WARKAH KEPADA MENTERI UMNO – ISHAM JALIL

247
SHARES
798
VIEWS

Assalamualaikum Yang Berhormat,

Saya menulis surat ini sebagai ahli UMNO untuk menyarankan kepada para Yang Berhormat Menteri dan Timbalan Menteri UMNO supaya menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan segera.

Selepas memberi peluang lebih setahun kepada kerajaan PN untuk menguruskan krisis ini, ternyata keputusan-keputusan dan dasar-dasar mereka terbukti gagal malah menerukkan lagi keadaan.

Semalam lebih 7 ribu kes jangkitan dan lebih 60 orang telah mati akibat wabak COVID-19.

Kita (Malaysia) adalah antara negara yang semakin merosot di dunia dalam menangani krisis COVID-19 ini berbanding negara-negara lain termasuk negara-negara jiran.

Ini tidak boleh diteruskan dan diterima lagi kerana nyawa rakyat yang dipertaruhkan semakin terdedah kepada bahaya.

Keadaan ini perlu diubah dengan perubahan dasar-dasar yang lebih baik, lebih berkesan dan tidak memudaratkan rakyat.

Sebab itu kerajaan hari ini perlu ditukar supaya dasar-dasar dan keputusan kerajaan juga boleh ditukar.

Salah satu cara untuk melaksanakan perkara ini ialah dengan Ahli-ahli Parlimen terutama Menteri-menteri UMNO menarik diri daripada kerajaan PN.

Dengan ini kerajaan dan kabinet baru boleh dibentuk mengikut undang-undang sama ada melalui pilihan raya atau melalui kerajaan sementara sehingga wabak COVID-19 reda.

Sebab selagi kita (UMNO) berada dalam kerajaan PN ini, kita tidak boleh menentukan dasar, kita hanya menjadi ‘pak turut’ kepada dasar yang ditentukan dan diputuskan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PPBM yang mengemudi kerajaan.

Dalam kerajaan hari ini, kita bukan dikemudi, kita (Menteri-menteri UMNO) hanyalah seperti anak-anak kapal.

Dan apabila dasar-dasar dan keputusan-keputusan ini salah atau memudaratkan rakyat, kita (UMNO) dan Menteri UMNO yang perlu hadapi kemarahan rakyat walhal Perdana Menteri dan Menteri-menteri PPBM menyorok di belakang tabir walaupun mereka yang sebenarnya memacu dasar dan menentukan arah tuju.

Apabila arah tuju ini ditentukan kerana agenda politik untuk mengekalkan kuasa mereka tanpa mandat rakyat, maka dasar-dasarnyapun akan ke arah itu dan agenda rakyat bukanlah menjadi keutamaan.

Akibatnya prestasi kerajaan yang buruk dan mudarat kepada rakyat.

……..

Semalam tular satu video seorang wanita yang kecewa dengan sistem pemberian vaksin kerajaan.

Wanita yang membawa ibunya ke pusat vaksin itu nampak amat tertekan sehingga terpaksa meninggi suara kepada seorang menteri yang berhadapan dengannya.

Menteri tersebut cuba menenangkan wanita itu namun suara menteri tenggelam dan tidak kedengaran mungkin kerana tergamam.

Saya simpati kepada kedua-duanya.

Walaupun ia adalah satu insiden yang melibatkan seorang wanita, namun insiden ini tidak boleh diambil mudah.

Kerana rakyat Malaysia kebanyakannya cenderung untuk memendam perasaan dan tidak meluahkan kemarahan mereka seperti wanita itu walaupun merekapun kecewa dan tertekan sama.

Diam tidak bermaksud mereka tidak marah di dalam hati ke atas prestasi kerajaan dan menteri.

Jika ada seorang yang amat tertekan seperti wanita itu sehingga tidak dapat menahan perasaan di khalayak ramai, maksudnya ada ramai malah berjuta lagi rakyat yang berperasaan yang sama tetapi memendam kemarahan.

Kemarahan ini biasanya ditunjukkan nanti dalam Pilihan raya dan di peti undi.

Mereka (rakyat) kecewa dengan apa yang perlu mereka tanggung dan hadapi sekarang akibat kegagalan dasar-dasar kerajaan, namun kerap kali kerajaan pula menyalahkan mereka (rakyat) ke atas kegagalan ini.

Tambahan lagi kerajaan tidak boleh disoal kerana Parlimen masih ditutup dan Perdana Menteri sendiri masih enggan membuat sidang media terbuka namun menyuruh menteri UMNO untuk menjawab soalan-soalan dan menerima keluhan rakyat.

Kebertanggungjawaban (accountability) kerajaan dan Perdana Menteri adalah samar dan hampir tiada.

……..

Menteri-menteri memang perlu berhadapan dengan maklum balas rakyat waima baik atau buruk kerana itu adalah termasuk dalam tugas mereka dan mereka dibayar gaji berpuluh ribu sebulan untuk kerja ini.

Namun secara tidak langsung akar umbi UMNO yang akhirnya terpaksa memikul Kerajaan PN Tan Sri Muhyiddin dan PPBM ini yang semakin dibenci oleh rakyat, kerana Menteri-menteri UMNO masih memilih untuk kekal dalam Kabinet Muhyiddin.

Bagaimana nanti kita akan menjawab dengan rakyat dalam pilihan raya apabila mereka tanya kita apa yang kita buat selama kita berada dalam kerajaan PN yang gagal dahulu?

Yang perlu jawab di lapangan dengan pengundi-pengundi berkenaan hal ini apabila pilihan raya nanti kebanyakannya adalah berjuta-juta akar umbi UMNO yang merayu undi kepada berpuluh ribu pengundi di setiap kawasan masing-masing.

……..

Sebab itu saya sarankan supaya Menteri-menteri serta Timbalan Menteri UMNO segera menarik diri daripada kerajaan PN.

Semakin lama kita bersama dengan kerajaan PN ini selagi itulah kita tidak akan mengubah arah tuju dasar negara dan hanya mengikut dari belakang dalam kerajaan yang gagal.

Yang menjadi mangsa dan mendapat mudarat ialah rakyat secara keseluruhan, dan yang mendapat tempias adalah akar umbi UMNO yang lebih dekat dan berhadapan dengan rakyat.

Keputusan Perhimpunan Agong UMNO baru-baru ini telahpun memberi mandat untuk kita menarik diri pada bila-bila masa menjelang Ogos 2021.

Ini bermaksud kita tidak perlu tunggu sehingga Ogos baru hendak tarik diri apabila mungkin nasi sudah menjadi bubur.

……..

Saya harap sahabat-sahabat saya dalam UMNO yang menjadi menteri dan timbalan menteri dapat membuat keputusan yang betul dan terbaik untuk rakyat dan akar umbi dengan menarik diri daripada kerajaan PN supaya kita boleh mengubah dasar dan keadaan ini secepat mungkin.

Saranan saya ini mungkin tidak popular di kalangan pemimpin-pemimpin besar yang berkuasa dan berjawatan dalam kabinet kerajaan PN dan Perdana Menteri.

Namun ia perlu kerana perjuangan kita adalah untuk kehidupan rakyat yang lebih baik dan dijauhi mudarat.

Apabila kehidupan rakyat semakin buruk dan semakin mudarat, kita perlu berbuat sesuatu.

Ikhlas,

ISHAM JALIL

27 Mei 2021

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/981002325988625/?d=n

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts