Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Semalam tular kisah Ketua Pemuda UMNO akan bagi sokongan jika UMNO ditakdir bertembung dengan PAS di Terengganu. Hari ini tular pula keputusan lantikan wakil-wakil PAS dan PPBM dalam struktur kepimpinan PN Terengganu walaupun PPBM sudah isytihar untuk lawan UMNO di semua kerusi pada PRU-15.
Ramai yang ‘tag‘ saya, minta pandangan. Biarlah saya berlaku jujur. Saya tidak pedulipun. Bagi saya setiap parti ada hak masing-masing, UMNO berhak untuk bersedia dengan segala kemungkinan dan PAS berhak untuk bekerjasama dengan sesiapa untuk terus memerintah. Tidak perlu minta maaf. It’s all part of survivability.
Tetapi pada akhirnya, apakah faedah untuk rakyat? Pada hari ini, kita ada sekitar 14 juta pengundi. Daripada jumlah itu, hanya 6 juta yang berparti. Adakah dengan retorik politik sebegini saudara-saudara semua boleh menarik minat baki 8 juta lagi?
Keperluan sebenar rakyat adalah kesejahteraan hidup. Ada makanan di atas meja. Ada pejabat untuk bekerja. Ada atap untuk berteduh dari panas berbisa.
Sebab itu isu-isu moratorium, KWSP, bantuan tunai, pelaburan asing, kelancaran vaksinasi adalah isu-isu utama di mata rakyat. Bukan isu siapa hendak bergabung dengan siapa masa pilihan raya. Hal itu rakyat akan pilih masa mengundi kelak.
Di Terengganu, undi popular PakatanHarapan adalah yang paling rendah di seluruh Malaysia – hanya 9.78 peratus sahaja. Mereka hilang deposit di 6 daripada 8 Parlimen dan 19 daripada 32 DUN.
Sekiranya UMNO pada akhirnya melawan PAS di Terengganu, maka biarlah. Ke hulu hilirpun bukan dapat kepada Pakatan Harapan. Dengan 3 penjuru sekalipun, kemungkinan undi sabotaj menjadi minimum.
Ini politik di Terengganu.
Kewujudan pembangkang yang kuat akan menyebabkan keadaan tidak selesa kepada kerajaan. It will push the government to perform better. Yang menjadi masalah jika pembangkang yang kuat itu memilih untuk menyebar propaganda palsu kepada kerajaan.
Pada akhirnya, rakyat akan melihat parti mana yang memilih untuk ‘echo‘ kepada suara mereka. Pada akhirnya, rakyat akan memilih pihak mana yang berkorban untuk semua.
Perpaduan ummah, as beautiful as it sound tidak akan menarik perhatian rakyat sekiranya tidak mampu mencipta nilai kepada mereka. Kerana apa guna slogan seperti ini jika dasar kerajaan di takuk lama, kehendak rakyat dijeling bersahaja atau keluhan rakyat dipandang sebelah mata.
Maka jadilah apa yang disebut oleh Saidina Ali, “Kalimatu Haqqin Yuraadu Biha Baatilun” – perkataan yang benar tetapi dimaksudkan untuk kebatilan.