulis berita.
Kini setelah didenda, tidak perlulah pemimpin UMNO tampil membela Malaysiakini. Ayat-ayat ‘klise’ seperti “saya bukan menyokong Malaysiakini tetapi menyokong kebebasan bersuara” tidak sepatutnya keluar daripada para pemimpin UMNO.
Malaysiakini didenda atas perbuatan mereka sendiri yang melanggar etika pemberitaan. Mereka tahu risiko perbuatan mereka namun memilih untuk membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap seruan menghentikan ‘style‘ pemberitaan mereka yang begitu.
Malaysiakini telah memilih pihak yang mereka sokong, jadi mengapa perlu pemimpin UMNO bersimpati kepada mereka? Untuk undi? Percayalah Malaysiakini selamanya tidak akan berpihak kepada Barisan Nasional. Sedarlah para netizen yang memberi komen di Malaysiakini tidak sesekali akan memihak kepada BN.
Untuk kebebasan media? Mustahil pemimpin UMNO tidak tahu ‘kebebasan’ media bagi Malaysiakini hanya jika sesuatu yang berpihak kepada mereka. Malaysiakini sendiri tidak ‘bebas’, jadi di mana logiknya mereka berpegang kepada prinsip kebebasan media?
Oleh itu biarlah Malaysiakini didenda atas perbuatan mereka sendiri. Tidak perlu menjadi ‘simpatisan’ kepada mereka. Kutipan bayaran denda untuk Malaysiakinipun sudah melebihi jumlah denda. Biarlah Malaysiakini membayar denda itu dan meneruskan lagi dasar mereka yang berpihak itu.
Saya percaya, Malaysiakini tidak akan berhenti hanya kerana denda RM500 ribu, dan saya percaya kenyataan para pemimpin UMNO hari ini akan mereka gunakan di masa hadapan untuk memberi gambaran negatif buat pemimpin UMNO.
Jangan sampai Malaysiakini keluar tajuk berita “pemimpin UMNO tolak kebebasan bersuara, dahulu sokong” jika selepas ini pemimpin UMNO mengamuk lagi kerana Mkini memfitnah mereka…
Renung-renungkan.
Paku Warren